Friday, April 27, 2012

Aduhai Mahasiswa, Berjuanglah Dengan Bijaksana

Salam hormat,


PTPTN merupakan buah tangan kerajaan yang dikatakan membebankan mahasiswa. Dengannya, siswazah  peminjam PTPTN mewarisi hutang puluhan ribu yang akan ditanggung bertahun-tahun sepanjang menempati ruang kerjayanya. 

Lantas dengan penuh semangat, dilaungkan gema "Hapuskan PTPTN" oleh sekelompok mahasiswa yang menyakini bahawa rakyat tidak memerlukan PTPTN dan kerajaan wajib menyediakan peluang pendidikan percuma kepada rakyatnya hingga ke peringkat universiti. 


Analoginya mudah. Tanggungjawab kerajaan ialah menyediakan kemudahan pendidikan percuma kepada rakyat hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Dengan pendidikan percuma, tidak perlulah pembiayaan PTPTN untuk menampung kos yuran pengajian di universiti. 

Itulah juga antara genderang perjuangan yang dimainkan parti politik pembangkang tersohor tanahair dalam upaya meraih sokongan rakyat (dan undi ketika pilihanraya umum kelak), apalagi sokongan kelompok pengundi dalam kalangan mahasiswa dan siswazah universiti yang kini "terbeban" oleh pinjaman PTPTN. Dan pemimpin parti politik ini menjanjikan penghapusan PTPTN apabila (sekiranya) diberi mandat berkuasa melalui kemenangan dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.


Maka berdemonstrasilah sebilangan kelompok mahasiswa untuk mendukung dan menyokong perjuangan murni ini, demi masa depan mahasiswa negara ini keseluruhannya. 

Dan gara-gara demonstrasi perjuangan mahasiswa menuntut penghapusan PTPTN inilah juga, tiga anak muda pemimpin pergerakan mahasiswa penuntut Universiti Malaya (foto di bawah) berdepan dengan tindakan disiplin di bawah AUKU yang membawa kemungkinan penggantungan pengajiannya sekiranya didapati bersalah. Pertuduhannya memalukan universiti dan memudaratkan ketenteraman awam. [rujukan :  Sinar Harian, 26 April 2012]

Kasihan mereka. 


Sebelum ini, Adam Adli Abd Halim telah digantung tiga semester oleh pihak UPSI kerana unjukrasa menuntut kebebasan akademik dan keberanian (kehebatan) menurunkan bendera DS Mohd Najib Tun Abdul Razak di ibu pejabat UMNO di PWTC. Semakin bertambah lambatlah bakal cikgu ini hendak merasai nikmat menjadi pendidik subjek Bahasa Inggeris yang berkaliber di sekolahnya kelak.


(ii)

Kalau Adam Adli menganggap bahawa penurunan bendera PM di PWTC itu sebagai perkara kecil, bukan suatu kesalahan dan simbolik kepada bantahan terhadap kegagalan kepimpinan negara dalam memenuhi tuntutan untuk memansuhkan AUKU, Mohamad Safwan Anang (Pengerusi SMM) juga tidak menganggap isu kalungan bunga (di foto PM dan Menteri Pengajian Tinggi) sebagai isu besar, kecuali sebagai simbolik protes menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.
Safwan berkata, "kami amat kecewa. Tindakan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib Pelajar seolah-olah melambangkan mereka kurang cerdik dalam membuat sebarang keputusan."
''Mereka tidak faham apa yang mahasiswa cuba sampaikan mesej. Kami hairan, sepatutnya pihak universiti mengenakan tindakan atas kesalahan mengadakan demonstrasi bukannya kalung bunga,'' ujarnya pada sidang media petang tadi di Dataran Merdeka.
''Isu kalung bunga bukanlah satu isu besar. Tindakan tersebut dilakukan sebagai simbolik protes semata-mata bagi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN.
''Kami tidak mengugat ketenteraman awam dan keganasan. Itu prinsip kami dalam isu ini," katanya.
Menurutnya, ia tidak membawa maksud atau kesan ke atas kepercayaan mana-mana agama.
''Kenapa Najib boleh dikalungkan bunga ketika berada di Batu Caves atau apa-apa acara? Tindakan itu bukan melambangkan meninggal dunia kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya apa yang disampaikan adalah mengenai hak mahasiswa yang ‘mati’ kerana pemimpin tidak memberikan komitmen terhadap tuntutan mahasiswa," katanya lagi.

Demikianlah daifnya sudut pandang kedua-dua anak muda ini - menganggap remeh perkara yang amat sensitif kepada sebilangan besar rakyat. Adam Adli tidak melihat tindakan pencerobohannya ke atas harta UMNO itu (di ibu pejabat UMNO) sebagai perbuatan biadap. Mohamad Safwan juga tidak dapat membezakan (antara) kalungan bunga untuk orang hidup (dengan) daripada kalungan bunga untuk orang mati. Kalau yang diperjuangkan ialah hak mahasiswa (yang mati atau dimatikan), maka mahasiswalah yang sepatutnya memakai kalungan bunga itu sebagai perlambangan bahawa hak mereka telah dimatikan. 

Demikianlah naifnya pemikiran kedua-dua anak muda ini dalam menerjemahkan perlakuan biadap mereka yang sesungguhnya berunsur provokatif ke arah mengundang kemarahan orang banyak dan mampu mengganggu ketenteraman awam. 

Kasihan mereka. Perjuangan mereka tidak dilandasi kebijaksanaan yang sepatutnya dimiliki golongan pemimpin mahasiswa. Mereka merendahkan kewibawaan mereka dengan kehebatan berpidato cuma di atas jalanan atau pentas demonstrasi.


______________________________

- SEORANG AKU






   



No comments:

Post a Comment