Saturday, January 12, 2013

Menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat 112

Salam hormat,


Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 akan berlangsung mulai jam 2.00 petang ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Kebenaran telah diperoleh selaras dengan keperluan Akta Perhimpunan Aman. 

Kali ini cukup jelas bahawa Pakatan Rakyatlah yang menjadi "ibu" kepada segala macam gerakan perhimpunan menentang kerajaan - secara langsung atau tidak langsung - kerana di sinilah nanti bergabungnya semua himpunan gerakan parti politik dan NGO berkenaan. Namakan saja. Cerita-cerita tentang BERSIH, Lynas, Felda, ABU (dan sebagainya), isu-isu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, kelestarian alam sekitar, fitnah (dan   sebagainya), dengan himpunan pelbagai warna - kuning, hijau, oren (dan sebagainya) akan berkumandang di sini. Akhiran ceritanya ialah kegagalan kerajaan memenuhi semua tuntutan rakyat dan keperluan mendesak untuk menggantikannya dengan kerajaan baru yang dipromosikan Pakatan Rakyat. Dan waktu paling tepat ialah Pilihanraya Umum ke-13.

Yang pastinya Stadium Merdeka ini tidak mampu untuk menampung "sejuta" peserta yang dikatakan akan menyertainya. Yang pastinya, tidak boleh tidak, akan ada perarakan (jalanan) menuju ke stadium daripada pelbagai arah yang ada. Dengan demikian, pastilah akan lebih banyak peserta perhimpunan terpaksa berkampung di sekitar stadium dan di jalan-jalan raya di sekeliling stadium. Meskipun pihak polis (PDRM) telah menjanjikan kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung, apakah pihak penganjur dapat menepati jaminannya untuk memastikan segala syarat dipatuhi dan perhimpunan (serta perarakan jalanan menuju ke Stadium Merdeka) berlangsung dengan aman dan tertib? Suasana pasti hangat, riuh-rendah dan penuh cabaran. Kita tengok sajalah realitinya pada petang ini.  

Ini perhimpunan politik memperkuat semangat perjuangan merampas Putrajaya daripada kerajaan yang ada menerusi PRU ke-13 beberapa bulan lagi. Pakatan Rakyat mengharapkan perhimpunan ini dapat meninggalkan impak yang positif ke arah peningkatan sokongan rakyat terhadap aspirasi mereka, dengan slogan "kalau bukan sekarang, bila lagi?". Dan anak-anak muda pengundi baru memang menjadi sasaran utama dan pertaruhan ampuh ke arah mengutip mata penuh untuk memenangi perlawanan di gelanggang pilihanraya nanti. 

Apa-apa pun yang akan terjadi pada petang ini dan kelanjutannya, elok kita perhalusi petikan video yang berikut ini untuk kewarasan pertimbangan bersama. 

    






Sejauhmanakah keberhasilan perjuangan ini sesungguhnya sukar untuk diramal. Yang pasti, apapun keputusan pilihanraya kelak, kerajaan BNlah yang akan tetap dipersalahkan : BN kalah kerana telah melakukan banyak kesalahan sepanjang era pentadbirannya hingga rakyat menolaknya, atau BN menang kerana menyalahgunakan jentera pilihanraya hingga pilihanraya menjadi tidak bersih. Sebab itulah sekarang ini pun mereka masih mencanangkan pernyataan bahawa tuntutan BERSIH mereka masih (telah) gagal dipenuhi oleh kerajaan. Mereka terus menyogok minda rakyat untuk meyakini bahawa jika pilihanraya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih, mereka pasti menang!  

Demikianlah, jika mereka menang dalam PRU ke-13 nanti, akan dikatakan dengan bangganya bahawa rakyatlah yang memenangkan mereka. Namun, jika mereka kalah, mereka tidak akan mengatakan bahawa rakyatlah yang mengalahkan mereka. Maka akan dicanangkan ke seluruh pelosok jagatraya bahawa inilah bukti bahawa pilihanraya di Malaysia tidak adil dan kotor sekotor-kotornya, malah dikatakan paling kotor dalam sejarah pilihanraya negara. Dan ini jugalah merupakan tiket selanjutnya untuk menghalalkan tindakan mereka seterusnya, iaitu penerusan agenda perhimpunan jalanan menuntut "digulingkan" kerajaan yang kononnya memenangi pilihanraya melalui pilihanraya yang tidak bersih, atas nama "Kebangkitan Kuasa Rakyat".

(ii)

Elok juga dibaca tulisan dalam ANOTHER BRICK IN THE WALL di SINI  dan tulisan di blog JUST READ! di SINI sebelum kita menyaksikan persembahan sebenar HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT lewat petang ini.


___________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment