Saturday, September 8, 2012

Demikiankah Nikmat Kemerdekaan ?

Salam Hormat,



Telah setengah abad
engkau kehilangan nama keramatmu
Tanah Melayuku.

Demikian nikmat bebas merdeka dipaksarelakan
anak peribumi pasrah mengulum senyum
memang payah merungkai izin pernaungan terjajah
secara mutlak tuntas bermaruah
kecuali memanfaatkan baikbudi ramahtamah
dan hormat takzim Melayu kepada singgahnya tetamu
berpatrilah lafaz ikrar hak tuan tanah dan setia tetamu merumah.

Demikian nikmat hangat perpaduan didambakan
menghulur tangan silatulrahmi penyatuan hasrat
turut melebar sayap salam ke timur ke selatan
lalu berkongsilah citra persahabatan dijunjung berpayung daulat
lalu berkongsilah limpahan kekayaan dan kepayahan
meski memanjang diulit keraguan demi keraguan
fitrah kesetiaan nan mungkin sulit berpanjangan.

(ii)

Demikianlah
hari ini ada hati terguris bibir bergetar dada bergegar
kebiadaban memang selalu menyentap rasa terkilan dan nanar.

Demikianlah membukit bongkaknya membengkak serakahnya
sang penjarah meski ditatang singgahnya
menjanjirobekkan warisan peribumi mengubur panji kedaulatan.

Demikianlah anak pertiwi mabuk kuasa ikut mencerca sejarahnya
sinis celupar menafikan citra perjuangan anak watan
mempertahan daulah keamanan melakar peta merdeka,
malah menjanjikan pengkisahan semula sejarah negara,
semuanya jika selepas pilihanraya beroleh mandat kuasa.

(iii)

Memang sakit diyakinkan jadi pemberi
nikmat hak merakyat pun segera diratah dilapah,
dan memang sedih dilekakan menjadi peminta
nikmat terbentang milik sendiri pun sukar dijamah dimamah
malah perlu bertahun-tahun masih payah dipahatkan
malah terungkit dan mahu saja dinafikan
atas nama kesamarataan dan keadilan masadepan
semudah menafikan hikmah rezeki nikmat kerakyatan percuma
dan melupakan perbezaan latar sosio-budaya dan sejarahnya.

Memang tidak adil untuk menjadi baik berbudi berhemah
kalau tidak untuk dikhianati
kerana demikianlah tingkah bangsa penjajah dan penjarah
sejak zaman kesultanan Melaka lagi.

Tanah Melayuku
engkau telah kehilangan nama keramatmu
jua maruah sebuah bangsa merdeka
berabad dijunjung laksamana Hang Tuah
kerana terlalu alpa, baikhati, percaya dan pasrah
pada nikmat merdeka dirundingciptakan
di meja percaturan sang penjajah
dan penjarah pun takpernah setia.


___________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment