Friday, December 14, 2012

Harimau Malaya perlu bingkas mengembalikan ngaumannya semula

Salam hormat,







Masih tentang bolasepak - perlawanan separuh akhir kedua Bolasepak Piala Suzuki AFF - yang berakhir dengan kekalahan Malaysia kepada Thailand dengan jaringan 0-2 di stadium Supachalasai, Bangkok malam tadi.  

Pertamanya, tugas mempertahankan kejuaraan bukanlah mudah, malah memang menjadi beban yang lebih sukar (berat) dipikul oleh penyandangnya. 

Dalam kes kejohanan bolasepak Piala Suzuki AFF, persiapan ke arah mempertahankannya bermula sebaik kejuaraan itu diperoleh di Jakarta dua tahun lalu. Dalam masa yang sama, pasukan yang tewas pasti akan mengusahakan kebangkitan mereka pada kerangka tempoh waktu yang sama. Itulah yang dilakukan Thailand, Singapura dan Indonesia. Malahan peningkatan kualiti permainan turut dilihat menyerlah dalam pasukan Filipina dan Laos. 

Penampilan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan sebelum kejohanan 2012 ini seperti menggambarkan bahawa pasukan kita belum bersedia sepenuhnya untuk mengekalkan kejuaraan itu. Perlawanan dengan Hongkong, Filipina dan Bangladesh jelas membuktikannya. Ketewasan 3-0 kepada Singapura di peringkat kumpulan juga membuktikannya. Kita cuma bangkit semula dalam perlawanan menentang Laos dan Indonesia. Malangnya momentum kebangkitan itu tidaklah berterusan apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir di Kuala Lumpur, dan tewas lagi 2-0 pada perlawanan kelmarin.

Apakah pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal telah benar-benar mempersiapkan diri sepenuhnya sepanjang dua tahun persediaan mempertahankan kejuaraan yang diraih pada 2010 lalu?



Keduanya, dalam mengupayakan kemenangan di dalam gelanggang pemainan, setiap pemain dalam pasukan mestilah meminimumkan kekhilafan dan memanfaatkan setiap peluang terbuka yang ada di depan pintu gol lawan untuk menjaringkan gol.

Dalam siri pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 ini, pasukan Harimau Malaya ternyata masih memiliki kelemahan ini. Begitu banyak peluang menghasilkan gol disiakan-siakan oleh pemain penyerang kita.     Demikian juga, banyak juga jaringan gol lawan adalah disebabkan oleh atau berpunca daripada kekhilafan pemain kita sendiri. Kesemua ini adalah persoalan strategi, komitmen, fokus, ketenangan dan kerjasama sepasukan. Barisan pertengahan yang longgar akan menghasilkan barisan serangan yang tumpul dan barisan pertahanan yang kelam kabut. 

Ketiganya, pasukan yang hebat mampu menyerap walau apa-apa pun tekanan sepanjang kejohanan berlangsung, yang diduga dan yang tidak diduga, di dalam gelanggang dan dari luar gelanggang. Ini termasuklah provokasi pihak lawan, gangguan penonton dan karenah pengadil sendiri.

Pasukan Malaysia memiliki kemampuan untuk menghadapi provokasi pihak lawan dan penyokongnya, malah mampu bertahan menyerap asakan serangan demi serangan pasukan lawan yang menginginkan gol awal di  separuh masa pertama perlawanan. 



Pun begitu, kita belum mampu mendepani situasi gawat disebabkan oleh karenah pengadil dan kelemahan pengadilannya. Kita tidak mampu bermain dengan baik setelah seorang pemain kita dilayangkan kad merah, sedangkan pasukan lain boleh melakukannya. Thailand membuktikan kemampuan bermain dengan baik dan mampu menghasilkan gol meski cuma ada sepuluh orang pemain ketika menewaskan Malaysia di stadium Chiang Mai dalam perlawanan persahabatan sebelum ini. Dengan sepuluh orang pemain juga Thailand mampu menambahkan jaringan dan menewaskan Myanmar 3-1 dalam perlawanan di peringkat kumpulan. Ini juga soal percaturan strategi dan kekentalan semangat pemain yang perlu diperhitungkan oleh jurulatih dalam misi mengembalikan maruah kehebatan Harimau Malaya untuk musim 2014 nanti.   

Semoga Harimau Malaya mampu bingkas mengembalikan ngaumannya semula setelah menunjukkan ketempangannya dalam siri mempertahankan kejuaraan 2010 lalu, dan kembali gah untuk misi merampas semula Piala Suzuki AFF musim 2014 kelak. Rakyat Malaysia sentiasa mendukung cita-cita mengembalikan kegemilangan sukan bolasepak negara dan kehebatan ngauman Harimau Malaya di gelanggang antarabangsa, apalagi di peringkat serantau ini. 
    
__________________________

- SEORANG AKU
    

No comments:

Post a Comment