Friday, October 28, 2011

Cabaran Mendidik Anak-anak Masakini

Salam hormat,


Di sekolah, guru-guru sering berdepan dengan dilema mendepani anak-anak murid yang mungkin kehilangan minat untuk belajar. Guru-guru kaunseling kerap dirujuk untuk membantu murid-murid yang sedemikian rupa. Dan di sekolah juga, amarah seboleh-bolehnya tidak mengambil tempatnya. 

Hal yang sama juga dilalui oleh ibu bapa di rumah, termasuk ibu bapa yang kerjayanya berkaitan dengan ehwal pendidikan, secara langsung atau secara tidak langsung. Tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blog beliau SaifulIslam.com (berjudul Teladan Anak Berumur '40' Tahun!) memang mendebarkan hati setiap yang bernama ibu, bapa dan guru. Betapa sulitnya mendepani cabaran mendidik anak-anak masakini. Berikut sebahagian daripada tulisan beliau. 

Memang panas hati.
Pagi ini anak saya enggan ke sekolah. Bukan pertama kali, tetapi sering. Malah bergilir-gilir pula dengan si adik. Kalau yang seorang ini tidak buat perangai, seorang lagi mengambil giliran. Kalau tidak yang seorang itu buat perangai, yang seorang ini menguji iman.
Tidur awal, sudah dibawa berjalan bersiar-siar semalamnya, masa berkualiti, dan tidur dengan baik. Tiada sebab langsung untuk buat perangai subuh-subuh ini. 
Sudah lama rotan tersimpan. 
Kaedah ‘gentle but firm’ sentiasa diamalkan. Tetapi rotan tetap tergantung. 
Kelmarin ia turun ke lantai, berfungsi buat pertama kalinya bagi tahun ini. 
Pagi ini nampaknya rotan itu sekadar rotan. Cabaran yang sama berulang lagi.  
Buat perangai pula di masa-masa kritikal. Jam 6:30 ke 7 pagi, waktu yang amat sempit untuk sesi kaunseling atau psikologi. Ada empat orang pula yang perlu diuruskan.  
Tidak mahu mandi, enggan bersiap, mengamuk di bilik air, menendang-nendang termasuk bibik yang turut puas menahan sabar… hmm!  
Dalam suasana seperti ini komitmen saya sebagai bapa terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada teruji. Jika sekolah di sebelah rumah, lain ceritanya. Tetapi sekolah terletak 35km dari rumah dan yurannya hampir RM700 sebulan untuk seorang. Saya tidak suka dengan fakta itu kerana ia bukan isu untuk anak saya. Ia isu saya. Isu untuk saya dan isteri yang berusaha menguasainya. Bagi anak, sekolah dekat atau jauh, sekolah percuma atau mahal, ia adalah sebuah sekolah.  
“Baik tak payah sekolah kalau macam ni!” bisik di hati bapa. 
Tidak pasti yang berbisik itu iman, nafsu, atau syaitan. 
“Kalau ikutkan hati, rasa nak lempang aje!” ada suara dalam hati berkata. 
Tangan mengurut dada, mencari iman untuk memadam amarah. 
Astaghfirullah! 
Keletihan usaha seorang bapa untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak, adakalanya menjadikan kita tidak rasional.
Semoga kita mendapatkan iktibar dan sama-sama belajar daripada kisah tersebut.

__________________________________

Thursday, October 27, 2011

Aduhai, Sombongnya Dia!

Salam hormat,


Sabtu ini, 29 Oktober 2011, 8.40 malam, kita tonton saja perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 - Negeri Sembilan vs Terengganu di TV1. Maklumlah, harga tiket pun dah dinaikkan secara mengejut.

Yalah, apa nak buat,  hak diaoranglah nak naikkan harga tiket. Ini memang masa yang baik untuk ambil kesempatan.

Hak kita... penyokong takmampu nak bayar RM50.00, jadi penonton di luar stadium sajalah. Kita sama-samalah bersorak di luar stadium, juga sebagai sokongan kepada bantahan kenaikan harga tiket melalui kempen Kelab E-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan itu. Cakap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta FAM mengkaji semula kenaikan harga tiket itu, dan rayuan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM sendiri) untuk mengurangkannya pun mungkin taklaku kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan Setiausaha Agung FAM tu.

KUALA LUMPUR - Selepas kumpulan penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu menyatakan bantahan keras dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa dan terkejut, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula merayu harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia agar dikurangkan.Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan pendirian secara berlembut dan berhemah serta memilih pendekatan prihatin dengan peminat bola sepak tanah air ini dalam khidmat pesanan ringkasnya (SMS) kepada Utusan Malaysia, semalam.
"Saya sudah pun merayu dengan FAM melalui (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) Datuk Hamidin (Amin) dan Datuk Azzuddin (Ahmad, Setiausaha Agung FAM) supaya dapat dikurangkan harga tiket (perlawanan Terengganu-Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam).
"Sekarang terpulang kepada mereka dan jawatankuasa berkenaan (untuk mengekalkan keputusan Isnin lalu dengan harga baru tiket semua tempat duduk, RM50, mengembalikan kepada harga asal, RM30 atau mengurangkan beberapa peratus daripada harga baru itu)," katanya.
(ii)

Apapun, molek juga alasan Sultan Ahmad Shah, Presiden FAM, untuk meyakinkan penyokong supaya tetap hadir ke stadium.

Daripada Presiden FAM, dilaporkan:

PEKAN 27 Okt. - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bertitah, harga tiket RM50 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini kekal. Baginda sehubungan itu mengajak penyokong kedua-dua pasukan supaya hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam itu. (Utusan Malaysia) 
PEKAN 27 Okt. - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah meminta penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan mengetepikan isu kenaikan harga tiket sebaliknya datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam pada Sabtu ini bagi menyokong dan membantu pasukan masing-masing dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. 
"Kalau dapat 80,000 orang datang adalah baik untuk kedua-dua pasukan, bukan kepada FAM. Kesian juga pasukan negeri-negeri telah belanja berjuta-juta untuk nak perbaiki pasukan masing-masing. Marilah kita beramai-ramai menyokong kedua-dua pasukan ini, dalam masa sama menolong menambahkan pendapatan daripada jualan tiket kepada kedua-dua pihak,” titah baginda selepas merasmikan Kem Force 136, Rejimen 505 Askar Wataniah di sini hari ini. (Bernama)
Berhemah, bukan?

(iii)


Tapi, daripada Setiausaha Agung FAM, laporannya begini:
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) berkata pihaknya tidak bercadang menurunkan harga tiket kerana selepas kajian, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan mendapati harga tiket itu adalah wajar. “Harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium, keselamatan dan beberapa faktor lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 
Para penyokong kedua-dua pasukan turut membantah harga tiket itu bagi semua tempat duduk stadium. 
Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi di mana penyokong bebas memilih untuk memulau perlawanan akhir nanti dan FAM tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menyekat keputusan mereka itu. Mengulas permintaan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya FAM mengkaji semula harga tiket tersebut, beliau berkata FAM menghormati permintaan itu namun FAM tidak akan berganjak dari keputusan asal.
(sumber: Utusan Malaysia - FAM pertahan naik harga tiket) 
Aduhai, sombongnya dia!.

Yalah, alasan boleh dicari dan diberi. Dan apapun alasannya, itu memang hak mutlak FAM. Peminat hanya mengharap agar FAM berhati perut dan bertimbangrasa dalam menjaga hati dan sokongan peminat bolasepak sendiri. Kalau tak dapat dipenuhi pun takapa. Peminat mungkin takpuas hati atau marah dengan kenaikan harga tiket pada saat-saat akhir. Tapi, usahlah ditambahpanaskan ketidaksenangan hati peminat bolasepak dengan pernyataan berbentuk provokatif seperti itu. Bukankah tidak elok kalau peminat benar-benar memboikot perlawanan itu?

_________________________________

- SEORANG AKU

Wednesday, October 26, 2011

Antara Gelap dengan Terang

Salam hormat,


Kepada rakan-rakan beragama Hindu, selamat berDeepavali!

Alkisah, benua India pun bermandikan cahaya pada malam sambutan Diwali. Dan foto berikut ini (sumber: NASA) turut menghiasi laman Facebook menjelang sambutan Deepavali hari ini. Semuanya dalam konteks melafazkan ucapselamat kepada rakan-rakan yang meraikannya.

India at night during Diwali-NASA

Sesungguhnyalah gemerlapan cahaya seperti itu turut mewarnai kehidupan rakyat biasa di bumi bertuah ini, saling menghargai meski berbeza keturunan dan agama. Cuma, dalam terang pun ada sisi gelapnya.

(ii)

Kegemerlapan cahaya itu boleh bertukar menjadi pudar gelap pabila ditutup awan hitam ciptaan orang-orang luar biasa yang serakah memancing sentimen politik kaumnya atau para penyokong taksubnya. Orang-orang yang digelar politikus. Soal perpaduan, kesepakatan, kerukunan hidup dan keadilan sebenar untuk seluruh rakyat sebagaimana aspirasi perlembagaan negara hanyalah mainan bibir dan tidaklah sangat menjadi agenda utama mereka. Demi keghairahan berpolitik, menjadi juara kaum dan menerajui kepemimpinan negara, matlamat diizinkan untuk menghalalkan cara.   

Demikianlah gelap terang politik negara.

Dalam konteks berpolitik di Malaysia, kepada orang biasa seperti saya, antara gelap dengan terang itu, apakah pilihannya ialah "hilang terang timbul gelap" sebagaimana judul lagu nyanyian biduanita negara, Saloma (Allahyarhamah) atau "hilang gelap terbitlah terang" sebagaimana judul lagu nyanyian Ramli Sarip dan Sweet Charitynya? 

____________________

- SEORANG AKU






Monday, October 24, 2011

Hidup Sungguh Sangat Sederhana

Salam hormat,


Dalam novel Rumah Kaca karya Pramoedya Ananta Toer, ditemukan ungkapan "Hidup sungguh sangat sederhana. Yang hebat-hebat hanyalah tafsirannya".  

(ii)

Daripada satu perspektif lain...

Memanglah menjadi tabiat sebilangan manusia untuk gemar membesar-besarkan perkara yang kecil atau merumitkan keadaan. Itu boleh berlaku kerana disengajakan untuk tujuan peribadi, atau kerana tafsiran yang berbeza oleh ketidakjelasan pemahaman tentang sesuatu daripada sumber asal. Maka yang mudah diberikan nafas baru hingga menjadi sukar. Kesederhanaan boleh berubah menjadi ruwet dan complicated

Tanyalah pengalaman cikgu-cikgu di sekolah.


Sesuatu arahan atau tugasan yang pada mulanya mudah boleh bertukar menjadi sukar apabila ditangani dan diturunkan pihak tertentu kepada pihak pelaksananya. Sekali lagi, ini mungkin kerana salahtafsir, mungkin kerana khilaf pemahaman atau mungkin saja disengajakan (untuk kelihatan lebih serius, berat, penting dan hebat) atau disensasikan untuk tujuan tertentu. Yang jadi mangsa ialah pelaksananya. Dan akhirnya, kerja yang dibuat dengan susah payah itu menjadi sia-sia, tidak memberikan manfaat dan tersasar jauh daripada matlamat asalnya.

Berdasarkan pengalaman, memang banyak program sesebuah kementerian (yang dturunkan secara berlapis-lapis sampai ke peringkat pelaksana) mengalami nasib malang kerana hal-hal yang tidak wajar dalam proses perancangan dan pelaksanaannya. Dalam usaha mengupayakan penambahbaikan, biarlah berpada-pada dan kekal dengan kesederhanaan. Bukan keghairahan melulu.            

(iii)

Satu lagi perspektif...

Pernahkah anda tercari-cari sesuatu yang ada atau sepatutnya ada (dalam simpanan) tetapi tidak menemukannya apabila tiba-tiba amat diperlukan? Tanpanya kerja menjadi terganggu dan kita mungkin tenggelam punca untuk menyelesaikan kerja dalam batas waktu yang ada. 

Atau, kita memiliki terlalu banyak koleksi objek (yang kita sukai kerana nilai sentimentalnya) sebagaimana juga kita menyimpan pelbagai fail dalam pelbagai folder di komputer hingga kita kewalahan menguruskannya, atau mungkin kehilangannya tanpa disedari?

Kerencaman dan kesibukan tugas harian memang sering menyebabkan kita tenggelam di tengah-tengah himpunan pelbagai objek - pelbagai bahan bacaan dan dokumen rujukan (buku, risalah, majalah, katalog, surat, sijil, fail dsb) dan pelbagai peralatan yang menyokongnya (disket, pen drive, pita rakaman, vcd/dvd, pena dsb) yang kadang-kadang kita tebarkan entah di mana-mana di rumah atau di pejabat kita.

Kita hanya mencarinya apabila kita memerlukannya. Dan kita meyakini bahawa kita akan menemukannya apabila kita memerlukannya. Tapi, keadaan itu rupanya tambah merumitkan kita saja. 
   
Hidup ini penuh dengan pilihan. Jika kita kerap berdepan dengan situasi tersebut, mungkin sudah sampai masanya untuk kita membuat pilihan. Memilih untuk memilih yang benar-benar kita perlukan dan sayangi, dan berpisah dengan yang tidak sangat kita perlukan, meski juga menyayanginya. Memilih untuk menjadi selektif dan tidak sangat terpesona atau terperangkap dengan sentimental value yang kadang-kadang membebankan. Memilih untuk menjadi sederhana. Inilah juga cermin nilai kebijaksanaan daripada suatu fragmen kesederhanaan - tidak berlebihan dan tidak berkurangan.  

Artikel daripada blog zehhabits berikut ini mungkin dapat membantu : The Four Laws of Simplicity, and How to Apply Them to Life.

(iv)

"Simplicity is the ultimate sophistication"demikian sebuah ungkapan popular Leonardo da Vinci,  kutemukan dalam tulisan berjudul Teh O Nipis Kurang Manis (blog www.miorazli.com).

Menarik ceritanya. Bacalah. Meski dalam perspektif berbeza, kisah itu mengajar kita tentang banyak nilai positif, termasuklah social intellegent, amalan membaca dan sesuatu yang nampaknya mudah tapi hebat sebagaimana diungkapkan Leonardo da Vinci itu.


______________________

- SEORANG AKU

Friday, October 21, 2011

Ketika Hujan Turun

Salam hormat,


Pagi ini hujan turun deras sekali. Sejak subuh tadi. Anak-anak sudah berangkat ke sekolah dengan van sekolah. Tidak seperti dia. Dulu dia berjalan kaki saja dengan rakan sekolah. Kalau hujan, jalan jadi becak. Namun diredah juga, dengan payung daun pisang, atau jika bernasib baik, payung kertas tebal yang kedap air.    

Dia memang anak kampung. Kehidupan desa waktu kecil membekalkannya pengalamian berharga – bermesra dengan nyamannya udara pagi, dedaunan hijau dan kicauan beburung, pernah tenggelam di sungai berliku tika bermain perahu, memburu udang gertak tika banjir kilat lepas hujan lebat, mengutip mempelam selepas subuh di dusun belakang rumah, juga meredah rimba kecil tempat bermain-main dengan rakan-rakan hujung minggu.


..........

Dia tiada masalah dengan pelajaran sekolahnya. Suatu waktu, sambil bersarapan lempeng atau ubi getuk (kadang-kadang ganyut akibat banjir), ibu berpesan "Belajarlah dengan tekun sampai tercapai cita-cita. Kalau bersungguh-sungguh pasti berjaya”. Ibunya, guru sekolah dewasa, memang selalu sangat meninggalkan pesan sewaktu sedang bersarapan sebelum ke sekolah.  

Ayah memang takbanyak bicara, tapi renungnya cukup untuk mengingatkan dia – usah bermain-main dengan masadepan. Pastinya ayah takmahu dia mewarisi jejak kerjayanya sebagai pekebun kecil di tanah sekangkang kera.

Semoga hasil telaahnya tidak menghampakan ibubapanya.

..........

Berhijrah ke petempatan baru, dia menjalani suasana serba baru berbeza jauh daripada di kampung. Menjadi anak peneroka di pedalaman daerah ibu kota negeri kelahiran mengajarnya erti kepayahan, ketabahan dan kesungguhan – meraut rotan, membantu ayah menoreh getah, sesekali menyauk ikan di anak sungai, juga membaca-tulis sambil meniarap bertemankan pelita minyak tanah – semuanya asam garam sajian kehidupan yang tidak pernah dirungutkan.

..........

Ah, siapapun tidak akan pernah melupakan jasa ayah ibu mereka. Walau bagaimanapun corak hidup waktu kecilnya. Tak akan mampu!

Benarkah begitu? Apakah anak-anaknya akan begitu? Semoga begitu.

Hmmm..., mengelamun rupanya. Hujan deras telah kembali reda rupanya.

___________________________

 - SEORANG AKU

Wednesday, October 19, 2011

Kisah hantu bukan ada dalam filem saja...


Salam hormat,


Sekarang ini orang sibuk bercakap tentang filem seram-tahyul-hantu yang dikatakan berlambak memenuhi pasaran pawagam dan televisyen. Mereka bimbang akan pengaruhnya kepada kanak-kanak. 

Aku tak  nak bercakap soal pengaruh cerita-cerita begini kepada kanak-kanak. Apalagi orang tua pun ada yang takut pada hantu. Terpulanglah pada persepsi masing-masing. Yang aku perhatikan, bagi kanak-kanak, takut memanglah takut, tapi tengok tetap tengok juga. Tengok sambil tutup mata dengan jari jemari direnggangkan.     

Yang aku nak cakap cuma cerita hantu dah ada sejak zaman berzaman lagi, dan kanak-kanak memang biasanya takut dengan apa yang dipanggil hantu tu. Malahan, hantulah jadi bahan momokan ibu bapa zaman dulu (sebagai instrumen pendidikan agaknya) untuk memastikan anak-anak tidak bertingkah di luar batasannya, antaranya seperti masih berada di luar rumah ketika waktu maghrib. Macam-macam nama hantu keluar daripada penceritaan mereka. Hantu memang diimaginasikan sebagai sesuatu yang mesti menakutkan dan wajar ditakuti.   

Buku cerita atau buku yang berkisah tentang hantu juga banyak. Tamar Jalis antara nama popular untuk kisah-kisah jin. Ada majalah yang memang suka menyiarkan cerita-cerita hantu untuk melariskan jualan. Majalah Mastika misalnya. Filem seram dan berhantu dari barat juga banyak ditayangkan di pawagam kita. Count Dracula, Exorcist dan macam-macam lagi. Di sekolah pun, pak jaga (pengawal keselamatan) selalunya mempunyai versi cerita masing-masing tentang pengalamannya terserempak dengan objek atau makhluk yang disebutnya sebagai hantu. Hantu Jepun misalnya. Murid-murid yang tinggal di asrama juga mempunyai koleksi cerita tersendiri tentang makhluk bernama hantu ini.    

Ini semua menunjukkan (atau menjadikan) kehidupan kita terbiasa dengan kisah hantu. Jadi tidaklah sesuatu yang ganjil apabila televisyen dan pawagan kita ikut memasarkan kisah-kisah sedemikian rupa. Peminatnya tetap banyak tanpa mengira usia. Apalagi cerita hantu sekarang ini pun sudah banyak yang dijadikan bahan ketawa dan tambah diminati kerana nilai jenakanya, tidak lagi untuk tujuan menakutkan khalayak penontonnya. 

Jadi rasanya filem bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan kanak-kanak itu penakut. Ini soal imaginasi dan halusinasi yang dipupuk secara sedar atau tidak sedar dalam kehidupan seharian. Soal bagaimana ibubapa menggarapi sifat ketakutan anak-anak (terhadap hantu) juga perlu dihalusi. Ketakutan itu akan ada pengakhirnya juga. Yang lebih perlu ditangani ialah memastikan bahawa karya-karya sedemikian rupa tidak bercanggah dengan norma atau ajaran agama, apalagi menyalahgunakan agama untuk kepentingan atau tujuan komersial.    

Elok juga dibaca tulisan Mamat Khalid dalam TEMPURUNG PECAHnya tentang kebimbangan pada filem hantu ini. Aku macam sependapat dengannya.


____________________________

- SEORANG AKU


Kegemaran Berunjuk Rasa: Tuntutan Realiti vs Halusinasi

Salam hormat,

 


Perasaan. Banyak orang mudah ikut perasaan, tidak kira siapa - daripada anak kecil kepada yang sudah tua. Tak kiralah juga apa perasaannya - daripada gembira atau sedih kepada merajuk, marah, atau takpuas hati. Itu lumrah manusia. 

Namun lumrah juga bahawa semakin meningkat usia, semakin banyak yang kita pelajari tentang perasaan, termasuk kemahiran (atau kebijaksanaan) mengawal perasaan. Apalagi ketika berada di lingkungan keluarga dan di tempat kerja. Tanpa kemahiran itu, suasana perhubungan menjadi tidak harmonis, komunikasi menjadi hambar, dan kalau di tempat kerja, mampu menjejaskan prestasi pekerjaan.

Yang paling mendapat tempat (perhatian), menjadi isu dan tidak disenangi banyak pihak daripada senarai perasaan tidak terkawal ialah perasaan tidak puas hati dan marah. Bayangkanlah kalau pekerja tidak puas hati dan marah dengan majikannya. Atau rakyat marah dengan pemerintah negaranya. Harubiru dibuatnya. Ditambah pula dengan keperluan demokrasi zaman moden ini yang mengajarkan kita satu lagi pendekatan untuk meluahkan perasaan. Kali ini diluahkan secara beramai-ramai. Namanya, demonstrasi atau tunjuk perasaan, atau kalau ikut istilah jiran kita di seberang - unjuk rasa. Dan yang paling popular ialah demonstrasi jalanan.

Pelik juga memikirkan ketaksuban manusia moden terhadap demokrasi dan hak asasinya. Dengannya  aspirasi kebebasan bersuara untuk menuntut keadilan, menegakkan atau mengembalikan hak rakyat, dan menjayakan misi reformasi diperjuangkan bermati-matian. Lantas, antara medium popular dan mudah dikendalikan ialah berunjuk rasa atau berdemonstrasi. Jika yang dilakukan itu memang demi perjuangan menegakkan kebenaran, eloklah. Tapi, jika tidak....?


(ii)

Di rumah, kami dapat menonton siaran televisyen tiga negara - Malaysia, Singapura dan Indonesia.   Maka saban hari aku turut menonton siaran SCTV dan RCTI dari Indonesia. (Ada tiga lagi saluran lainnya tapi jarang mendapat perhatianku). Banyak rancangan menarik di situ, termasuklah beritanya. 

Antara berita yang kerap memancing perhatianku tentulah berita tentang unjuk rasa. Unjuk rasa boleh  dianggap sinonim dengan Indonesia. Unjuk rasa membudaya dalam denyut nadi kehidupan rakyatnya, sesuai dengan sistem demokrasi pilihan mereka. Boleh dikatakan unjuk rasa berlaku hampir hari-hari di sana, yang kadang-kadang berubah polanya daripada unjuk rasa aman kepada yang berunsur keganasan (anarkis) hingga sulit diamankan pihak penguasa keselamatannya. 

Apa saja boleh menjadi punca unjuk rasa, yang juga boleh mengarah kepada kejadian bentrokan atau tawuran - daripada isu ketidakpuashatian kepada pemerintah hingga kepada hal-hal biasa dalam masyarakat seperti kenaikan harga barang, kemalangan jalanraya, perselisihan faham antara warga kampus atau desa, tidak puas hati dengan pengadil di gelanggang sepakbola, dan sebagainya. 

Pernah kuungkapkan pandangan tentang hal sedemikian dalam sebuah puisi berjudul "Hari Hari Bentrokan" (di blog RumahBambu KITA).

Secara perbandingan, di Singapura, sukar benar untuk kita mendengar berlakukan peristiwa demonstrasi ini. Dan di negara kita, demonstrasi bersifat musiman, bergantung kepada isu besar di peringkat nasional atau global. Cuma BERSIH dan BERSIH 2.0 yang nampaknya melibatkan peserta yang besar jumlahnya. Cuma kecenderungan untuk menjadikan demonstrasi jalanan sebagai wadah luahan tidakpuas hati dan amarah, atau mekanisme memburukkan kerajaan, kelihatan mula mengghairah dalam kalangan politikus pembangkang dan NGO tertentu. Kita tunggu saja kehadiran BERSIH 3.0...   


(iii)

Pagi kelmarin aku menatap berita berkaitan peristiwa demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan senyum hambar kerana meyakini bahawa unjuk rasa itu memang tidak memiliki kekuatan alasan munasabah untuk berunjuk rasa. Malaysia didakwa melakukan pencerobohan ke atas wilayah sempadan Indonesia. Mengarut sungguh. Itu cuma sentimen kegilaan berunjukrasa. 

( Baca di Utusan Malaysia Online 18 Oktober 2011. Judulnya "Dakwaan orang berhalusinasi" )

Berunjuk rasa atau berdemonstrasi, apakah itu tuntutan realiti atau paksaan halusinasi? Itu persoalan yang bermain-main di benakku ekoran kenyataan Drs. Ramadhan Pohan, Penolong Setiausaha Agung Parti Demokrat berhubung peristiwa unjuk rasa di Kedutaan Besar Malaysia itu. 

Memang sukar diragukan bahawa dalam kebanyakan demonstrasi, banyak yang terlibat itu hanyalah pak turut yang sengaja didatangkan atau dibayar atau yang sanggup didominasi akalsihatnya dan dikendalikan emosinya oleh sekumpulan kecil manusia bergelar pemimpin rakyat yang berghairah mengatasnamakan demokrasi dan hak asasi manusia, dengan menjaja perjuangan yang didakwa untuk kepentingan rakyat banyak, meskipun akalsihat kita kerap mengatakan bahawa ada kepentingan peribadi tersembunyi di situ. Namakan saja niatnya - membina pengaruh, atau membunuh perwatakan kepimpinan sedia ada, atau mencari nama dan populariti, atau mengejar publisiti? Atau himpunan kesemua niat tersebut. 

Dan dalam keghairahan merealisasikan niat tersirat itu, rupanya halusinasi memiliki tempatnya yang tersendiri. Ada pemimpin (kecil dan besar) yang rela berbohong dan sanggup merekayasa pelbagai dakwaan (tuduhan atau tohmahan) yang belum dipastikan kebenarannya semata-mata untuk menghalalkan tindakannya menganjurkan gerakan unjuk rasa di jalanraya. Menjadi beban tugas pihak tertuduh pula untuk membuktikan bahawa dakwaan itu sesungguhnya khilaf dan tidak berasas.   

Inilah yang aku rasakan apabila mendepani berita peristiwa berunjuk rasa. Setidak-tidaknya dalam konteks demonstrasi di Malaysia.

________________________

- SEORANG AKU

Wednesday, October 12, 2011

Mencari Buku Yang Hilang

Salam hormat,


Salah satu 'benda' berharga dalam kehidupan seseorang ialah buku. Begitulah bagiku, sejak zaman persekolahan lagi. Sebagai peminat karya sastera, baik  novel, cerpen atau puisi, aku sanggup mengumpulkan wang jajan untuk semata-mata mendapatkan sebuah buku.

Namun, mungkin kerana aku baik hati, atau tidak suka mengecewakan orang lain, atau bukan pelokek, atau mahu berkongsi kegembiraan membaca bersama rakan lain, aku sentiasa mengizinkan sesiapa yang aku kenali untuk meminjam buku-buku yang aku miliki, dengan syarat-syarat tertentu. Malangnya.....

Ya, malangnya, itulah juga sebabnya aku menambah satu lagi kerja dalam hidupku, mencari "buku yang hilang". Hinggalah ke hari ini.

Antara buku yang kucari-cari itu ialah novel SAGA karya Abdul Taib Mohd. Hasan (Utusan Publications...), novel pemenang hadiah pertama Sayembara Novel GAPENA 1976. SAGA juga merupakan teks yang kupilih untuk Latihan Ilmiahku sewaktu di Universiti Malaya. Kutemukan novel itu pada September lalu di MPH Mid Valley Magemall KL.

Telah aku luahkan coretan tentangnya (kerja tambahan itu) di "RumahBumbu Kita" berjudul Mencari Buku Yang Hilang. Berikut ini antara yang aku coretkan itu.

(ii)
Suatu waktu dulu, terutama pada zaman persekolahan, aku memang suka membaca novel. Dan sepanjang berkerjaya, aku memang banyak (kerap) membeli buku, dan bermurah hati pula meminjamkan buku kepada rakan, saudara, dan anak murid yang ingin meminjamnya, tanpa mengingati siapa peminjamnya. Syaratnya mudah – pelihara buku itu baik-baik, dan dikembalikan setelah usai membacanya, tanpa contengan atau lipatan.
Yang paling suka dipinjam adalah novel dan buku motivasi. Dan selalunya akan ada buku-buku yang dipinjamkan itu tidak kembali semula ke rak bukuku tanpa kuingat siapa peminjamnya. Demikianlah.
Maka ketika ada kesempatan ke toko (kedai) buku, akan kucari buku-buku yang hilang itu, dan membelinya lagi. Begitulah. Membeli, dan meminjamkannya, dan hilang lagi (kerana tidak dikembalikan). Membelinya lagi, dan tidak serik meminjamkannya lagi, dan tidak ke rak bukuku lagi.
Antara yang masih kuingat dan sukar didapatkan kembali ialah novel SAGA, ATHEIS, LOVE STORY, MERPATI PUTIH TERBANG LAGI, SALINA, TELEGRAM, ZIARAH, MERAHNYA MERAH dan KERING.
(iii)
Dalam program istirahat yang lalu, aku dikecewakan oleh kesedihan melihat Pustaka Antara di Kompleks Wilayah yang sungguh jauh berbeza daripada Pustaka Antara ketika di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang aku kenali sekitar awal 1980′an. Dari sebuah bangunan gedung buku nan gah berdiri kepada sebuah kedai kecil yang amat daif dan suram. Harapan untuk mencari lebih banyak novel karya pengarang Indonesia pun terbantut. Pun begitu, kutemukan juga ZIARAH, SITI NURBAYA dan TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK di situ. Alhamdulillah.
Pagi tadi aku cuma menemukan SAGA di MPH Midvalley. Oleh sebab dah lama tidak memesan buku di Kedai Buku Online PTS, kuraih sekali MARYAMAH KARPOV. Koleksi karya ‘Andrea Hirata’ milikku tidak lengkap selagi belum mendapat EDENSOR.

Demikian, mencari buku yang hilang.

Coretan lengkap tentangnya boleh kalian temukan di blogku "RumahBumbu Kita" berjudul Mencari Buku Yang Hilang. [Klik DI SINI]

_______________________________

- SEORANG AKU






Monday, October 10, 2011

Values vs Academic Qualifications

Salam hormat,


“Anak-anak kepada ibu bapa adalah juga murid-murid kepada guru di sekolah. Pendidikan itu bukan hanya citra pencapaian akademik, tetapi melangkaui kewajiban yang lebih bermakna ~ pendidikan nilai dan kemahiran insaniah. Usah abaikan kebermaknaan ini oleh keghairahan mengejar kecemerlangan akademik semata-mata”.

Untuk rakan guru, dan rakan pengunjung sekalian, diperturunkan petikan sebahagian artikel menarik daripada blog WWW.MIORAZLI.COM berjudul "Values vs Academic Qualifications" untuk perkongsian ilmu bersama tentang pernyataan di atas, seperti berikut ini;




A child, who has been over protected and habitually given whatever he or she wanted, would develop the entitlement mentality and would always put himself first. He would be ignorant of his parent’s efforts. When he starts work, he assumes that every person must listen to him, and when he becomes a manager, he would never know the sufferings of his employees and would always blame others.  
This kind of person, may be good academically and may be successful for a while, but eventually would not feel a sense of achievement. He will grumble and be full of hatred and fight for more.  
If we are this kind of protective parents, are we really showing love or are we destroying the kid instead? 
You can let your kid live in a big house, eat good meals, learn piano, watch a big screen TV. But when you are cutting grass, please let him experience it. After a meal, let him wash his plates and bowls together with his brothers and sisters. It is not because you do not have money to hire a maid, but it is because you want to love him in the right way. You want him to understand, no matter how rich his parents are, one day their hair will grow gray, same as the mother of that young man.  
The most important thing is your kid learns how to appreciate the effort and experience the difficulty and learns the ability to work with others to get things done.

(ii)

Kita berguru daripada guru-guru kita. Kita juga berguru daripada ibu bapa kita. Mungkin saja guru dan ibu bapa kita melakukan kekhilafan dalam proses penataran ilmu kepada kita.

Usahlah kita pula melakukan kekhilafan yang sama. Kita belajar daripada kekhilafan kita, kekhilafan mereka yang mendidik kita, dan kekhilafan lingkungan kita sendiri.

Terima kasih kepada Mior Azli kerana mengingatkan kita. Artikel lengkap beliau dapat dibaca di blog WWW.MIORAZLI.COM, [DI SINI] atau di blog "RumahBambu KITA" melalui pautan berikut DI SINI.

_______________________________

- SEORANG AKU






Sunday, October 9, 2011

Aku Yang Tak Bisa Tersentuh

Salam hormat,


Sepertinya tersurat
dalam naskhah dan sistem yang ada
yang bersifat tercela
dan rendah letakduduknya
memang tidak bisa disentuh
memang tidak layak disentuh.

Maka usahlah disentuh
segalanya tentang aku
walaupun sepatah kata
aku pasti melenting dan melatah
melalak meraung di media pelbagai arah
malah redha dirongrong dikerah
lalu berbondong-bondong mengunjukrasa di jalan raya
kerana aku memang takmahu disentuh
kerana aku memang sensitif dengan sentuhan
kerana aku memang tidak bisa menerima sentuhan.


(ii)

Aku yang tidak bisa tersentuh
telah lupa bahawa di negara ini
aku sendiri telah menyentuh
nikmatnya hidup merdeka
berjuang di bawah langit demokrasi dikongsi bersama
dengan rezeki melempah tak terkira
di tanahair yang cukup berbeza
daripada tanah asal-usul leluhur.

Aku yang tidak bisa tersentuh
telah lupa bahawa di negara ini
aku diladeni selayaknya
anak warga merdeka
dengan sentuhan keramat bumi bertuah
dan pemimpin yang menghargai
ikrar dan sumpah setia,
rajin dan rukun hidup bersama.

(ii)

Ahhh. Sulitnya kehidupan
terasing dan sentiasa dibelenggu resah
menyerah pada rasa amarah dan rendah diri taksudah
sensitiviti tidak bertempat
prasangka tidak berhemat.

Ahhh. Sulitnya kehidupan
tegak tanpa saling mempercaya
sedang lingkungan ini milik bersama,
lalu mudahlah diadudomba
lalu mudahlah diajak membangun curiga
semudah membangun semula
igauan buruk nenek moyang tercinta
tentang hijrah yang mahu dilupakan
tentang sejarah yang mahu dipadamkan.

Dan keyakinan pun mengukuh
di setiap raga dan sudut tanah air ini
bahawa aku sesungguhnya
memang tidak bisa disentuh
memang tidak bisa disentuh.


_________________________________

- Seorang Aku

Saturday, October 8, 2011

Tell me why

Salam hormat,



Sesungguhnya sebuah garapan melodi dan lirik yang menyentuh hati.
Happy listening! Selamat mendengarkan!

TELL ME WHY


(ii)

In my dreams, Children sing
A song of love for every boy and girl
The sky is blue, the fields are green
And laughter is the language of the world
Then I wake and all I see is a world full of people in need

Tell me why,(why) does it have to be like this
Tell me why, (why) is there something I have missed
Tell me why, (why) cause I don't understand
When so many need somebody
We don't give a helping hand
Tell me why

Every day, I ask myself
what will I have to do to be a man
Do I have, to stand and fight
To prove to everybody who I am
Is that what my life is for?
To waste in a world full of war
.....................................

Tell me why, (why) does it have to be like this
Tell me why, (why) is there something I have missed
Tell me why,(why) cause I don't understand
When so many need somebody
We don't give a helping hand
Tell me why (Tell me why)
Tell me why (Tell me why)
Tell me why (Tell me why)
Just tell me why (why, why, why)

Tell me why, (why) does it have to be like this
Tell me why, (why) is there something I have missed
Tell me why, (why) cause I don't understand
When so many need somebody
We don't give a helping hand
Tell me why (Why why, does the tigers run?)
Tell me why (Why why, do we shoot the gun?)
Tell me why (Why why, do we never learn?)
Can someone tell us why we let the forests burn

(why why do we say we care?) tell me why
(why why do we stand and stare?) tell me why
(why why do the dolphins cry?) tell me why
can someone tell us why we let the ocean die

(why why if we're all the same?) tell me why
(why why do we pass the blame?) tell me why
(why why does it never end?)
can someone tell us why we cannot just be friends

(why why do we close our eyes?)
(why why do we really lie?)
(why why do we fight for land?)
can someone tell us why cause we don't understand

why why?
_____________________

- SEORANG AKU

Belajar Itu Macam Buat Ibadah

Salam hormat,

wo ai ni Allah

Melihat anak-anak belajar di rumah pada hujung minggu, dengan buku berserabut di atas meja, dan notebook di sebelah, dengan sesekali melayari internet, aku teringat akan zaman menjadi seperti mereka. Berbeza sekali. Tanpa buku rujukan yang lumayan banyaknya, tanpa notebook dan tanpa internet.

(ii)

Nostalgia zaman awal persekolahan memang mengasyikkan.

Meski sekolah terceruk di pedalaman di pinggir belantara, kehidupan di bilik darjah tetap segar, ceria dan menyeronokkan. Guru mengajar dengan kekuatan ilmu, ramah dan rangsangan, selalu berkias berkisah teladan dalam senyum tawa, tanpa banyak songelnya. Kepatuhan anak murid juga memang tahap cemerlang. Kenakalan bagai ditinggalkan di luar pagar sekolah.


Yang penting, beri tumpuan penuh waktu guru mengajar. Sediakan saja apa-apa alatbantu yang perlu di atas meja, dan gunakan apabila diperlukan. Catat apa yang patut dicatat. Tanya apa yang patut ditanya. Jawab apa yang patut dijawab. Belajar pun jadi tidak tertekan. Tanpa bebanan beg penuh dengan buku atau kerja rumah bertimbun saban hari.

Peperiksaan juga bukan beban fikiran. Belajarlah semampunya, seadanya, semaunya, tanpa bandingbeza atau peduli akan sekolah kita di kedudukan berapa dalam peperiksaan awamnya. Belajarlah dengan kekurangan yang ada, termasuk perpustakaan yang cuma sekangkang kera. Yang penting kekuatan pemahaman, daya imaginasi dan kreativiti. Belajarlah dengan fikiran tenang dan bukalah minda luas-luas. Seluas atlas dunia yang wajib mampu digarap lewat kemahiran melakar peta walau negeri dan benua apa sekalipun, dengan segala isi di dalamnya. Itu keperluan menjawab soalan Geografi dengan markah tinggi.

Kegiatan kokurikulum pun seadanya. Sedikit tapi mengujakan dan dilakoni bersungguh-sungguh. Banyak sekali nilai dipancing dengan umpan penyerlahan nilai kreativiti, berdikari, sentuhan galakan dan teguran pujian berhemah.

Petang bersekolah agama. Ada ustaz yang lebih garang daripada guru sekolah biasa. Rotan sentiasa di tangan. Waktu menekuni kitab Mutaalbadrin misalnya, bersiaplah kalau baca merangkak-rangkak atau tersalah baca. Kalau “bumi” menjadi “bom”, rotan pun boleh singgah di atas meja. Kalau tak bersolat jumaat, memang rotan hadiahnya kerana ketua darjah adalah pencatat kehadiran ketika di masjid.

Apapun situasi dan kondisinya, untuk menjadikan murid rajin belajar, segalanya diusahakan, diupayakan tanpa rasa jemu. Oleh guru, oleh ibu bapa dan oleh anak murid sendiri.

Soal berjaya atau gagal soal rezeki ketentuan Ilahi. Tidak pernah dipersalahkan sesiapa. Kita merencana Allah s.w.t. menentukannya. Itu kata cikgu dan ustaz. Yang penting, menelaah usah culas. Kerana belajar itu suatu ibadah.

(iii)

Kehidupan pembelajaran di rumah dan lingkungannya cukup sederhana.

Tanpa TV dan video, kecuali radio sederhana kecil sebagai teman bersendiri ketika di rumah, hidup menjadi lebih bermakna. Sambil membaca buku cerita atau majalah, seronok dapat mendengarkan rancangan lagu permintaan dan lagu pop yeh yeh yang berkumandang. Dan sesekali bertuah juga dapat mendengarkan sayup-sayup suara pelat propaganda radio PKM (Parti Komunis Malaya).

Ada waktu-waktunya, setiap hari dan hujung minggu, membantu kerja ibu bapa di rumah – menyapu sampah sekeliling rumah, mengangkat air dari kolam untuk memenuhkan tempayan di dapur, dan sesekali ke kebun. Petang minggu selalunya di padang kampung atau gelanggang badminton di rumah kawan. Syarat wajib – sebelum maghrib sudah di rumah.

Waktu belajar ya waktu belajar. Apalagi pada hujung minggu, hari tidak bersekolah. Tanpa radio. Temannya cuma buku, alat tulis, kopi o dan ubi rebus. Sesekali ibu menjenguk-jenguk. Bimbang agaknya kalau si anak tak fokus. Kadang-kadang rakan datang belajar bersama. Selalunya berbincang atau menyiapkan kerja rumah.

Belajar tanpa kerusi meja, dan malamnya bertemankan kerlipan lampu pelita, meski berjelaga, tidak pernah menimbulkan kerenyahan.

Selepas solat maghrib dan mengaji, fokus saja pada pelajaran. Tanpa tolakansur. Sesekali ibu datang duduk di sebelah. Pesannya selalunya mudah : “Belajarlah. Belajar mesti tekun dan ikhlas, bukan terpaksa, baru ilmu tu berkat dan mendatangkan manfaat. Tak faham nanti tanya cikgu, jangan tak tanya”. Dan ucapan paling terkesan dan sentiasa dalam ingatan, “man jadda wajada”, dan “usaha itu tangga kejayaan”.

Bagi ibu bapa, kerja anak-anak ialah belajar. Dan belajar itu macam buat ibadah juga. Mesti tekun supaya cepat jadi pandai. Dengan izin Allah s.w.t


___________________________

- SEORANG AKU

Seorang Guru Itu


Salam hormat,


Belasungkawa
Anakanda Saiful Syazani Saiful Sofidee, 7 tahun

[Daripada Allah SWT kita datang, kepadaNya kita kembali...
Al-Fatihah]

-----------------------------
Berulang lagi
berulang lagi
kisah sedih anak-anak kesayangan
pasrah terhukum deraan
keadilan yang berpaling pergi
meninggalkan pintu hati
sang guru
untuk kesekian kalinya.


(ii)

Seorang guru itu
penunjuk cinta kasih sayang
penanda ehsan timbang keadilan
dengan fikir jernih matang
dengan emosi teduh berpadan
lalu diamanahkan anak-anak titipan Tuhan
menyemai subur benih kasih ibu bapa.

Anak-anak memang fitrahnya demikian
rona putih hitamnya di genggaman ibu bapa
rasa ingin, cemburu dan keliru bercambah tiap waktu
jadi nakal kadang-kadang tidak bersempadanan,
lalu atas nama pertanggungjawaban
melakarkan ilmu akalbudi santun beradab
demikianlah seorang guru itu
dunianya melangir pelangi kehidupan anak-anak
di kanvas putih bersih sekolah
tulus menerima seikhlasnya seadanya.

(iii)

Telah engkau engkari ikrar setia
mengangkat darjat guru pemimpin warisan bangsa
mendidik menghukum
dengan hujah sempurna neraca akal bijaksana
dalam batas kuasa dan undang-undang pelindungnya
bukan mengikut telunjuk rasa amarah, dendam dan kecewa
bersarang kukuh mencengkam nurani
kemanusiaan sejati.

Telah engkau khianati setiakawan
memaknakan sebuah pengorbanan sepanjang zaman
maruah mulia sebuah profesion ternama.


___________________

- AWAYZHA


Kisah Ibu dan Facebook: Aku Bagaimana?

Salam hormat,


Sekadar bersantai dan suka-suka lewat pengakhiran malam hujung minggu, selepas menjenguk Irfan dan Irsyad di Setia Tropika…..


Ya, kutitipkan coretan ini. Juga klip video yang mengilhaminya. Sekadar mengumpan senyuman. Meski senyum sinis untukku.



(ii)

Ibu dan Facebook, demikian judul sebuah puisi. Inilah puisinya, kupersembahkan untukmu. Deklamasi puisi oleh Serafina Ophelia, si anak manis yang mungil, ceriwis lagi bersahaja, tentang FB dan ibunya.

Semoga kalian menyenanginya. Selamat menikmati.



(iii)

Aku dan Facebook. Macam dekat tapi jauh. Macam suka tapi malu menyapa. Maklumlah, aku ini orang lama. Facebook ni benda baru bagi orang lama seperti aku dan rakan-rakan seangkatan. Yang tak ada kepentingan untuk manfaatkan FB selalu. Hanya sekali sekala.

“FB ni media baru untuk generasi baru”, bisik hati kecilku.

Memang sudah lama aku tidak menulis di FB atau ber”facebook”an. Meskipun bisa dikatakan hari-hari aku mampir di ruanglegar FB. Sama ada di notebook, netbook, pc atau lewat smartphone. Macam orang yang terkedu lidah pabila kekasih lama tiba-tiba berada di depan mata. Yang aku buat hanya “log in”, baca dan/atau dengar dan/atau tonton, senyum senyum sedikit dan kemudian “log out”. Semuanya cuma untuk ikut ambil tahu maklumat sekitar pengkisahan rakan FB yang ada, lewat skrip celoteh, curhat dan corat-coret kehidupan rutin mereka. Dan mereka pun tentu faham kenapa rakan mereka orang lama ini seperti kewalahan mendepani keinginan atau keperluan FB.

Rakan FB pun tak banyak. Rakan seangkatan memang tidak mesra FB.

Rakan yang ada pun hanya mantan (bekas) anak murid dari zaman Saint Joseph sampai ke PG2, rakan guru-guru separuh muda dan separuh lama, kenalan siber di dunia maya, serta lingkungan keluarga dan sedara mara.

Sebilangan rakan FB pun mungkin macam aku juga, cuma jadi pembaca pasif. Mungkin kerana sibuk amat dengan tugas hakiki. Mungkin juga kerana disentuh rasa janggal untuk berFB macam anak sekolahan muda remaja. Berghairah menekuni FBnya.

Dan barangkali juga aku memilih untuk menjadi malu berFB setelah menikmati deklamasi puisi ‘lucu’ itu, suatu waktu dulu, setahun lalu.

(iv)

Terlanjur berkisah tentang Facebook, aku pernah menulis tentangnya sekitar April 2011 lalu, dengan tajuk “Facebook : Bicaralah dengan Beradab“. Sila rujuk di SINI.

Mohon pamit ~ berundur dulu!


______________________________

SEORANG AKU

Sindrom Mengejar Kecemerlangan dan Menafikan Hak Murid

Salam hormat,


Cerita penafian hak murid untuk menduduki peperiksaan awam nampaknya masih belum menemui titik penyudahnya. Apa yang berlaku kepada tiga orang murid calon UPSR di SK Bandar Bintangor (Sarawak) itu merupakan lanjutan rentetan peristiwa tidak wajar yang pernah juga berlaku di sekolah -sekolah lain di negara ini sebelumnya.

Hal seperti ini bukan saja mengundang isu (kritikan) di kalangan anggota masyarakat, malah mampu mengundang padah kepada pihak pengurusan sekolah yang terlibat. [rujuk di SINI dan di SINI].



Alasan paling mudah diberikan oleh pihak yang melakukannya adalah untuk memastikan prestasi sekolah tidak terjejas oleh kehadiran calon peperiksaan yang lemah dan bermasalah dalam akademik dan dalam disiplin. Andaiannya ialah bahawa menduduki atau tidak menduduki peperiksaan tidak membawa apa-apa makna kepada pencapaian golongan murid sedemikian rupa, tetapi kehadiran dan kegagalan mereka nanti amat menyesakkan nafas pemimpin sekolah berkenaan.

Demikianlah kecelaruan pemikiran dan pola perlakuan sebilangan (segelintir) pemimpin pendidikan di sekolah-sekolah di negara ini dalam mendepani isu kecemerlangan akademik. Hakikat bahawa pendidikan bukan semata-mata untuk kecemerlangan akademik mungkin tidak mendapat tempat di sanubari mereka.

(ii)

Kecelaruan sedemikian rupa bukanlah tidak berasas.

Kelangsungan peristiwa menyedihkan ini dalam lipatan sejarah pembangunan pendidikan negara kita sesungguhnya merupakan manifestasi sumbang keghairahan persaingan mengejar kecemerlangan akademik di kalangan pihak sekolah dalam upaya mempertaruhkan nama baik sekolah masing-masing di mata pegawai atasannya dalam pengurusan sistem pendidikan negara.

Meskipun telah dilafazkan perubahan wacana pemikiran pemimpin pendidikan negara untuk tidak lagi membanding-bandingkan pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam, namun bukan cerita mustahil bahawa sekolah-sekolah yang memperoleh prestasi yang tidak menyenangkan hati para pembesar pendidikan daerah dan negeri, yang menyumbang kepada penurunan prestasi akademik dan ‘ranking’ di peringkat daerah dan negeri, akan berdepan dengan situasi post-mortem banding-beza yang berbaur seruan-sindiran ke arah menyalahkan pihak sekolah kerana kegagalan meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dalam peperiksaan.

Ungkapan-ungkapan seperti “Apa yang pihak sekolah buat? Cikgu-cikgu tak mengajar ke-? Guru Besar tak memantau ke-? Apa program yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk murid yang lemah? Kenapa tidak melaksanakan program yang dapat meninggalkan impak ke arah peningkatan prestasi?” amat lumrah dilontarkan untuk setiap isu menurunnya atau tidak meningkatnya prestasi sekolah bagi setiap subjek yang diajarkan di sesebuah sekolah.

Dalam sistem yang mengkotak-kotakkan sekolah ke dalam kategori yang pelbagai, atas nama kecemerlangan pendidikan, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat daerah, dengan murid berkebolehan tinggi dijauhkan daripada sekolah biasa kerana kecemerlangannya dan ditempatkan di sekolah-sekolah pilihan di semua peringkat pendidikan, para pemimpin dan guru sekolah biasa (tidak berjenama) akan kerap mewarisi nilai kewalahan, serba tidak kena, tertekan, kecewa dan tersinggung kerana hanya memiliki sebilangan besar kelompok murid sederhana, kurang atau tidak cemerlang yang dimintausahakan supaya mencapai keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

Situasi begini jika tidak digarap dengan kepala dingin, tenang, berhemah dan bijaksana, malah dikelabui pula oleh emosi takutkan kegagalan atau sindrom mengejar kecemerlangan, akan mendorong kepada kemungkinan tumbuhnya pemikiran dan pola perlakuan pemimpin dan guru sekolah yang tidak wajar kepada muridnya sendiri seperti diberhentikan persekolahan sebelum tiba waktu peperiksaan, dirangsang supaya tidak hadir pada waktu peperiksaan awam, dihalang menduduki peperiksaan, dan sebagainya.

(iii)

Semoga kejadian yang menimpa murid yang tinggal di rumah panjang Ulu Sungai Janting, Sarawak ini menjadi titik hitam terakhir dalam sejarah pendidikan negara kita. Pendidikan itu bukan hanya untuk peperiksaan. Pendidikan itu bukan hanya untuk mereka yang cemerlang. Pemerolehan pendidikan itu, termasuk menduduki peperiksaan (yang hadir di dalam sistemnya), merupakan hak istimewa murid yang tidak boleh diganggu gugat, walau apa pun status pencapaian akademik mereka. Yang penting, berusahalah sebaik (semaksimum) mungkin, berdoalah dan kemudian berserahlah kepada Allah swt.

Setiap sekolah memang perlu mengusahakan atau mengejar kecemerlangan. Pun begitu, usahlah terperangkap dengan sindrom mengejar kecemerlangan hingga sampai menafikan hak murid.


________________________

- SEORANG AKU

Friday, October 7, 2011

Tidak Terganggukah Kilas Padangan?

Salam hormat,



Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.




Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihatmu setia termangu di depan mata
sedang kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianku.


(ii)

Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.



Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihat engkau setia menunggu di balik kamera
merakam kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianmu.

(iii)

Demikianlah hari-harinya
kilas pandangan ini merakam aksi
cerobohnya anak negeri di jalan raya
terpejam mata memadam papan tanda
ikut kiri jika tidak memotong atau had laju 110 km
memandu berbahaya memotong tanpa berkira
atau melanggar lampu isyarat merah
ketika aku sendiri patuh mengalah.

Dan hari ini berita di akhbar arus perdana
terungkap jawapan menteri kepada seteru politiknya
di Dewan Rakyat mulia;
“Polis kutip RM476.6 juta bayaran saman trafik”
setelah berlama-lama bersabar mengundur waktu,
demikian hebatnya – harga nikmat kesetiaanmu.

Ironisnya
blog biasa pengamat politik negara
mengungkap bicara sinis tetapi manis dibaca
tentang projek himpun duit pesalah trafik negara
sumber lumayan pendapatan negara,
tentang terkutiplah untung atas angin berjuta -juta
kerana saman ekor polisnya
tentang penguatkuasa didesak lebih bertimbangrasa
atau undinya nanti
berpaling arah ketika pilihanraya.

(iv)

Meski pernah tersinggung dan malu
oleh biasan lensa kamera yang pernah keliru,
aku ini pemandu setia dan pasrah
pendukung ikhtiar murni membaikpulih sikap berhemah
meski kerap diperlekeh dan tersinggung
oleh rakan pemandu tak beradab lagi sombong.



Aku jadi lebih senang memastikan
kilas pandangan ini
terus melihatmu setia termangu di depan mata
daripada terus terganggu
melihat engkau tersiksa menunggu di balik kamera.


——————————————-

- SEORANG AKU

Berwacana di Gelanggang Baru


Salam hormat, salam silaturahmi


mumpung ada waktu dan kesempatan
hari ini baru dapat diupayakan
seorang aku
melangir waktu,
berblog di gelanggang baru.
singgahmu, semoga molek manfaatnya
berbagi waktu berkongsi kudrat fikir dan rasa
tentang hikmah kehidupan,
dan ziarah kembara ini.
________________________________

[Nota : hani liyana..., matur nuwun yo cah ayu
wes diwelasi nggawe blog iki]
[ awayzha ]