Tuesday, October 16, 2012

Sekapur Sirih Seulas Pinang

Salam hormat,


Lagunya, Sekapur Sirih Seulas Pinang. Penyanyinya biduanita Saloma (Allahyarhamah).

Mendengarkan lagu dendangan biduanita Saloma ini memang membiaskan peristiwa zaman silam. Zaman  pemerintahan kesultanan Melayu dan kepahlawanan pendekarnya menjunjung titah diraja mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman musuh. Musuhnya pelbagai, daripada bala tentera kerajaan negara lain (yang jadi saingan) kepada lanun yang mengganggu-gugat ketenteraman rakyat di laut dan di darat.      

Juga nostalgia pada zaman persekolahan ketika lagu ini popular di pentas-pentas bangsawan. Tahunnya, 60'an - era pop yeh yeh. Waktunya, waktu darjah enam sekolah rendah.

Dalam kesamaran ingatan, masih tetap terbayang di mata terngiang di telinga - alunan suara gemersik merdu si puteri kecil molek rakan sekelas, berbusana lengkap selayaknya sang penari tradisional Melayu, menyanyi sambil menari dengan lenggok lemah gemalai kumpulan penarinya. Persembahan mereka melengkapkan keasyikan episod bangsawan ala "Semerah Padi" atau "Pendekar Lima Bersaudara" kumpulan anak muda belia desa, di atas pentas budaya di padang sekolah.

(ii)

Sekarang ini, sukar menemukan upaya pementasan sedemikian rupa di kampung-kampung kita, apalagi di celah-celah kehidupan orang bandar. Kumpulan belia tidak lagi ghairah berwacana tentang seni budaya bangsa. Semua disibukkan oleh keutamaan belajar, bekerja, bermain politik atau membuang masa dengan kegiatan anak zaman baru. Amat sedikit kelompok anak muda yang aktif berkreatif menempatkan diri sebagai pewaris budayawan bangsa.  

Di sekolah juga, serupa! Sekolah sukar dibangunkan sebagai wadah membimbing anak muda memperkaya khazanah budaya bangsa, meskipun melalui kegiatan ko-kurikulum.

Guru-guru lebih terpesona memikul beban tanggungjawab menjawab persoalan kenapa keputusan peperiksaan awam tidak mencapai sasarannya daripada tanggungjawab membangunkan jatidiri rakyat yang kukuh akar budaya bangsanya. Murid-murid juga lebih terdorong untuk cuma menekuni keinginan akademik orang lain dan bermain angka biru-hitam atau merah, berbanding soal mempelajari dan mempertahankan nilai estetika, budaya dan susila warisan bangsa.

Bagaimana mahu kembali ke pangkal jalan?

(iii)

"Sekapur Sirih Seulas Pinang" memang kedengarannya santai tetapi sarat dengan kekuatan permainan emosi dalam menggarapi sebuah perpisahan. Berpisah memang menyedihkan, apalagi belum tentu pulang tidaknya. Namun, demi perjuangan mempertahankan tanah air, kepergian sang pendekar tetap direlakan dan direstui dengan harapan dan doa untuk beroleh kemenangan dan selamat kembali ke pangkuan yang disayang.


(Lagu di atas dinyanyikan oleh Zurin Aniza). 

Halusi saja lirik lagu ini. Pasti mengharukan.
Sekapur sirih, sekapur sirih seulas pinang
diberi bekal, diberi bekal buat perangsang
pergilah intan, pergi intan pergilah sayang
ke tengah medan, ke tengah medan pergilah berjuang.
Biarlah gugur, biarlah gugur bertumpah darah
biar berlengkar, biar berlengkar di medan perang
janganlah undur, jangan undur menyerah kalah
pantang pendekar, pantang pendekar di tengah gelanggang.
 
Janganlah sedih, janganlah sedih meninggal kami
senjata disandang, senjata disandang sebagai ganti
kami berdoa, kami berdoa setiap hari
selamat pergi, selamat pergi selamat kembali.

Ironisnya, maaf, semangat lagu itu nampaknya tidaklah bertempat sangat dalam kehidupan para perajurit negara zaman ini. Maklumlah, kita berada di sebuah negara yang aman merdeka! 



________________________

- SEORANG AKU







No comments:

Post a Comment