Thursday, May 17, 2012

Tentang Cakap Orang Politik dan Cakap-cakap Politik di Blog

Salam hormat,



Cakap-cakap politik tentang cakap orang politik oleh sebilangan penulis blog (penganalisis politik tidak bertauliah) memang ada yang menarik untuk direnung-fikirkan dan dikonsepsikan semula sebagai pencetus pandangan umum masyarakat. Dengannya pilihan persepsi dibina untuk penerimaan orang biasa rakyat negara ini, apa lagi yang dikategorikan sebagai "pengundi atas pagar". 

Biasanya orang politik (apa lagi pemimpin politik berjenama) akan terlalu ghairah bercakap tentang sesuatu isu (atau sengaja mencipta isu) yang pada pandangan mereka dapat membawakan keuntungan kepada kerjaya politiknya atau kelangsungan masadepan partinya, walaupun isu itu memang tidak benar atau belum sahih kebenarannya.

Pada mereka, mereka tidak perlu membuktikan kebenarannya. Itu tugas pihak yang diterlibatkan dan dijadikan isu. Yang penting isu mesti dicari, di ketengahkan dan disebarluaskan. Perang isu mesti disemarakkan di kancah politik negara. Mudah-mudahan mereka memperoleh manfaatnya.  

Namun begitu, orang politik kerap lupa akan pepatah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Makanya mereka mudah bercakap-cakap, tidak menghalusi percakapannya, dan akan cenderung berlebih-lebihan, terlepas cakap dan kadang-kadang emosional.

Orang politik kerap gagal memahami bahawa cakap-cakap mereka bukan hanya untuk dikunyah oleh penyokong mereka dan penyokong musuh mereka, tetapi juga untuk dihalusi oleh kelompok rakyat "non-partisan" dan "pengundi atas pagar".

Sesungguhnya kelompok ini juga turut menilai, membina dan memperkukuh persepsi tentang diri pemimpin politik yang bercakap-cakap itu, yang kemudiannya mengembangluaskan cakap-cakap politiknya pula (tentang cakap orang politik tadi) di media blog milik mereka sendiri. Dan blog sedemikian rupa tentu saja memiliki golongan pengikut (pembaca) yang selalu saja akur dengan pandangan peribadi mereka.

Dengan demikian, sebagai orang politik, baik orang kerajaan atau orang pembangkang, usahlah seenaknya berbicara. Ingatlah bahawa cakap-cakap politik mereka belum tentu mendatangkan keuntungan sepenuhnya kepada diri dan parti mereka. Malah mungkin saja mereka dan parti mereka sendiri yang akan rugi kerana 'kecabulan' (kecerobohan) mulut mereka sendiri! Yang sedang diperjudikan ialah integriti orang politik itu sendiri di mata rakyat banyak.    

Gurindam Dua Belas (Gurindam 7) juga ada menyebutkan : 
Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.
Demikianlah adanya. Tepuk dada tanyalah selera!

___________________________ 

- SEORANG AKU

  




No comments:

Post a Comment