Sunday, April 29, 2012

BERSIH OH BERSIH : Kebijaksanaan Memanfaatkan Kesempatan


Salam hormat,


BERSIH 3.0 sudah berakhir dengan keberhasilan melakar sejarah pahit dan manis dalam citra pendemokrasian negara Malaysia. Pahit untuk santapan minda pemimpin kerajaan yang dibelenggu keserbasalahan, dan manis untuk bahan bual bicara pemimpin (dan penyokong) pihak pembangkang anti-kerajaan yang bijak sekali memanfaatkan kesempatan. Bagi mereka, peduli apa dengan undang-undang yang ada. Tak berbekas pun kepada mereka. 




Sesungguhnya gelombang kuning BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 adalah deretan percaturan kebijaksanaan pihak pembangkang dan NGO pendukungnya. BERSIH 4.0 dan seterusnya pasti akan muncul untuk melengkapkan siri perjuangan menawan Putrajaya. 


Semuanya itu berlangsung dalam wadah (ruang, peluang dan kesempatan) yang disediakan oleh pihak pemerintah sendiri. Bukan salah mereka sahaja kalau pemimpin kerajaan sendiri memang berfungsi dalam kecelaruan, ketidaktegasan dan keserbasalahan. 

Keghairahan membetulkan kekhilafan mendepani PRU ke-12 yang lalu, keinginan dilihat sebagai kerajaan yang lebih demokratik, yang lebih berjiwa rakyat, yang kononnya "mendahulukan rakyat" mendorong kerajaan membawakan pelbagai perubahan yang dituntut pembangkang atas nama rakyat. termasuklah agenda transformasi politik yang belum tentu menepati keperluan rakyat banyak dan kesejahteraan negara.  

Pihak pembangkang dan NGO pendukungnya secara berterusan berperanan memukul gendang tari dan menari mengikut rentak yang diciptakan kerajaan untuk melayani karenah mereka melalui asakan isu demi isu dan pertuduhan demi pertuduhan sehinggalah menjelang tarikh pilihanraya. Isu ketelusan atau keadilan atau kebersihan SPR hanyalah umpan untuk menghalalkan tindakan provokatif terhadap kerajaan melalui demonstrasi jalanan. Tidak ada istilah DUDUK BANTAH pun dalam kamus perjuangan mereka. 


Apakah pemimpin-pemimpin kerajaan betul-betul memahami aspirasi rakyat banyak? Usahlah terus terperangkap dengan "genderang perang" yang dicanangkan pihak pembangkang. Bijaksanalah dalam membaca dan mengolah permainan politik mereka. Usah hanya beretorik berkeluh-kesah mengungkapkan rasa bangga, kesal atau sedih dan terus menerus menyalahkan pembangkang sahaja.

Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang aman damai, unik dan berbeza daripada negara-negara lain di dunia ini. Yang baik di Amerika Syarikat, di Australia, atau di Indonesia belum tentu baik bagi Malaysia. Mereka bukan semestinya model contoh pemerintahan yang baik untuk kita. Jauh sekali untuk menyamakan Malaysia dengan Mesir, Libya dan yang sewaktu dengannya. Hanya pihak yang gila kuasa saja yang ingin menjadikan wadah politik Malaysia sama seperti iklim politik di negara yang disebutkan tadi.  

Sebelum terlewat, dan sebelum nasi menjadi bubur, semoleknyalah pemimpin negara juga melakukan transformasi pemikiran untuk menjadikan kerajaan yang ada sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan  tidak tunduk pada percaturan politik pembangkang. Ingatlah, rakyat mungkin saja menyokong pembangkang bukan kerana menyukainya dan menyakini bahawa mereka berada di pihak yang benar. Rakyat mungkin saja menyokong pembangkang kerana sudah bosan dan tidak sudi memiliki pemimpin kerajaan yang kelihatan lemah dan tidak mampu menegakkan sebuah negara yang bebas daripada ancaman kacau-bilau dan kegilaan berpolitik yang tidak bertempat yang diizinkan oleh kerajaan sendiri.

Kepelbagaian pendekatan populis kerajaan, termasuk cadangan meminda AUKU, memansuhkan ISA dan lainnya amat menepati selera pihak pembangkang, dengan memudahkan laluan mereka memenuhi keghairahan dan impian merampas Putrajaya dan membantu mempercepatkan "waktu kematian" pemerintah. Ini ditambah dengan pelbagai isu kepincangan yang dikatakan begitu ketara dalam ehwal pengurusan khazanah negara melalui pelbagai agensi dinaungi kerajaan yang seperti dibiarkan begitu saja, sedangkan rakyat amat mengharapkan tindakan segera dilakukan untuk memperbetulkannya.

Rakyat mungkin saja akan kehilangan kesabaran lalu pasrah dengan senario yang dihidangkan sebagaimana dendangan lagu "Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan ! Biarkan!" 

Kepada pemimpin kerajaan yang diberikan kuasa memerintah, zaman beretorik memang sudah berakhir. Berikanlah makna sebenar kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara dengan ketegasan dan keberanian (tanpa banyak songel), sebelum negara ini menjadi kacau-bilau kerana kegilaan gerakan BERSIH ciptaan pemimpin pembangkang dan NGO yang mendukungnya. Mereka hanya memainkan sentimen rakyat dan mempergunakan rakyat yang taksub dengan perjuangan dan janji mereka untuk menghalalkan gerakan jalanan mereka. Gerakan BERSIH mereka yang mengatasnamakan perjuangan rakyat sesungguhnya menawarkan ancaman kepada keselamatan negara.

Perlembagaan dan undang-undang kini tidak lagi dihargai dan dihormati oleh sebilangan pemimpin pengamal perundangan sendiri dan kelompok warga politikus songsang yang kempunan dan dahagakan kuasa Putrajaya. Pada mereka, bersandarkan keputusan pilihanraya umum ke-12 lalu, dan dengan berpegang pada prinsip "matlamat menghalalkan cara", PRU ke-13 inilah waktu paling tepat untuk menamatkan era pemerintahan kerajaan yang ada.

Mereka membuktikannya dengan keberanian mempersendakan undang-undang lewat BERSIH 1.0 dan 2.0, dan amat menyenanginya apabila terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berwajib. Dan kali ini mereka meneruskannya dengan lebih hebat lagi menerusi BERSIH 3.0 kerana meyakini bahawa rakyat berpihak kepada mereka dan kerajaan tidak memiliki keberanian atau kekuatan untuk bertindak ke atas mereka.

Demikianlah kebijaksanaan penentang kerajaan dalam memanfaatkan kesempatan yang terbuka di depan mata. Mereka bukan saja tidak bersedih dan menyesali kejadian yang melanda KL akibat kegilaan penyokong mereka lewat perhimpunan Aman Duduk Bantah BERSIH 3.0 mereka, sebaliknya (sebagaimana biasa) menyalahkan pihak polis dan kerajaan sendiri sebagai punca rusuhan itu. Malahan, mereka sudah pun bercakap (memberikan ancaman atau amaran kepada kerajaan) tentang BERSIH 4.0.



_____________________________

- SEORANG AKU





No comments:

Post a Comment