Tuesday, November 22, 2011

Sekali lagi, tahniah Harimau Muda Malaysia !

Salam hormat,


Syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda! 

Kemenangan menafikan keinginan tuan rumah untuk memperoleh kejuaraan berganda (Juara Keseluruhan Sukan SEA dan Juara Bola Sepak Sukan SEA) dengan merebahkan Garuda Muda yang tersungkur di gelanggang mereka sendiri, menakluki pingat emas Bola Sepak Sukan SEA ke-26, dan mengekalkan kejuaraan yang disandang di Laos dua tahun lalu sesungguhnya merupakan kenangan amat manis dan gandaan rasa gembira yang sukar terungkapkan oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Terbukti sudah bahawa Gelora Bung Karno bukan lagi gelanggang keramat pasukan Indonesia. 


Apabila Harimau Muda menjinakkan Garuda Muda 1-0 di peringkat kumpulan A, meski terkedu bagaikan tidak percaya, mereka masih ingin menafikan kemampuan Malaysia dan menepis igauan buruk kekalahan itu dengan ungkapan bahawa Indonesia tidak menurunkan kesebelasan utamanya.  

Malam tadi, mendepani pasukan kesebelasan utama mereka, dalam suasana pertarungan peringkat final yang lebih hangat, seru dan mendebarkan, dan ditenggelami keghairahan sorak sorai ribuan penyokong fanatik Garuda Muda di Gelora Bung Karno, Harimau Muda Malaysia mampu terus mengaum dengan semangat juang yang cukup tinggi dan terpuji di setiap minit pertarungan berlangsung.

Meski ketinggalan dengan satu gol pada awal permainan, Harimau Muda Malaysia tetap gah beraksi untuk bangkit menyamakan kedudukan menjadi 1-1 (jaringan Mohd. Asraruddin Putra Omar) pada babak pertama, mengekalkan kedudukan seri  itu di babak kedua dan masa tambahan, dan akhirnya terus mematahkan sayap Garuda Muda Indonesia melalui tendangan penalti terakhir Baddrol Bakhtiar yang menggegarkan jaring gol Indonesia di babak tendangan penalti, menjadikan kemenangan berpihak kepada Harimau Muda dengan keputusan akhirnya 5-4. Gelora Bung Karno pun menjadi bungkem dan sepi, dengan kesedihan mematikan keangkuhan yang sebelum ini bergentayangan di seluruh jagatraya Indonesia.        


Sesungguhnya kemenangan manis pasukan Harimau Muda Malaysia ini merupakan kebijaksanaan penggarapan strategi permainan, pengawalan fikiran-emosi-ketahanan fizikal yang bijaksana dan semangat juang yang tinggi dalam menyerap tekanan berterusan yang dibawakan pemain dan penyokong Garuda Muda. Strategi sebilangan pemain lawan mencuba mempengaruhi pandangan atau meraih simpati pengadil (untuk memperoleh tendangan percuma atau tendangan penalti ketika di hadapan pintu gol Malaysia) melalui lakonan aksi sumbang mereka ternyata tidak begitu menjadi.

Sesungguhnya juga pertembungan Harimau-Garuda ini mengajar kita bahawa ketaksuban itu tidak wajar hadir dalam menyanjung kehebatan pasukan sendiri hingga memperlekeh pasukan lawan. Kemenangan berterusan di peringkat awal, apatah lagi dengan jaringan yang banyak, bukan sangat petanda kehebatan sesebuah pasukan. Pasukan Vietnam, Myanmar dan Indonesia membuktikannya. Bukankah bola itu bulat dan padang bola itu sama ratanya untuk semua pasukan yang bertembung?  Usah berlagak sombonglah.


Sekalung penghargaan kepada Ong Kim Swee (Ketua Jurulatih), Baddrul Bakhtiar (kapten), Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol) dan semua pegawai serta pemain Harimau Muda kerana menjadikan perlawanan akhir kali ini amat mengasyikkan. Kalian membuktikan kematangan dan kebijaksanaan untuk layak bergelar juara. Kalian amat membanggakan kami.

Sekali lagi, syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!
_________________________

- SEORANG AKU

Thursday, November 17, 2011

Tahniah, Harimau Muda!

Salam hormat,


Malaysia 1 Indonesia 0.

Tahniah untuk Harimau Muda Malaysia! Kalian adalah juara kumpulan A Bolasepak Sukan SEA 2011. 

Kalian mampu membenam keangkuhan penyokong di Stadium Bung Karno (yang turut tidak menghormati lagu kebangsaan yang berkumandang sebelum sepak mula bermula) dengan menewaskan pasukan Indonesia di perlawanan akhir Kumpulan A Sukan SEA ke-26 itu. 

Kalian telah membuktikan kemampuan untuk kembali bermain dengan lebih baik daripada sebelumnya, dengan mengurangkan kekhilafan dan memanfaatkan peluang yang ada. Satu gol sudah cukup untuk menamatkan badi Gelora Bung Karno. Soal percaturan mereka menurunkan pemain bukan kesebelasan utama bukan soal pokok punca kemenangan kita atau kekalahan mereka. Malah, itu juga petanda bahawa mereka meremehkan kemampuan Malaysia.



Harimau Muda perlu mempertingkat prestasi untuk menewaskan Myanmar di peringkat separuh akhir nanti (19 November, 5.00 petang) untuk layak bertandang ke babak final dan mempertahankan kejuaraan yang disandang dua tahun lalu. Perjalanan masih mendebarkan untuk mengekalkan kejuaraan. Usah berpuas hati dengan kejayaan yang diraih sebentar tadi. Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki.

Mungkin kesempatan untuk mendepani Indonesia akan berulang di pertandingan akhir nanti jika Harimau Muda dan Garuda Muda mampu menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir nanti. Mampukah Indonesia menewaskan Vietnam? Dengan dukungan penonton fanatik mereka, semoga kesebelasan utama mereka mampu. Kita saksikan saja.

__________________

- SEORANG AKU



Selamat Datang Aimi Zahra!

Salam hormat,


Tahniah untuk WiNz dan EDoTz.

Alhamdulillah, ke hadirat Allah azzawajalla
kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran
dan mengungkapkan ucapan alu-aluan

Selamat datang Puteri Aimi Zahra!




(ii)

Ini lagu untuk kalian.




M Daud Kilau - Anakku Yang Pertama
_________

SEORANG AKU

Tahniah kepada Haziq Aiman!

Salam hormat,


Hari ini keputusan peperiksaan UPSR 2011 diumumkan.

Syabas kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia kerana memanfaatkan Sistem Pesanan Ringkas untuk membolehkan keputusan ringkas UPSR diketahui ibu bapa / calon dengan pantas melalui sms selepas jam 10.00 pagi. 

Dan keputusan peperiksaan Haziq Aiman diterima tepat pada pukul 10.30 pagi. 


5A - Tahniah Aiman! Anda berpeluang ke Sarawak pada cuti penggal persekolahan tahun depan... Itu janji PIBG sekolah untuk keberhasilan anda dan rakan yang berjaya.


__________________________

SEORANG AKU


Harimau Muda, mengaumlah di Gelora Bung Karno

Salam hormat,


Jam 8 malam ini, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pasti hangat oleh pertembungan pasukan Harimau Muda Malaysia dengan pasukan Garuda Muda Indonesia di perlawanan akhir kumpulan A Bola Sepak Sukan SEA 2011. Sebagai musuh bola sepak yang amat menyakitkan hati Indonesia kerana kegagalan merangkul Piala AFF Suzuki pada tahun lalu di tangan Harimau Malaya, Harimau Muda pasti menjadi bahan provokasi berterusan sepanjang perlawanan malam ini. 

Sebagaimana di Piala AFF, prestasi pasukan Indonesia memang amat memberangsangkan di gelanggang sendiri. Mereka menang bergaya dengan menewaskan Kemboja, Singapura dan Thailand. Momentum kemenangan bergaya ini pasti ingin diteruskan, apalagi dengan menumbangkan Malaysia. Misi itu tidaklah sukar jika Malaysia masih menampilkan persembahan yang tidak meyakinkan sebagaimana ditunjukkan dalam tiga perlawanan terdahulunya.

Jelas bahawa persembahan Harimau Muda Malaysia yang menyaksikan keputusan seri dengan Singapura dan menewaskan Thailand dan Kemboja tidaklah segah persembahan Indonesia. Dan jika persembahan sedemikian rupa berterusan, tidak mustahil untuk Indonesia membenam Malaysia walaupun mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk mengungguli kumpulan A. 

Corak pengadilan di kejohanan ini juga jelas menunjukkan bahawa pengadil mudah terpedaya dengan aksi kekasaran pemain hingga mudah melayangkan kad kuning dan merah kepada pemain yang melakukan kekhilafan atau kekasaran. Ini cabaran untuk pemain Malaysia supaya lebih berhati-hati dan fokus pada perlawanan. Anda bukan hanya berdepan dengan pemain lawan, tetapi juga pengadilnya sekali. 

Malaysia memerlukan kebijaksanaan dan kebangkitan semangat juang yang tinggi untuk menafikan kehebatan Indonesia. Malaysia mampu melakukannya jika kembali bermain pada tahap sebenarnya. Bermainlah dengan tenang, dengan sentiasa mengawal atau menguasai permainan dan memperkemas barisan pertahanan, melakukan hantaran dengan tepat dan tidak gopoh melakukan tindakan penyudah di depan gawang lawan. Kekhilafan menyia-nyiakan banyak peluang menjaringkan gol seperti dalam perlawanan terdahulu mesti dihentikan.

Untuk mengembalikan maruah negara, Malaysia mesti menewaskan Indonesia untuk menjuarai kumpulan ini dengan menampilkan persembahan yang cemerlang untuk menamatkan badi Gelora Bung Karno. Pesan Ong Kim Swee supaya skuad bimbingannya menganggap perlawanan malam ini sebagai aksi di babak final amatlah tepat dan disokong.  

Mampukah Malaysia merealisasikan misi ini? Mudah-mudahan mampu, sesuai dengan slogan "Malaysia Boleh".

Sunday, November 6, 2011

Yok, Balik Kampung!

Salam Hormat, Salam Aidiladha,


Bertakbir sudah bertahmid pun sudah. Bersolat Aidil Adha sudah bertahlil juga sudah. Dan selepas ikut menyemarakkan ibadah korban - upacara menyembelih lembu di pinggir surau - ke mana ye?


Balik kampung? Ya, ke mana lagi kalau tidak balik ke kampung, menziarahi ibu dan berkumpul dengan adik beradik yang  turut kembali ke kampung setiap kali perayaan. Itukan rutin tahunan.

Yok, balik kampuuuung!!!!!



_______________________

- SEORANG AKU


Saturday, November 5, 2011

Salam Aidil Adha


Salam hormat,

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha
untuk seluruh umat Muslimin dan Muslimat.



"Ya Allah, 
berikan kami kesolehan seperti Nabi Ibrahim,
berikan kami ketaatan seperti Nabi Ismail,
berikan kami keikhlasan seperti Siti Hajar,
dan berikan kami keberkahan junjungan kami 

Nabi Muhammad S.A.W.
Amiin".


_____________________________

SEORANG AKU



Friday, November 4, 2011

Ustaz Azhar Idrus di Youtube



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


-----

Dalam senda dan bersahaja, ada yang kena !

Untuk penggemar kuliah Ustaz Azhar Idrus, empat klip video berikut ini dihadirkan sebagai wahana pemikiran bersama.
Sila berkunjung ke Youtube untuk banyak lagi bahan kuliah beliau yang lainnya.

Semoga memperoleh manfaat, InsyaAllah.


-----

...mencari Tuhan...
  

...anak akhir zaman...
  

...rakyat didulukan... 

kerajaan setan...




[Nota: Sila ke Youtube untuk banyak lagi siri kuliah Ustaz Azhar Idrus]

Sekian.

-----

Tuesday, November 1, 2011

Polemik PPSMI : Berikan Laluan Kepada MBMMBI

Salam hormat,


Ada pihak macam gila talak dengan pemansuhan PPSMI. Mereka mahu PPSMI dikembalikan semula atau sekolah diberikan kuasa autonomi untuk memilih - melaksanakan PPSMI atau MBMMBI. Lalu didatangkan kajian mereka sendiri untuk mengesahkan kebenaran dakwaan mereka (Kajian pihak lain yang lebih dekat dan mahir dengan disiplin kependidikan tidak relevan bagi mereka). Lalu diupayakan petisyen secara online melalui laman web dan blog penyokong-penyokong mereka untuk meraih sokongan rakyat. Lalu didatangkan idea untuk dibuat referandum di kalangan rakyat untuk menyokong kebenaran dakwaan mereka.

Pun sudah ada suara sumbang yang mengaitkan desakan itu dengan peti undi dalam PRU ke-13 sekiranya kerajaan tidak memenuhi keinginan mereka. Dan yang terkini, hasrat menulis surat rayuan kepada PM untuk menarik balik pemansuhan PPSMI.


Mereka beria-ia menggambarkan bahawa majoriti rakyat menyokong PPSMI. Mereka seolah-olah mahu sekolah di negara ini boleh diurus mengikut selera dan telunjuk pihak berkepentingan atas nama kehendak majoriti ibu bapa atau rakyat.

Demikian hebatnya desakan mereka. Demikian taksubnya mereka dengan bahasa Inggeris. Demikian ghairahnya mereka dengan kepentingan masadepan anak bangsa, hanya melalui P&P Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, kononnya. Seolah-olah subjek Bahasa Inggeris sudah berkubur daripada sistem pendidikan negara, dan anak-anak akan menjadi jahil kerana tidak mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Seolah-olah bahasa Melayu tidak mampu memandaikan anak-anak dalam subjek Sains dan Matematik.

(ii)

Apabila PPSMI diperkenalkan pada 2003, ramai yang menentangnya. Ini menyangkut soal dasar bahasa kebangsaan, dan sistem pendidikan negara. Tapi, PPSMI diteruskan juga, dan takada pula upaya berbaur ugutan kepada kerajaan untuk memenuhi kehendak penentangnya ketika PPSMI mula dilaksanakan. PPSMI diberikan ruang untuk diteruskan, dan dikaji kelangsungannya. (Hanya setelah enam tahun terlaksana, barulah berlangsung protes jalanan menentang PPSMI oleh GMP pada Mac 2009) 

Sekarang kerajaan yang sama, dengan kepimpinan yang berbeza, melalui Kementerian Pelajaran khususnya, telah memutuskan untuk menamatkan PPSMI dan melaksanakan gagasan MBMMBI mulai 2012. Itu pun hanya dilakukan setelah melalui proses kajian mendalam dan rundingan meja bulat dengan pihak yang berkepakaran. [Rujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri tentangnya DI SINI]

Maka berikan ruang dan peluang untuk MBMMBI berlangsung dan membuktikan keupayaannya.

Mengapa mesti disanggah sedemikian rupa? Usah jadikan agenda peribadi sebagai agenda nasional. Apatah lagi kalau mengaitkannya dengan peti undi. Soal menggunakan peti undi sebagai tanda protes amat tidak relevan kerana peti undi itu bukan milik penyokong PPSMI saja. Itu bukan tindakan bijaksana. Berkemungkinan juga hal sebaliknya boleh berlaku (sekiranya PPSMI diteruskan atau dijadikan pilihan setelah diputuskan untuk tidak diteruskan).

Menteri Pelajaran telah menegaskan pendirian kerajaan tentang pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan MBMMBI. Hormati keputusan itu. Serahkan saja soal pendidikan kepada pihak yang arif dalam pendidikan.

Kepimpinan politik negara juga sewajarnya bertegas, sebagaimana ketegasan ketika melaksanakan PPSMI dulu. Ketidaktegasan dan membenarkan campurtangan orang politik berkepentingan atau pihak-pihak yang cenderung mempolitikkan isu ini akan hanya mengeruhkan keadaan dan lebih memburukkan imej kerajaan sendiri.  

(iii)

Tulisan tentang PPSMI banyak juga ditemukan di blog KEMBARA BAHASA.

Ini kali ke empat aku menulis tentang PPSMI.


  • PPSMI : Hanya Mengembalikan Yang Hak
  • Isu PPSMI Lagi : Usah Cakap Tak Serupa Bikin
  • PPSMI : Berikan Noktah untuk Polemik Ini

  • Sebagaimana kata Pengerusi GPMS Kedah, polemik PPSMI hanya membuang masa [DI SINI], maka hentikan saja polemik ini. ABIM juga menolak desakan pihak yang mahukan PPSMI dijadikan pilihan oleh pihak sekolah. Dan GPMS dan ABIM itu adalah juga suara anak-anak muda Malaysia.

    Semoga kita kembali waras dan bebas daripada cengkaman ketaksuban terhadap kemajuan kosmetik sebuah negara berdaulat dan merdeka berlandaskan bahasa asing.

    _____________________

    - SEORANG AKU


    Demam Pilihanraya Umum

    Salam hormat,


    Hmmm, nampak gayanya pilihanraya umum ke-13 memang udah dekat. Udah dekat benor. Sedekat mana, Perdana Menteri saja yang tahu. Tapi demamnya udah terasa benor, dah lama juga. Dah banyak sangat orang politik yang demam, dan ada yang demamnya bukan sebarang demam, tapi demam campur mengidam sekali. Gawat tu.

    Jumaat lalu, PM bentangkan belanjawan negara 2012. Sungguh-sungguh mengujakan rakyat banyak. Bertambahlah usia para penjawat awam. Bertambahkan juga emolumen penjawat awam. Rezeki pilihanraya, kot. Cikgu-cikgu pun tentu senang hati mendengarnya. Mudah-mudahan begitu.

    Memang banyak yang berkata, jujur atau sinis, itulah "belanjawan pilihanraya". Maksudnya, budget kerana menjelang pilihanraya. Memancing hati rakyat. Apapun maksudnya, bersyukurlah! Dan usah terlalu berharap. 

    Agaknya DS Mohd Najib Tun Razak kita masih terus membelek-belek cermin ajaibnya mengintai ilham daripada para penasihat setianya, bila agaknya waktu yang tepat untuk memalu gong genderang perang politiknya. Maklumlah, perang kali ini bukan sebarang perang. Perang hidup mati, antara pemerintah dengan yang hendak memerintah.

    Cuma, yang tak cantiknya, yang tak seronoknya, bunga-bunga perang yang dicambahkan, dan dipasubungakan di kaca TV, di akhbar arus perdana, di akhbar arus tak perdana dan di media baru tak menyegarkan mata yang memandang, otak yang melilau berfikir dan perasaan yang jadi berkecamuk. 

    Hebatnya demam PRU ke-13.


    (ii)

    Aku turunkan puisiku tentang pilihanraya ini (termuat di blog RumahBambu KITA). Walaupun yang aku tulis itu tentang pilihanraya kecil, namun gempaknya kurang lebih sama aje yop.

    Ini dia. Tajuknya, Setiap Datangnya PRK, Demikianlah

    Setiap datangnya PRK, demikianlah,
    peruntukan demi peruntukan turun mencurah
    membanjiri gelanggang bertuah tempat bersilat
    pemimpin baru pun berpencak beramah-tamah
    dari ruang pencalonan ke dewan sekolah
    ke pasar basah ke pusat niaga dan rumah ke rumah
    membangun janji pembangunan
    semuanya untuk rakyat warga setempat
    semoga undinya membawa rahmat. 
    Setiap datangnya PRK, demikianlah,
    saban hari aku termangu menatap dada akhbar
    atau berlutut di kaca tv
    mendengarkan seloka muluknya janji
    sang pemimpin memakmurkan kehidupan;
    tapi kampungku masih seperti itu juga
    balairayanya nak roboh jadi tempat kambing berteduh,
    sekolahnya daif pagar berlubang kerusi meja pun lusuh,
    dan saban hari anak-anak sekolahan menutup muka
    mengharung jalan berlubang berdebu menyakitkan mata.
    Setiap datang PRK, demikianlah
    selalu kudambakan harapan
    mengapa tidak di tempatku saja
    dihadirkan pilihanraya
    dan dilimpahi peruntukan demi peruntukan
    kerana wakil rakyatnya
    barangkali tertidur lena atau alpa
    kerana tiada yang sanggup datang menjenguk pejabatnya
    atau mengetuk pintu rumahnya
    mendesak keperihatinan
    atau menuntut pertanggungjawaban
    atau menagih janji lamanya.
    Setiap datang PRK, demikianlah
    selalu kudambakan harapan
    mengapa tidak di tempatku saja
    dihadirkan pilihanraya
    dan dilimpahi peruntukan demi peruntukan
    walaupun wakil rakyatnya masih sihat sejahtera
    dan pilihanraya pun masih belum tiba.
    ___________________________
    - SEORANG AKU

    Demikianlah, pilihanraya di negara ini dari sudut pandang rakyat kecil macam aku. Orang atas pagar agaknya. Rasa sedih, cemburu, amarah dan meluat kadang-kadang berbaur.
      
    Apapun, semoga aku tidak menyinggung sesiapa. Itu bukan 'nilai' aku.


    ____________________________________

    -  SEORANG AKU