Thursday, December 13, 2012

Piala Suzuki AFF : Harimau Malaya pasti mampu tundukkan Gajah Putih

Kemaskini :

Ooop... apa dah jadi...

Harimau Malaya ternyata tidak mampu menumpaskan Gajah Putih dengan kekalahan 2-0 di stadium  Supachalasai, Bangkok. Percaturan Datuk K. Ragagobal ternyata tidak menjadi. 

Thailand bermain dengan cukup cemerlang untuk menafikan kemampuan Malaysia mengalahkan mereka, dengan "bantuan" pengadil dari Korea Selatan, yang antaranya bertindak mengeluarkan Fadzli Saas dari gelanggang permainan pada separuh masa pertama. Malang bagi Malaysia. 

Kenapa lambat sangat memasukkan Safee Sali, hal yang sama ketika Malaysia bertemu dengan Thailand di Kuala Lumpur sebelum ini? Dan kali ini setelah terjaring dua gol oleh pihak Thailand?

Apa-apa pun keputusannya, tahniah kepada Harimau Malaya kerana mampu sampai ke peringkat separuh akhir. Mengekalkan kejuaraan bukan tugas mudah. Memang banyak yang mampu dipelajari Malaysia daripada kegagalan pada musim ini. Ini termasuklah pada soal percaturan strategik  bagaimana bermain untuk menang, kekentalan semangat juang pemain dan pemilihan jurulatih serta pemain pasukan kebangsaan itu sendiri. 


_____________________


Salam hormat,


Malaysia vs Thailand : malam ini malam penentuan tentang pasukan manakah yang akan mara ke final pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 untuk menentang pasukan Singapura yang sudah pun menempah tiket ke perlawanan akhir (malam tadi). Mampukah Malaysia?

Bersandarkan kebangkitan pasukan Malaysia menewaskan Laos dan Indonesia, dan kemudiannya seri dengan Thailand di pusingan pertama separuh akhir beberapa hari lalu, Malaysia memiliki ramuan untuk ke peringkat akhir, meskipun bertarung di gelanggang lawan. Syaratnya, menumpaskan Thailand di gelanggangnya sendiri, atau seri dengan jaringan dua gol (2-2) atau lebih. Syaratnya, mempertingkat kekemasan permainan dan kerjasama sepasukan setiap barisan penyerang, pertengahan dan pertahanan. Syaratnya, mempertajam serangan dan ketepatan setiap ledakan ke dalam jaring lawan sejak minit pertama perlawanan lagi. Dan hadirkan kematangan dan kebijaksanaan dalam mencaturkan gerakan mencipta peluang jaringan. 

Kita berkunjung ke stadium Supachalasai Bangkok dengan hanya satu tekad - MENANG!!!. Jadi bermainlah untuk kemenangan. Thailand bukanlah hebat sangat untuk tidak boleh ditundukkan di gelanggang sendiri. 


Mereka memang belum pernah kalah di perlawanan peringkat kumpulan. Namun mereka gagal menewaskan Malaysia (dengan hanya seri) di Stadium Bukit Jalil sebelum ini. Walaupun keputusan seri itu cukup untuk menyenangkan hati mereka kerana akan bertarung di gelanggang sendiri pada malam ini dan hanya memerlukan keputusan seri 0-0 untuk ke peringkat akhir, hal itu sebenarnya cukup memberikan tekanan kepada mereka sendiri. Ini kerana pasukan Malaysia yang akan ditentangnya malam nanti bukan lagi pasukan Malaysia yang boleh dipermudahkan sebagaimana Malaysia yang ditewaskan Singapura sebelum ini. 

Rekod tidak pernah kalah Thailand sebelum ini boleh sahaja dileburkan oleh Malaysia pada malam nanti. InsyaAllah. Yang penting ialah kemampuan pasukan negara sentiasa fokus dan menyerap setiap tekanan serangan oleh Thailand sejak minit pertama perlawanan lagi (sebagaimana yang dipamerkan ketika menentang Indonesia tempohari), bermain dengan ketenangan, kesungguhan dan semangat membara, dan berkeyakinan tinggi bahawa kemenangan akan menjadi milik Malaysia.


Misi kita, tumpaskan Thailand (atau seri dengan jaringan dua gol dan lebih...)...  

Selamat berjuang untuk Malaysia. Doa seluruh rakyat Malaysia untuk kejayaanmu,  Harimau Malaya!!!


______________________________

- SEORANG AKU

   


   

No comments:

Post a Comment