Sunday, April 29, 2012

BERSIH OH BERSIH : Kebijaksanaan Memanfaatkan Kesempatan


Salam hormat,


BERSIH 3.0 sudah berakhir dengan keberhasilan melakar sejarah pahit dan manis dalam citra pendemokrasian negara Malaysia. Pahit untuk santapan minda pemimpin kerajaan yang dibelenggu keserbasalahan, dan manis untuk bahan bual bicara pemimpin (dan penyokong) pihak pembangkang anti-kerajaan yang bijak sekali memanfaatkan kesempatan. Bagi mereka, peduli apa dengan undang-undang yang ada. Tak berbekas pun kepada mereka. 




Sesungguhnya gelombang kuning BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 adalah deretan percaturan kebijaksanaan pihak pembangkang dan NGO pendukungnya. BERSIH 4.0 dan seterusnya pasti akan muncul untuk melengkapkan siri perjuangan menawan Putrajaya. 


Semuanya itu berlangsung dalam wadah (ruang, peluang dan kesempatan) yang disediakan oleh pihak pemerintah sendiri. Bukan salah mereka sahaja kalau pemimpin kerajaan sendiri memang berfungsi dalam kecelaruan, ketidaktegasan dan keserbasalahan. 

Keghairahan membetulkan kekhilafan mendepani PRU ke-12 yang lalu, keinginan dilihat sebagai kerajaan yang lebih demokratik, yang lebih berjiwa rakyat, yang kononnya "mendahulukan rakyat" mendorong kerajaan membawakan pelbagai perubahan yang dituntut pembangkang atas nama rakyat. termasuklah agenda transformasi politik yang belum tentu menepati keperluan rakyat banyak dan kesejahteraan negara.  

Pihak pembangkang dan NGO pendukungnya secara berterusan berperanan memukul gendang tari dan menari mengikut rentak yang diciptakan kerajaan untuk melayani karenah mereka melalui asakan isu demi isu dan pertuduhan demi pertuduhan sehinggalah menjelang tarikh pilihanraya. Isu ketelusan atau keadilan atau kebersihan SPR hanyalah umpan untuk menghalalkan tindakan provokatif terhadap kerajaan melalui demonstrasi jalanan. Tidak ada istilah DUDUK BANTAH pun dalam kamus perjuangan mereka. 


Apakah pemimpin-pemimpin kerajaan betul-betul memahami aspirasi rakyat banyak? Usahlah terus terperangkap dengan "genderang perang" yang dicanangkan pihak pembangkang. Bijaksanalah dalam membaca dan mengolah permainan politik mereka. Usah hanya beretorik berkeluh-kesah mengungkapkan rasa bangga, kesal atau sedih dan terus menerus menyalahkan pembangkang sahaja.

Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang aman damai, unik dan berbeza daripada negara-negara lain di dunia ini. Yang baik di Amerika Syarikat, di Australia, atau di Indonesia belum tentu baik bagi Malaysia. Mereka bukan semestinya model contoh pemerintahan yang baik untuk kita. Jauh sekali untuk menyamakan Malaysia dengan Mesir, Libya dan yang sewaktu dengannya. Hanya pihak yang gila kuasa saja yang ingin menjadikan wadah politik Malaysia sama seperti iklim politik di negara yang disebutkan tadi.  

Sebelum terlewat, dan sebelum nasi menjadi bubur, semoleknyalah pemimpin negara juga melakukan transformasi pemikiran untuk menjadikan kerajaan yang ada sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan  tidak tunduk pada percaturan politik pembangkang. Ingatlah, rakyat mungkin saja menyokong pembangkang bukan kerana menyukainya dan menyakini bahawa mereka berada di pihak yang benar. Rakyat mungkin saja menyokong pembangkang kerana sudah bosan dan tidak sudi memiliki pemimpin kerajaan yang kelihatan lemah dan tidak mampu menegakkan sebuah negara yang bebas daripada ancaman kacau-bilau dan kegilaan berpolitik yang tidak bertempat yang diizinkan oleh kerajaan sendiri.

Kepelbagaian pendekatan populis kerajaan, termasuk cadangan meminda AUKU, memansuhkan ISA dan lainnya amat menepati selera pihak pembangkang, dengan memudahkan laluan mereka memenuhi keghairahan dan impian merampas Putrajaya dan membantu mempercepatkan "waktu kematian" pemerintah. Ini ditambah dengan pelbagai isu kepincangan yang dikatakan begitu ketara dalam ehwal pengurusan khazanah negara melalui pelbagai agensi dinaungi kerajaan yang seperti dibiarkan begitu saja, sedangkan rakyat amat mengharapkan tindakan segera dilakukan untuk memperbetulkannya.

Rakyat mungkin saja akan kehilangan kesabaran lalu pasrah dengan senario yang dihidangkan sebagaimana dendangan lagu "Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan ! Biarkan!" 

Kepada pemimpin kerajaan yang diberikan kuasa memerintah, zaman beretorik memang sudah berakhir. Berikanlah makna sebenar kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara dengan ketegasan dan keberanian (tanpa banyak songel), sebelum negara ini menjadi kacau-bilau kerana kegilaan gerakan BERSIH ciptaan pemimpin pembangkang dan NGO yang mendukungnya. Mereka hanya memainkan sentimen rakyat dan mempergunakan rakyat yang taksub dengan perjuangan dan janji mereka untuk menghalalkan gerakan jalanan mereka. Gerakan BERSIH mereka yang mengatasnamakan perjuangan rakyat sesungguhnya menawarkan ancaman kepada keselamatan negara.

Perlembagaan dan undang-undang kini tidak lagi dihargai dan dihormati oleh sebilangan pemimpin pengamal perundangan sendiri dan kelompok warga politikus songsang yang kempunan dan dahagakan kuasa Putrajaya. Pada mereka, bersandarkan keputusan pilihanraya umum ke-12 lalu, dan dengan berpegang pada prinsip "matlamat menghalalkan cara", PRU ke-13 inilah waktu paling tepat untuk menamatkan era pemerintahan kerajaan yang ada.

Mereka membuktikannya dengan keberanian mempersendakan undang-undang lewat BERSIH 1.0 dan 2.0, dan amat menyenanginya apabila terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berwajib. Dan kali ini mereka meneruskannya dengan lebih hebat lagi menerusi BERSIH 3.0 kerana meyakini bahawa rakyat berpihak kepada mereka dan kerajaan tidak memiliki keberanian atau kekuatan untuk bertindak ke atas mereka.

Demikianlah kebijaksanaan penentang kerajaan dalam memanfaatkan kesempatan yang terbuka di depan mata. Mereka bukan saja tidak bersedih dan menyesali kejadian yang melanda KL akibat kegilaan penyokong mereka lewat perhimpunan Aman Duduk Bantah BERSIH 3.0 mereka, sebaliknya (sebagaimana biasa) menyalahkan pihak polis dan kerajaan sendiri sebagai punca rusuhan itu. Malahan, mereka sudah pun bercakap (memberikan ancaman atau amaran kepada kerajaan) tentang BERSIH 4.0.



_____________________________

- SEORANG AKU





Saturday, April 28, 2012

BERSIH 3.0 : Akibat Tidak Mahu "Distadiumkan"

Salam hormat,

[ Kisah Ayam Sabung Pejuang BERSIH... ]

Dipaparkan sebahagian foto pilihan daripada Peristiwa BERSIH 3.0 
di Dataran Jalanraya sekitar Kuala Lumpur, 28 April 2012. 

[Foto daripada pelbagai sumber blog dan akhbar harian online] 

__________________


Perhimpunan aman kami DUDUK BANTAH aje... tak lebih tak kurang.
Bukan saja di Dataran Merdeka, tapi juga di seluruh negara dan dunia...
Dan Ambiga kami dah kata,
We will be the first to hand anyone who misbehaves to the police,” 


Dataran Merdeka tetap jadi pilihan. Stadium Merdeka kami dah tak minat. 
Selamat menyambut kedatangan kami yaa...




Bersama Pengerusi kami... calon menteri wanita tu, layak jadi Menteri Dalam Negeri! Dia lebih berani daripada menteri yang sedia ada. Nampak ceria dan berseri-seri. Manakan tidak, peserta demo kali ini pasti lebih ramai daripada yang dulu-dulu. 


Melepaskan lelah bersama Pengerusi Bersama kami... Kesian dia, tengah semput tu ! 


Haa, inilah Pemimpin Anugerah Tuhan kami, sumber inspirasi kami. Calon Perdana Menteri tu... Kalau dia jadi PM nanti, tentu hari-hari kami boleh buat demonstrasi dengan bebas... atau mungkin dah takboleh lagi, sebab perjuangan udah selesai?


Hamparan kuning "diimaginasikan" membanjiri dataran Merdeka (?) dan jalanraya KL,... hebat bukan ? Siapa DBKL nak nafikan hak rakyat...


Kami sedang DUDUK BANTAHlah ni...


Belajar berenang, mana tau pancutan air meriam FRU membanjiri jalanraya...


Destinasi belum kesampaian. Betul ke- ni jalan ke Dataran Merdeka?


Kalau macam ni payahlah nak takluk Dataran Merdeka...
Bukankah Pemimpin Anugerah Tuhan kami dah beri amanat tadi, takluk Dataran Merdeka ni. Takluk, jangan tak takluk!


Seronok jugak bermain gas pemedih mata ni...


Peluang berpesta macam ni bukan senang nak dapat yop.... 


Ni dia penghalang kerja murni kami... Kita kerjakan dia...


Kehebatan Perhimpunan Aman kami. Ambiga pun takjub pada kami... Katanya dia tak suruh kami buat macam ni...


Yang kami terbalikkan ni harta kerajaan, harta rakyat jugalah tu... Kalau buat macam ni baru ada power. Kerajaan pun bukan boleh buat apa-apa pada kami... apalagi  barisan peguam kami hebat-hebat belaka.


Tengok, beraninya Unit Amal kami. Ayuh semua, kita SERBU!!!


Tak dapat bertempur dengan si topi merah, dapat lepas geram kat benda yang ni pun jadilah...


Ha.... macam inilah caragayanya... baru ada makna! Taklah sia-sia mai kat sini! Datang setakat duduk bantah buat apa...


Ehh, mula-mula tadi BERSIH, kenapa akhirnya jadi KOTOR? Biasalah, cakap memang tak serupa bikin. Dan, Ambiga dah suruh kami balik, Katanya, kami dah menang walaupun tak dapat takluk Dataran Merdeka. Calon PM kami tentu puashati walaupun sedikit hampa, kan?


Takapalah. Seluruh dunia dah saksikan kehebatan kami menghuruharakan KL demi pemimpin yang kami cintai. Kami tunggu BERSIH 4.0, mungkin di Stadium Merdeka kot...


Demikianlah persembahan kami hari ini. 
Berjaya tapi gagal. Gagal tapi berjaya.

Kata Abiga, hari ini hari bersejarah buat kami. Kami dah berjaya dan desakan kami sudah didengar...
Dan Ambiga kami mengaku yang dia gagal tunai janji untuk kawal peserta DUDUK BANTAH.
Baca di SINI dan di SINI.

Pada kami, yang salah tetap kerajaan dan polis. Mereka patut dipertanggungjawabkan atas apa yang terjadi. Apa-apa pun, 388 kawan kami yang ditahan polis tu dah dibebaskan.

BERSIH 3.0 memang menjanjikan DUDUK BANTAH... 
tapi duduk bantah mana ada dalam kamus perjuangan kami!


____________________

SEORANG AKU


Friday, April 27, 2012

BERSIH 3.0 : Mengapa Tidak Mahu di Stadium ?

Salam hormat,


Terkini : 
_________________________

Perhimpunan BERSIH ini
sebuah perhimpunan aman
sebuah hamparan kuning raksasa lautan manusia
untuk diperagakan dipertontonkan
melalui pelbagai sumber media yang ada
kepada semua rakyat jelata
kepada seluruh warga dunia - dalam dan luarnya,
bukan untuk kami bersandiwara
dan syok sendiri.


Kalau dibuat di stadium mana pun jua,
tempatnya tentu tertutup, pengap dan membosankan
tanpa penonton, pemerhati dan pelancong asing menjadi saksi
perhimpunan keramat ini menjadi hambar dan kehilangan erti
lalu mana ada uuumphnya tuan puan
mana ada keseronokan dan dramatiknya tuan puan
tak tercapailah matlamat tersiratnya tuan puan
ahh, memenatkan saja.


Tak akan ada unsur provokasi dan caci makinya
tak akan ada mandian air pancutan meriamnya
tak akan ada tembakan gas pemedih matanya
tak akan ada lakonan tercedera atau mati sementaranya
tak akan ada drama kejar mengejar dengan polis FRU pengawal keadaannya;
cuma setakat mendengar ucapan berapi-api, buat apa tuan puan
cuma setakat duduk-duduk sembang-sembang, buat apa tuan puan
cuma setakat berposing ambil foto sendiri, buat apa tuan puan.


Kami memang mahukan liputan maha meluas semua jenis media
dalam dan luar negeri sejagat raya
supaya berita unjukrasa ini tersebar pantas membelah angkasa raya
gambar kami terpancar gah di seluruh pelosok dunia
barulah kami ini disanjung sebagai hero wira pejuang demokrasi namanya,
bukankah kami berjuang untuk keadilan sebuah pilihanraya negara
yang bebas lagi bersih dan telus amalannya
bukankah kami berjuang demi menakluki Putrajaya
dan membina masa depan Malaysia baru negara tercinta
yang nanti lebih saksama, samarata dan gemilang pemimpin rakyatnya
pemimpin pilihan anugerah Tuhan.


___________________

- Seorang Aku

BERSIH 3.0 & Menang Sorak Kampung Tergadai

Salam hormat,


Dari Harakah ke blog dinturtle, foto berikut disinggahkan di blog ini.

Cantik foto ni. Di Masjid Nabawi lagi.


Kata dinturtle, MasyaAllah...... apa dah jadi ni ? 

Kataku, yang dah jadi tu jadilah, Din. Perhimpunan Aman tu. Menyokong yang bersih tu kan elok. Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Cuma, yang nak jadi tukang bersih tu betul-betul bersih ke-? 

Yalah. Yang dah terjadi tu biarlah. Yang 28hb ni di Dataran Merdeka, apa nak jadi? 

Kata DBKL, takboleh guna Dataran Merdeka. Kata BERSIH 3.0, itu padang rakyat yang punya - "It's our padang and we've the right to use it." 

Dan berita terkini melaporkan bahawa Dataran Merdeka akan ditutup sementara.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sementara Dataran Merdeka dan kesemua laluan ke kawasan itu berkuatkuasa 6 pagi esok sehingga 6 pagi Ahad ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam satu kenyataan, Khamis, berkata penutupan sementara kawasan tersebut kepada orang awam adalah menurut seksyen 65 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan dikawal di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
[ sumber : mStar Online ]

Kita tunggu sajalah Sabtu ni. Yang akan terjadi pasti akan terjadi.

(ii)


Membaca blog orang lain, teringat akan blog sendiri. Selalu kewalahan untuk dikemaskinikan. Konon nak menyepi menyendiri. Nak pencen berblog. Tapi sukar jugak rupanya. Masih ada rindu membisik - bersantailah lagi. Sementelah ada jugak yang sinis memperli - "Hangat-hangat tahi ayam engkau ni... Engkau kan dah tak sibuk lagi! Membaca blog orang lain memang seronok, tapi usahlah abaikan blog sendiri". 

Ingat ayam, teringat akan Pak Kaduk. Ayam dia menang bersabung, tapi kampung dia boleh tergadai pulak. Ahh, malang sungguh nasib Pak Kaduk ya. Tapi, apa nak buat kan, akalsihatnya tak mengenal tipu muslihat gelanggang pertarungan.


Tapi, pada zaman gila berpolitik yang serba canggih ni, di negara ini, bermatlamatkan penaklukan (perampasan) Putrajaya, bertopengkan demokrasi yang berdoktrinkan kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan konsep keadilan-kesamarataan ciptaan sendiri, udah terlalu banyak kaduk yang dah naik junjung!

Maka Pak Kaduk yang berbajukan kertas dan bersorak kegembiraan kerana kemenangan ayam sabungnya itu terpaksa kembali ke rumah dengan bertelanjang bogel, dan ternyata bahawa dialah sebenarnya yang  telah menggadaikan kampungnya sendiri. Demikian adanya.

Maka semoleknya diambil pengajaran, dan berhentilah daripada menjadi Pak Kaduk atau dijadikan Pak Kaduk.  


_______________________

- SEORANG AKU


Itu Perkhabaran Yang Kita Terima...

Salam hormat,



Kata orang dulu-dulu, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. 

Masalahnya, itu cakap orang dulu-dulu. Cakap orang sekarang dah tak macam tu. Cakap siang ke-, cakap malam ke-, sama saja. Yang penting, aku cakap apa-apa yang aku nak cakap. Engkau nak dengar atau tidak, nak percaya atau tidak, itu engkau punya fasal. Aku peduli apa. Soal betul atau tidak, engkau siasatlah sendiri.

Dengan demikian, apabila diajukan pertanyaan tentang kesahihan maklumat yang dicakapkannya, beginilah pula jawapannya:  "Itu perkhabaran yang kita terima. Wallahualam kita pun tidak tahu..."


(ii)


Alkisah, ini versi Youtube :



dan ini versi akhbar :
“Itu perkhabaran yang kita terima. Wallahualam, kita pun tidak tahu... jadi saya minta pihak berkaitan melakukan siasatan terhadap khabar ini. Sama ada mereka (Perdana Menteri dan Panglima dalam ATM) nak nafikan atau terima (khabar)... itu terserah,” katanya. 


[ Rujukan lanjut :  Berita Harian Online ]

(iii)

Yalah tu. Nama pun khabor angin ya yop. 

Sebenornya aku ni cuma nak tolong sebarluaskan saja. apa yang dikhabarkan kepada aku.melalui ucapan aku ni. Terlanjur ada ruang dan kesempatan bersama rakyat. Apa pandangan engkau orang, terpulanglah. Ini kan negara demokrasi. Maka kita bebas bersuara. Kita bebas menyebarkan apa saja khabar, termasuklah khabar angin.

Aku bukan menuduh, apa lagi memfitnah. Aku cuma menyampaikannya saja. Mungkin betul mungkin tidak betul. Engkau orang siasatlah sejauhmana benar tidaknya. Pihak berwajib pun kenalah siasat. Ini isu besar. Ini isu masa depan negara. 

Lagi pun, ini memang kerja orang politik macam aku. Semuanya boleh dijadikan isu atau polemik, asalkan mengatasnamakan rakyat. 

Lagi pun, angin politik kat Malaysia ni memang sentiasa bertiup kencang. Molek sungguh untuk melayangkan sebarang khabar angin. Rakyat pasti amat gembira mendengarnya. Pasti ramai yang akan teruja dan akan menjaja cerita-cerita macam ini di seluruh ceruk rantau Malaysia. Apa lagi kepada sebilangan golongan mahasiswa dan anak muda yang memang mudah berangin seluruh badan kalau menyebut soal kerajaan yang ada. 

Ini pun modal mahal untuk pilihanraya akan datang ni.... Bukan senang nak tarik hati pengundi yop. Betul tak?

______________________

- SEORANG AKU





   



Aduhai Mahasiswa, Berjuanglah Dengan Bijaksana

Salam hormat,


PTPTN merupakan buah tangan kerajaan yang dikatakan membebankan mahasiswa. Dengannya, siswazah  peminjam PTPTN mewarisi hutang puluhan ribu yang akan ditanggung bertahun-tahun sepanjang menempati ruang kerjayanya. 

Lantas dengan penuh semangat, dilaungkan gema "Hapuskan PTPTN" oleh sekelompok mahasiswa yang menyakini bahawa rakyat tidak memerlukan PTPTN dan kerajaan wajib menyediakan peluang pendidikan percuma kepada rakyatnya hingga ke peringkat universiti. 


Analoginya mudah. Tanggungjawab kerajaan ialah menyediakan kemudahan pendidikan percuma kepada rakyat hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Dengan pendidikan percuma, tidak perlulah pembiayaan PTPTN untuk menampung kos yuran pengajian di universiti. 

Itulah juga antara genderang perjuangan yang dimainkan parti politik pembangkang tersohor tanahair dalam upaya meraih sokongan rakyat (dan undi ketika pilihanraya umum kelak), apalagi sokongan kelompok pengundi dalam kalangan mahasiswa dan siswazah universiti yang kini "terbeban" oleh pinjaman PTPTN. Dan pemimpin parti politik ini menjanjikan penghapusan PTPTN apabila (sekiranya) diberi mandat berkuasa melalui kemenangan dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.


Maka berdemonstrasilah sebilangan kelompok mahasiswa untuk mendukung dan menyokong perjuangan murni ini, demi masa depan mahasiswa negara ini keseluruhannya. 

Dan gara-gara demonstrasi perjuangan mahasiswa menuntut penghapusan PTPTN inilah juga, tiga anak muda pemimpin pergerakan mahasiswa penuntut Universiti Malaya (foto di bawah) berdepan dengan tindakan disiplin di bawah AUKU yang membawa kemungkinan penggantungan pengajiannya sekiranya didapati bersalah. Pertuduhannya memalukan universiti dan memudaratkan ketenteraman awam. [rujukan :  Sinar Harian, 26 April 2012]

Kasihan mereka. 


Sebelum ini, Adam Adli Abd Halim telah digantung tiga semester oleh pihak UPSI kerana unjukrasa menuntut kebebasan akademik dan keberanian (kehebatan) menurunkan bendera DS Mohd Najib Tun Abdul Razak di ibu pejabat UMNO di PWTC. Semakin bertambah lambatlah bakal cikgu ini hendak merasai nikmat menjadi pendidik subjek Bahasa Inggeris yang berkaliber di sekolahnya kelak.


(ii)

Kalau Adam Adli menganggap bahawa penurunan bendera PM di PWTC itu sebagai perkara kecil, bukan suatu kesalahan dan simbolik kepada bantahan terhadap kegagalan kepimpinan negara dalam memenuhi tuntutan untuk memansuhkan AUKU, Mohamad Safwan Anang (Pengerusi SMM) juga tidak menganggap isu kalungan bunga (di foto PM dan Menteri Pengajian Tinggi) sebagai isu besar, kecuali sebagai simbolik protes menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.
Safwan berkata, "kami amat kecewa. Tindakan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib Pelajar seolah-olah melambangkan mereka kurang cerdik dalam membuat sebarang keputusan."
''Mereka tidak faham apa yang mahasiswa cuba sampaikan mesej. Kami hairan, sepatutnya pihak universiti mengenakan tindakan atas kesalahan mengadakan demonstrasi bukannya kalung bunga,'' ujarnya pada sidang media petang tadi di Dataran Merdeka.
''Isu kalung bunga bukanlah satu isu besar. Tindakan tersebut dilakukan sebagai simbolik protes semata-mata bagi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.
''Kami tidak mengugat ketenteraman awam dan keganasan. Itu prinsip kami dalam isu ini," katanya.
Menurutnya, ia tidak membawa maksud atau kesan ke atas kepercayaan mana-mana agama.
''Kenapa Najib boleh dikalungkan bunga ketika berada di Batu Caves atau apa-apa acara? Tindakan itu bukan melambangkan meninggal dunia kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya apa yang disampaikan adalah mengenai hak mahasiswa yang ‘mati’ kerana pemimpin tidak memberikan komitmen terhadap tuntutan mahasiswa," katanya lagi.

Demikianlah daifnya sudut pandang kedua-dua anak muda ini - menganggap remeh perkara yang amat sensitif kepada sebilangan besar rakyat. Adam Adli tidak melihat tindakan pencerobohannya ke atas harta UMNO itu (di ibu pejabat UMNO) sebagai perbuatan biadap. Mohamad Safwan juga tidak dapat membezakan (antara) kalungan bunga untuk orang hidup (dengan) daripada kalungan bunga untuk orang mati. Kalau yang diperjuangkan ialah hak mahasiswa (yang mati atau dimatikan), maka mahasiswalah yang sepatutnya memakai kalungan bunga itu sebagai perlambangan bahawa hak mereka telah dimatikan. 

Demikianlah naifnya pemikiran kedua-dua anak muda ini dalam menerjemahkan perlakuan biadap mereka yang sesungguhnya berunsur provokatif ke arah mengundang kemarahan orang banyak dan mampu mengganggu ketenteraman awam. 

Kasihan mereka. Perjuangan mereka tidak dilandasi kebijaksanaan yang sepatutnya dimiliki golongan pemimpin mahasiswa. Mereka merendahkan kewibawaan mereka dengan kehebatan berpidato cuma di atas jalanan atau pentas demonstrasi.


______________________________

- SEORANG AKU