Tuesday, May 8, 2012

Perhimpunan Aman, Kebebasan Individu dan Kematangan

Salam hormat,


Kita selalu diuar-uarkan tentang hak (rakyat) berhimpun secara aman yang diizinkan Perlembagaan Negara.

Sehubungan itu, artikel Profesor Madya Shamrahayu A Aziz (UIAM) di Berita Harian Online hari ini (8 Mei 2012) menarik dan elok dihalusi serta ditelaah, apa lagi oleh pihak yang hanya tahu bercakap tentang kebebasan individu dan hak asasi manusia, atau mudah dimanipulasi oleh ketaksuban perjuangan atas nama rakyat, atau si manipulator yang memang sengaja memanipulasinya untuk tujuan pengaruh dan populariti. 

Diperturunkan artikel tersebut yang bertajuk "Kebebasan Individu Menuntut Kematangan" untuk direnungfikirkan.



Kebebasan individu tuntut kematangan
Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my
2012/05/08 
Perlembagaan letak syarat hak berhimpun dilaksana dalam aman damai 
SEJAK berlangsungnya BERSIH 3.0 akhir bulan lalu, ‘post mortem’ mengenainya masih belum selesai. Mungkin penganalisaan ini akan mengambil sedikit masa untuk kita menyelesaikan apa juga perkara yang lahir atau apa juga pengajaran yang dapat kita kumpul daripadanya. 
Apa yang ingin saya sebut di sini ialah, membudayakan sesuatu yang belum menjadi budaya amat payah untuk dilakukan. Ia memerlukan kematangan tinggi bukan saja individu dan pihak penganjur tetapi juga kelompok masyarakat terbabit, apatah lagi perkara seperti ini yang membabitkan sentimen atau emosi politik. 
Perasaan, sentimen atau emosi ini pada kebiasaannya payah untuk dikawal selia. Mungkin mudah untuk setiap kita meluahkannya dengan kata-kata supaya tidak beremosi, tetapi sesungguhnya ia payah untuk dilaksana.

Dalam mengamal demokrasi, ada kelompok yang sering memperkatakan mengenai peranan setiap individu untuk menyemak tindakan pihak kerajaan, terutamanya. Dalam kata lain, walaupun seseorang itu tidak dipilih menerusi pilihan raya umum dan menjadi wakil rakyat, dia juga berhak menyuarakan fikirannya.

Saya tidak menafikan pembabitan ini penting. Namun, dalam keadaan ini apa yang dipentingkan ialah kebebasan individu. Perlu kita mengambil perhatian bahawa kebebasan individu melampau akan menyisihkan kebebasan awam atau kebebasan berkumpulan. Oleh itu, pembabitan tidak semestinya menerusi perhimpunan.

Sekiranya kita lihat sejarah undang-undang berkaitan perhimpunan jalanan yang mengambil tempat di ruang awam (bukan persendirian) atas tiket demokrasi dan kebebasan berkumpul, kebanyakannya memerlukan keizinan pihak berkuasa. 
Perkembangan mutakhir di bandar besar di Amerika Syarikat juga begitu. Perumpamaan yang sering diberikan ialah kita mahu menggunakan sebuah rumah milik, sudah tentu kita memerlukan keizinan tuannya.

Dalam kes penggunaan tempat awam, walaupun dalam istilahnya ‘tempat awam’ dan dikatakan sebagai milik semua orang, ia tidak boleh dijadikan milik sekelompok dengan menyisihkan kelompok lain.

Dalam keadaan ini, pihak berkuasa mempunyai hak menentukan sama ada satu-satu kumpulan itu berhak untuk menduduki satu-satu tempat yang dikatakan sebagai tempat awam itu.

Saya sedar hujah sebegini agak merimaskan sesetengah pihak. Namun, sekiranya ikhlas kita menghormati hak asasi sebenar, kita perlu memberi mengambil peringatan bahawa dalam memperjuangkan sesuatu, pihak yang lain juga mempunyai hak.

Oleh itu, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksana bagi pihak lain yang tidak mempunyai kecenderungan sama. Keseimbangan antara kedua pihak inilah yang menghajatkan kematangan setiap pihak.

Ia bukan saja memerlukan kematangan pihak penganjur, tetapi juga kematangan setiap individu yang menyertai perhimpunan seperti ini. Setiap individu hendaklah memahami dan menghayati, bukan dengan kata-katanya saja, tetapi dengan hatinya juga mengenai falsafah, prinsip atau hakikat sesuatu yang dinamakan hak dan kebebasan itu.

Dalam melaksanakan hak yang diberikan oleh undang-undang, sifat jati diri juga perlu kukuh. Semangat sayangkan negara hendaklah tersemat dalam lubuk sanubari setiap warga negara. Mungkin kerana sayangkan negara perhimpunan sebegini dituntut. Ini hujah penganjur dan peserta. Tetapi, sejauh manakah kenyataan ini benar masih boleh dipersoal.

Saya tidak bermaksud mempersoalkan kesetiaan kelompok ini kepada negara, tetapi melihat kepada keadaan dan kenyataan dibuat, kesan kepada negara secara umumnya amatlah besar. Segala macam pernyataan umum menerusi pelbagai media yang dibuat selepas berlakunya kejadian ketika berlangsungnya perhimpunan itu juga membuat saya tertanya-tanya mengenai kematangan dan kecintaan mereka kepada negara ini.

Saya juga pernah mendengar seseorang menyatakan bahawa tidak perlunya undang-undang, terutama permit untuk mengawal perhimpunan dan itulah maksud kebebasan sejati. Saya fikir kenyataan ini amat simplistik.

Semuanya diambil mudah. Kita perlu mengetahui hakikat bahawa undang-undang adalah elemen penting dalam sebuah negara. Ia bukan diniatkan untuk menyisih atau menafikan hak individu tetapi undang-undang berfungsi untuk menjaga hak ramai.

Jika tiada undang-undang mengawal perhimpunan seperti ini, ia akan menjadikan keadaan lebih mengganggu. 
Perlembagaan meletakkan syarat bahawa hak untuk berhimpun hendaklah dilaksana dalam keadaan ‘peaceably’ (aman damai) bukan sekadar ‘peaceful’ (aman). Mungkin ini semata-mata penggunaan perkataan, tetapi gangguan (disturbance) sudah tentu akan berlaku sekiranya ia dilakukan di satu tempat yang dinamakan sebagai ‘tempat awam’.

Sudah tentu apa yang disebut sebagai ‘gangguan’ itu adalah berbeza daripada keganasan. Gangguan mungkin tidaklah seteruk keganasan, namun hakikat sebenarnya ialah kedua-dua itu (gangguan dan keganasan) tidak termasuk dalam hak yang dinamakan hak untuk berhimpun secara aman damai (peaceable) seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan.

Saya masih ragu-ragu kematangan orang kita dalam memahami istilah ‘perhimpunan aman’ ini.

Jika undang-undang dan persepsi berkaitan perhimpunan sedikit berbeza daripada dulu, ia memerlukan perubahan seiring pihak penganjur dan peserta. Sekiranya tidak, maka perubahan undang-undang berkenaan akan menjadi sia-sia belaka. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Semoga bermanfaat.

_____________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment