Thursday, January 31, 2013

Perangkap isu kalimah Allah menjelang PRU ke-13

Salam hormat,











Petikan video berikut ini bersumberkan "Forum Polemik Isu Kalimah Allah" anjuran Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Auditorium Utama UIA Gombak pada 20hb Januari 2013". 




Sebetulnya tiada isu pun. Atau sepatutnya tidak dijadikan isu. Ada niat tersembunyi di sebalik permainan isu ini. Lim Guan Eng yang menghidupkan kembali isu ini memanglah "kaki pancing" atau "kaki jolok". Dan tiga serangkai kepemimpinan Pakatan Rakyat yang mengisytiharkan persetujuan mereka itu cuma bermain-main dengan sentimen rakyat demi undi dan kuasa menjelang PRU ke-13. Yang kena main atau pancing sebenarnya adalah PAS sendiri. Sebab itu 'flip flop' menjadi igauan PAS. Hanya penyokong totok PAS saja yang menyokong permainan kurang siuman kepimpinan mereka. DAP sekarang tersenyum lebar. PKR memang opportunis yang memihak kepada yang dirasakan menguntungkan mereka. Yang kelam kabut akhirnya PAS sendiri. Yang rugi pun PAS sendiri. Masakan umat Islam Malaysia yang waras sanggup menyokong kegilaan kesepakatan bermain politik dalam isu seperti ini.    

Jadi tidak perlulah dipegang akan "persepakatan murni" Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat  lewat perisytiharan Hj. Hadi-Anwar-Kit Siang itu. Mereka boleh bersepakat dan bercakap tentang apa-apa sahaja yang disukai oleh mereka, tetapi mereka tidak mempunyai autoriti untuk memutuskan boleh atau tidak boleh kalimah Allah digunakan oleh penganut agama bukan Islam di negara ini. Kita sudah ada Perlembagaan Negara yang sangat jelas kandungannya tentang kedudukan agama Islam. Kita sudah ada fatwa tentang larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan pengamal agama selain Islam di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri-negeri (kecuali beberapa buah negeri). 

Yang jadi isu sekarang ini ialah kelemahan penguatkuasaan undang-undang tentangnya. Kepada mereka yang diberikan kuasa dan amanah untuk melindungi Perlembagaan Negara dan kesucian agama Islam, bertindaklah melalui jalur perundangan terhadap setiap salahtingkah dan kebiadaban pemimpin dan penganut agama lain ke atas agama Islam. Usah menunggu majoriti umat Islam semakin marah dan bosan dengan karenah songsang penganut agama lain dan gelagat politikus yang takut kehilangan kuasa atau yang kemaruk kuasa, apabila menyaksikan kegagalan sang penguasa dan jentera pentadbirannya merungkai isu ini. Usah terperangkap dengan agenda licik musuh Islam yang bertopengkan parti politik, pertubuhan NGO dan sebagainya. Kesabaran dan tolakansur itu ada batasnya. Usah dibiarkan umat Islam kehilangan kesabaran lalu bertindak di luar batas perundangan. 

Belajarlah daripada peristiwa Natrah. Usah dibiarkan cacing naik ke mata!!!  



______________________

- SEORANG AKU







  


Menggapai Putrajaya

Salam hormat,


Jelajah merdeka rakyat berhibur,
dilobi citra pesona kuasa,
riwayat dihambur janji ditabur,
moga terkesima sang badut bertakhta.


Memikat undi rancak bertarung,
nyanyi tari tangis pun molek,
sensitiviti terpasung emosi membusung,
memuja kerusi bertandang bergolek.


Himpun bangkit rakyat terjaja,
merobah sang penguasa inilah kalinya,
rangmuda terpedaya mudahnya percaya,
oh, terujanya beta menggapai Putrajaya.

______________________

- SEORANG AKU


Sunday, January 20, 2013

Suara Rakyat Suara Keramat


Salam hormat,


Seminggu telah berlalu sejak kelangsungan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 di Stadium Merdeka. Bahang pengkisahannya tidaklah sehangat minggu-minggu selepas berlangsungnya peristiwa BERSIH 3.0 yang lalu. Perhimpunan berjalan lancar dan terkawal. Mungkin juga kerana perhimpunan kali ini memang memperoleh restu kerajaan selaras dengan kehendak Akta Perhimpunan Aman, dan kemampuan pihak PDRM mendepaninya dengan tenang dan berhemah.

Ternyata bahawa kerajaan dan PDRM telah belajar daripada kekhilafan dalam menangani perhimpunan yang lalu - bahawa keghairahan berhimpun dengan semangat dan emosi yang meluap-luap sebegitu rupa perlu diladeni dengan bijaksana dan senyuman.

Rakyat jelata yang mencintai keamanan pastinya berasa lega dengan kelangsungan perhimpunan yang benar-benar aman itu. Pihak PDRM dipuji kerana melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Pihak kerajaan turut mengambil kredit dengan mengaitkannya dengan keberhasilan Akta Perhimpunan Aman dan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mampu melaksanakan misi mereka sebagaimana aspirasi akta tersebut, meskipun pihak PDRM mengesan dan menegaskan bahawa pihak penganjur telah melanggar tiga syarat yang dipersetujui sebelum berlangsungnya perhimpunan ini. 

Pihak penganjur pula dengan bangganya mewarwarkan kejayaan perhimpunan kali ini yang menghadirkan jumlah peserta yang jauh lebih banyak daripada yang sebelumnya. Bagi mereka, kejayaan ini merupakan ingatan kepada kerajaan supaya "tidak main-main dengan kuasa rakyat", dan sekaligus amaran supaya menghadirkan pilihanraya umum ke-13 yang bersih, telus dan adil.  



Rasanya terlalu awal untuk pihak kerajaan meyakini bahawa penganjur perhimpunan itu sesungguhnya berpuashati dan gembira dengan Akta Perhimpunan Aman dan kejayaan program Himpunan Kebangkitan Rakyat itu. Bagi Pakatan Rakyat, ini cuma permulaan. Sekiranya apa-apa yang dituntut tidak tertunai, terutamanya tentang pilihanraya yang bersih, telus dan adil (mengikut persepsi mereka), apakah mereka akan menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 kelak jika keputusan itu tidak memihak kepada mereka?  

Oleh sebab perhimpunan aman di stadium tidak mungkin meninggalkan impak yang sama dengan demonstrasi jalanan (yang tentunya lebih memberangsangkan dan mendapat liputan lebih meluas dan menguntungkan mereka), apakah mereka tidak bersedia kembali semula ke jalan raya seperti sebelum ini? Bukankah telah terserlah niat dan gagasan untuk mengajak rakyat menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan slogan "Ini Kalilah"? Bukankah telah dipahatkan keyakinan bahawa PRU ke-13 tidak akan berjalan dengan adil, telus dan bersih? Dan bukankah juga telah dilaungkan ungkapan "Suara Rakyat Suara Keramat"?

Ucapan berapi-api Hishamuddin Rais sebelum berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (seperti di bawah ini) juga turut membawakan semangat protes jalanan yang dimaksudkan itu.


Demikianlah kelangsungan perhimpunan terakhir Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya umum ke-13 -  perhimpunan sebelum menuju ke Putrajaya, dan perhimpunan sebelum mereka melaksanakan gerakan memerdekakan rakyat Malaysia sekali lagi!!!

Soalnya, apakah "Suara Rakyat Suara Keramat" itu hanya milik Pakatan Rakyat hingga rakyat Malaysia keseluruhannya merestui dan mengizinkan rakyat negara ini dimerdekakan sekali lagi?



____________________________

- SEORANG AKU

Saturday, January 12, 2013

Menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat 112

Salam hormat,


Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 akan berlangsung mulai jam 2.00 petang ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Kebenaran telah diperoleh selaras dengan keperluan Akta Perhimpunan Aman. 

Kali ini cukup jelas bahawa Pakatan Rakyatlah yang menjadi "ibu" kepada segala macam gerakan perhimpunan menentang kerajaan - secara langsung atau tidak langsung - kerana di sinilah nanti bergabungnya semua himpunan gerakan parti politik dan NGO berkenaan. Namakan saja. Cerita-cerita tentang BERSIH, Lynas, Felda, ABU (dan sebagainya), isu-isu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, kelestarian alam sekitar, fitnah (dan   sebagainya), dengan himpunan pelbagai warna - kuning, hijau, oren (dan sebagainya) akan berkumandang di sini. Akhiran ceritanya ialah kegagalan kerajaan memenuhi semua tuntutan rakyat dan keperluan mendesak untuk menggantikannya dengan kerajaan baru yang dipromosikan Pakatan Rakyat. Dan waktu paling tepat ialah Pilihanraya Umum ke-13.

Yang pastinya Stadium Merdeka ini tidak mampu untuk menampung "sejuta" peserta yang dikatakan akan menyertainya. Yang pastinya, tidak boleh tidak, akan ada perarakan (jalanan) menuju ke stadium daripada pelbagai arah yang ada. Dengan demikian, pastilah akan lebih banyak peserta perhimpunan terpaksa berkampung di sekitar stadium dan di jalan-jalan raya di sekeliling stadium. Meskipun pihak polis (PDRM) telah menjanjikan kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung, apakah pihak penganjur dapat menepati jaminannya untuk memastikan segala syarat dipatuhi dan perhimpunan (serta perarakan jalanan menuju ke Stadium Merdeka) berlangsung dengan aman dan tertib? Suasana pasti hangat, riuh-rendah dan penuh cabaran. Kita tengok sajalah realitinya pada petang ini.  

Ini perhimpunan politik memperkuat semangat perjuangan merampas Putrajaya daripada kerajaan yang ada menerusi PRU ke-13 beberapa bulan lagi. Pakatan Rakyat mengharapkan perhimpunan ini dapat meninggalkan impak yang positif ke arah peningkatan sokongan rakyat terhadap aspirasi mereka, dengan slogan "kalau bukan sekarang, bila lagi?". Dan anak-anak muda pengundi baru memang menjadi sasaran utama dan pertaruhan ampuh ke arah mengutip mata penuh untuk memenangi perlawanan di gelanggang pilihanraya nanti. 

Apa-apa pun yang akan terjadi pada petang ini dan kelanjutannya, elok kita perhalusi petikan video yang berikut ini untuk kewarasan pertimbangan bersama. 

    






Sejauhmanakah keberhasilan perjuangan ini sesungguhnya sukar untuk diramal. Yang pasti, apapun keputusan pilihanraya kelak, kerajaan BNlah yang akan tetap dipersalahkan : BN kalah kerana telah melakukan banyak kesalahan sepanjang era pentadbirannya hingga rakyat menolaknya, atau BN menang kerana menyalahgunakan jentera pilihanraya hingga pilihanraya menjadi tidak bersih. Sebab itulah sekarang ini pun mereka masih mencanangkan pernyataan bahawa tuntutan BERSIH mereka masih (telah) gagal dipenuhi oleh kerajaan. Mereka terus menyogok minda rakyat untuk meyakini bahawa jika pilihanraya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih, mereka pasti menang!  

Demikianlah, jika mereka menang dalam PRU ke-13 nanti, akan dikatakan dengan bangganya bahawa rakyatlah yang memenangkan mereka. Namun, jika mereka kalah, mereka tidak akan mengatakan bahawa rakyatlah yang mengalahkan mereka. Maka akan dicanangkan ke seluruh pelosok jagatraya bahawa inilah bukti bahawa pilihanraya di Malaysia tidak adil dan kotor sekotor-kotornya, malah dikatakan paling kotor dalam sejarah pilihanraya negara. Dan ini jugalah merupakan tiket selanjutnya untuk menghalalkan tindakan mereka seterusnya, iaitu penerusan agenda perhimpunan jalanan menuntut "digulingkan" kerajaan yang kononnya memenangi pilihanraya melalui pilihanraya yang tidak bersih, atas nama "Kebangkitan Kuasa Rakyat".

(ii)

Elok juga dibaca tulisan dalam ANOTHER BRICK IN THE WALL di SINI  dan tulisan di blog JUST READ! di SINI sebelum kita menyaksikan persembahan sebenar HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT lewat petang ini.


___________________________

- SEORANG AKU