Thursday, February 9, 2012

Selamat Pagi Guruku, Aku Datang Dengan Harapan

Salam hormat,



Selamat pagi guruku
hari ini, sebagaimana hari-hari yang berlalu
aku datang dengan harapan
aku mahu pulang dengan kejayaan.

(ii)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa riang gembira
menunggu tutur kasihmu mendidik ghairah belajar,
aku ini murid biasa tak sepandai mana
selalu khilaf tapi tak berani bertanya meski semangat berkobar.


(iii)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa teruja dan cemburu
menunggu kata pujimu tak kunjung tiba,
ujian subjekmu aku hanya lulus tahap biasa
meski telah bersengkang mata menelaah membaca.

(iv)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa amat curiga
menunggu kemungkinan tingkahmu tak terduga,
kerja rumahku banyak sekali menuntut dituntasi
hingga taksempat tersiapkan malam tadi.

(v)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa sendu pilu
menunggu hukummu didera di tempat terbuka,
gagal ujianmu rupanya suatu kesalahan maha berat
seberat tunjukajarmu yang sukar mendekat.

(vi)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa keliru dan payah
menunggu hadirmu tak pernah mesra dan berhemah,
kata ayahku, kegagalan itu bukan suatu dosa atau jenayah
perlu dihukum dimalukan disumpah-seranah,
gurumu mungkin juga keliru dan payah
kerana menitiskan ilmu itu bukanlah kerja mudah
semudah menampung air ketika hujan mencurah.

(vii)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa berdebar-debar
menunggu fitrahmu jadi penyayang pemaaf penyabar,
kata ibuku, guru itu pendidik bijaksana selaut ilmunya
akalsihatnya jernih bersih penyukat tindakikutnya,
gurumu itu manusia biasa mungkin saja khilaf bertingkah
terlalu mendesak mengharap lalu terbias emosinya
maafkanlah, hormatmu usah rebah meski dengan hati berdarah.

(viii)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa hormat terpahat
menunggu kasih putihmu mewangi di lubuk hati,
memujukku kembali bangkit belajar mengusir kegagalan
kerana gagal itu biasa hadir di tabir sejarah kejayaan.

(ix)

Selamat pagi guruku
hari ini aku datang dengan rasa yakindiri azam menggunung
menunggu ikhlas baktimu mencurah meneteskan ilmu,
engkaulah pembina bangsa pewaris tamadun gemilang
dan aku ini anak didikmu, amanah yang sedang kaujulang.

(x)

Selamat pagi guruku
hari ini, sebagaimana hari-hari yang berlalu
aku tetap datang dengan harapan
aku tetap mahu pulang dengan kejayaan.

_____________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment