Friday, December 7, 2012

Nilai Sebuah Kemerdekaan : Berkorban untuk dikorbankan?

Salam hormat,


Sudah 55 tahun Tanah Melayu (Malaya) (dan Malaysia - 1963) merdeka, menjadi sebuah negara yang berdaulat dan demokratik melalui ikrar setiakawan dan kesepakatan acuannya yang tersendiri. Kesepakatan (Pakatan Murni) yang menyaksikan kesepaduan nilai pengorbanan dan toleransi warga setempat di satu pihak dengan nilai keinginan (kesanggupan) menjadi sahabat dan warga tetap sejati sebuah negara "terjajah" yang didatangi secara rela atau paksa di satu pihak lagi. Lalu terjelmalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Malaysia) sebagai wadah rujukan perundangan kelangsungan negara Malaysia. (rujuk Sejarah Perlembagaan Malaysia di SINI).

Sudah 55 tahun negara ini dibangunkan hingga mampu bergerak pantas ke arah menjadi negara maju (menjelang 2020) melalui semangat kesepakatan itu. Malangnya, dalam proses pengisian kemerdekaan itu, banyak pihak dalam kalangan generasi terkemudian (yang tidak sedar diri) telah memperlihatkan keghairahan mempertikaikan apa yang tersurat (dan tersirat) dalam perlembagaan negara dan menonjolkan keinginan baru ke arah merungkai kesepakatan itu atas alasan ketulenan demokrasi, keperluan hak asasi manusia, tuntutan keadilan samarata dan menyeluruh, dan sebagainya. 


Hakikat sejarah kelahiran negara merdeka ini mahu diketepikan "secara halus atau secara paksa" lewat pemikiran "pembikinan sejarah baru" (sebagaimana dilakukan Singapura) melalui gerakan siasah era baru (parti politik dan NGO) yang lahir dan tumbuh mekar seiring dengan ketempangan halatuju perjuangan pihak berkuasa yang diberikan mandat dan amanah untuk menerajui pemerintahan negara dan yang sepatutnya mempertahankan dan menyemarakkan semangat dan aspirasi perlembagaan negara seluruhnya, tanpa basa basi. 



Demikianlah apabila kita lupa akan asal usul dan tidak mahu belajar dan menerima hakikat pensejarahan negara. 

Demikianlah apabila kita lebih banyak bermain politik (dan mengeksploitasi sentimen rakyat atas nama perjuangan untuk rakyat) daripada menyemai semangat kewarganegaraan sejati dalam kalangan warganegara berbilang kaum di negara ini hingga memudarkan kemurnian Rukun Negara yang sepatutnya menjadi dukungan dan panduan hidup bernegara rakyat Malaysia. 

Demikianlah apabila yang ada di mata, di hati dan di jiwa kita hanyalah keserakahan dan keinginan merenggut kuasa untuk kepentingan peribadi dan survival kaum sendiri, maka ikrar dan janji akan mudah dimungkiri, dan pengorbanan tidak lagi membawa erti kerana akhirnya yang sanggup berkorban akan terus dikorbankan  dan terkorban. 

Akhirnya, eloklah tulisan di blog KEPAL NASI KEPAL BERAS (DI SINI) kita halusi untuk renungan bersama. Terima kasih kepada Saudara Kamarulzaman Kamdias kerana mengingatkan kita dan mereka yang alpa diri.

Dan kepada yang lupa diri, berpolitiklah secara sihat, matang dan bertanggungjawab untuk kesejahteraan Malaysia, sebuah negara berperlembagaan yang unik, merdeka dan berdaulat. Singkirkanlah politik matlamat menghalalkan cara yang akan hanya memperjudikan masadepan negara ini. Sayangilah negara kita.


_____________________

- SEORANG AKU


      

No comments:

Post a Comment