Sunday, January 22, 2012

Negeri Beralih Angin

Salam hormat,

Upacara kipas mengipas memang perkara biasa dalam mencari pengaruh dan kedudukan dalam politik. Maka pesan berikut ini amat sesuai untuk pemimpin politik negara dan negeri..... yang memerintah dan yang diperintah.


.....supaya tidak tergiur oleh ampu bodek dan mudah terpedaya dengan pelaporan pemimpin bawahannya.  

Yalah, manalah tau, nanti yang dikejar takdapat, yang dikendong keciciran pulak. Bertambah lagi negeri yang beralih angin ke sebelah sana.  



(ii)

Dan sebelum terlalu lewat, untuk menghibur diri sendiri...
Happy Birthday to Me !


Hahaha...
______________________________________________

SEORANG AKU

Thursday, January 19, 2012

Jejak Rindu di Mawar Putihku

Salam hormat,



Jejak rindu di Mawar Putihku
memori pun melambaikan tangannya
menjenguk detik senyum tawa gundah atau syahdu
dan langkah longlai menongkah alam baru

(ii)









_________________________

- SEORANG AKU




Tuesday, January 17, 2012

Yang automatik memang mahal...

Salam hormat,



Caj (belajar memandu) kereta automatik lebih tinggi? Demikianlah yang sedang diperhitungkan oleh pihak sekolah memandu, selaras dengan pengenalan Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu mulai Mei 2012. 

Yang pasti, lebih ramai pemandu yang menyenangi kereta automatik. Dengan demikian, ura-ura pengenaan caj ini lebih menggambarkan keinginan pihak sekolah memandu menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan daripada situasi klien (pelajar sekolah memandu) memiliki pilihan untuk belajar memandu kereta automatik yang lebih mudah daripada yang bertransmisi manual yang lebih sukar.

Caj kereta automatik lebih tinggi 
BERNAMA

January 17, 2012 
KUALA LUMPUR - Pelajar yang enggan membayar lebih untuk belajar memandu kereta automatik, boleh memilih belajar memandu kereta manual yang cajnya lebih murah, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. 
Beliau berkata, caj belajar memandu kereta automatik lebih tinggi, pengguna masih mempunyai pilihan lain. 
“Pelajar tidak perlu rasa terikat kerana jika tidak mahu bayar lebih, boleh pilih kereta manual kerana lesen kereta manual boleh juga pandu kereta automatik, tetapi kalau lesen kereta automatik cuma boleh bawa kereta automatik sahaja,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 di Pudu Sentral di sini, semalam. 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura sekolah memandu hendak mengenakan caj 10 hingga 15 peratus untuk belajar memandu kereta automatik. 
Cho Ha berkata, lesen pemanduan kereta automatik itu akan diperkenalkan pada pertengahan tahun ini dan ia sudah pun bermula di negara maju.
[rujuk DI SINI]


Memanglah harga kereta bertransmisi automatik lebih mahal daripada yang bertransmisi manual. Namun ini tidak berkaitan langsung dengan pembelajaran memandu kereta. 


Bukankah mengajarkan pemanduan kereta bertransmisi manual lebih sulit berbanding yang manual? Dan dengan memperoleh lesen memandu kereta manual, pemandu juga berkelayakan memandu kedua-dua jenis kereta itu? Jadi seharusnyalah pembelajaran kereta manual lebih mahal (tinggi) kosnya berbanding pembelajaran kereta automatik.    

Namun kerana kecenderungan pilihan pemanduan masa kini lebih kepada kereta bertransmisi automatik, dan mempelajarinya pula lebih mudah daripada yang manual, maka permintaan untuk mempelajari pemanduan kereta automatik dirasakan lebih tinggi. Faktor ini mungkin saja mendorong keinginan pihak sekolah memandu untuk mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada pengenalan kurikulum baru pendidikan pemandu ini, dengan cadangan pengenaan caj tambahan 10% hingga 15% itu.     

Sewajarnya tidak ada perbezaan kos dalam pembelajaran memandu kedua-dua jenis kereta ini. Terpulang kepada pelajar untuk memilihnya - sama ada mahu memiliki lesen yang melayakkannya memandu hanya kereta bertransmisi automatik (yang belajarnya lebih mudah) atau memiliki lesen yang melayakkannya memandu kedua-duanya sekali (dengan belajar memandu kereta manual). 

Dalam hal ini, yang rugi sebenarnya pemandu sendiri. Sudahlah kena bayar lebih sewaktu belajar memandu kereta automatik, lesen yang diperoleh hanya membenarkan pemiliknya memandu kereta bertransmisi automatik saja? Sungguh merugikan.  

Rasanya lebih eloklah belajar (memandu) kereta manual, .....lebih murah dan dapat kebenaran (lesen) memandu kedua-dua jenis kereta - automatik dan manual. Lagi pun, dalam waktu, situasi dan kes tertentu yang mendesak, kita mungkin juga akan terpaksa memandu kereta bertransmisi manual. Dengan hanya memiliki lesen yang melayakkan kita memandu kereta bertransmisi automatik, bukankah nantinya kita akan cenderung untuk terlibat dengan kes melanggar peraturan kerana lesen yang kita miliki tidak membenarkan kita memandu kereta bertransmisi manual?

Jadi, ikut sajalah saranan Menteri Pengangkutan tu. Belajarlah yang manual. Cajnya murah, lesennya dwifungsi - manual dan automatik. Atau belajarlah yang automatik - mahal dan hanya layak dapat lesen memandu kereta automatik. Beliau bukan peduli sangat soal kos yang akan ditanggung oleh pelajar sekolah memandu. Ura-ura mengenakan kos tambahan untuk pelajar kereta automatik oleh sekolah memandu lebih menarik perhatiannya daripada keinginan rakyat mempelajarinya tanpa peningkatan kos.   

Lagi pun, bukan susah sangat nak belajar memandu kereta manual tu. Hanya perlukan sedikit keberanian, keyakinan, ketekunan, kesungguhan dan kesabaran.

Apa-apa pun, ini soal option. Terpulanglah kepada yang hendak mempelajarinya -  manual vs automatik. Menteri tidak akan bercakap bagi pihak dan menyebelahi kehendak rakyat kecuali setelah menerima desakan atau bantahan yang kuat daripada rakyat sendiri. Itu pun belum tentu berhasil. 

Begitulah nampaknya, yang automatik itu memang sentiasa mahal. Pada hemat saya, sudah sampai masanya untuk industri automobil negara tidak lagi mengeluarkan kereta bertransmisi manual. Dengan demikian, tidak perlulah ada lagi dua set harga belajar memandu  di sekolah memandu - manual vs automatik.



________________________

- SEORANG AKU  

Wednesday, January 11, 2012

Selamat Datang Qaireen Irdina


Salam hormat,



Tahniah untuk Amy dan Zyan.
Alhamdulillah, ke hadirat Allah azzawajalla
kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran
dan mengungkapkan ucapan alu-aluan

Selamat datang Puteri Qaireen Irdina. 



Irfan dan Irsyad juga senyum gembira
adinda nan hadir menceria keluarga.

---------

SEORANG AKU


Sunday, January 1, 2012

Jadikan pendidik yang menyenangi dan menyenangkan murid

Salam hormat,



Selamat Datang 2012. Selamat Menyambut Tahun Baru 2012.

Kepada guru-guru sekalian, selamat kembali ke sekolah. Semoga dengan azam baru, antaranya, menjadi guru pilihan murid - menyenangi dan menyenangkan murid-muridnya. 

Selamat kembali ke sekolah juga untuk murid-murid sekalian, semoga juga hadir dengan azam baru, antaranya, menjadi murid pilihan guru - menyenangi dan menyenangkan guru-gurunya.


(ii)


Syukur alhamdulillah, kembali diparengi waras dan dapat mengisi ruang bicara blog ini pada hari pertama tahun 2012, setelah kurang lebih sebulan setengah tidak berkesempatan mencatatkan sesuatu. 

Kelmarin petang, di Plaza Angsana, secara kebetulan aku bertemu dengan Syed Sulaiman, rakan lama sepersekolahan dan rakan seperjuangan dalam kepimpinan pendidikan daerah. Dalam waktu singkat, bicara kami ikut menyentuh tentang pengisian masa terluang, termasuklah aktiviti berblog. Semangatnya tetap utuh dalam membicarakan soal pendidikan semasa, kreativiti dan keperluan berwacana di blog. Tanyanya, kenapa tidak menulis secara serius (setelah meminggirkan profesion keguruan)? Pesannya, teruslah menulis.

Malam tadi, aku sempat menjenguk beberapa laman blognya. Tampaknya agak lama juga tidak dikemaskinikan, tentunya oleh faktor kesibukan tugas rutin sebagai guru besar. 

Di persada maya, blog yang diupayakan oleh guru memang banyak, tetapi amat sedikit ditemukan blog yang dihasilkan oleh pengetua atau guru besar sendiri. Tulisan di blog guru-guru muda ini pula lebih cenderung ke arah perihal kehidupan peribadi, bersifat santai dan tidak sangat membicarakan ehwal pendidikan secara serius. Barangkali juga kerana faktor yang sama, tidak diizinkan oleh kesibukan rutin sebagai pendidik. 

Aku jadi teringat kepada calon-calon guru yang masih menuntut di universiti dan di institusi perguruan negara, pengalaman menemuduga calon-calon guru sebelum ditempatkan ke sekolah-sekolah dan kisah Adam Adli, mahasiswa UPSI yang tiba-tiba menjadi popular kerana gelagat perjuangan kebebasan akademik universitinya. Apakah mahasiswa institusi perguruan masa kini memiliki ruang waktu yang cukup lumayan untuk memenuhi citra keguruannya menjadi calon pendidik yang berwibawa, hingga ada kemampuan untuk bersantai megah di gelanggang perjuangan memahkotakan demokrasi yang dikatakan terbelenggu oleh AUKU dan sebagainya? 

Dunia pendidikan dan pembelajaran di kampus jauh berbeza daripada dunia pendidikan dan pengajaran di sekolah. Apakah bekalan ilmu dan pengalamian yang diperoleh di universiti itu serasi dan mampu memenuhi kehendak ruanglingkup perkhidmatan dan perjawatan di kancah pendidikan kelak? Apakah gejolak aspirasi yang meluap-luap di kampus itu dapat memanfaatkan fungsi kependidikan di sekolah dan dibawa ke bilik darjah hingga menjadikan mereka sosok guru yang menyenangkan dan menyenangi anak-anak muridnya, insan pendidik yang mampu membangunkan modal insan pengukir masa depan negara?

Aku masih mengingati ungkapan ini;
Ijazah perguruan anda belum tentu menjadi tiket untuk menjadi pendidik sejati. Gantung saja ijazah yang kalian miliki dan mulalah atau teruslah belajar menjadi guru sebenar. Jika anda gagal belajar menjadi guru, maka berhentilah daripada menjadi guru. Tinggalkan dunia keguruan. JIka tidak, anda akan hanya menyusahkan guru lain dan merugikan murid-murid anda sendiri.     
Demikianlah antara cabaran untuk insan guru, khususnya guru-guru yang baru ditempatkan di sekolah-sekolah, apatah lagi calon-calon guru yang masih belajar di institusi perguruan...

____________________________    
  
- SEORANG AKU