Friday, May 11, 2012

Perihal Kalungan Bunga dan Simbolik Kematian

Salam hormat,


Kalungan bunga untuk (gambar potret) mereka yang telah meninggal dunia biasa kita temukan dalam kalangan pengamal agama bukan Islam. Namun, kalungan bunga untuk foto manusia yang masih hidup yang dikaitkan dengan atau sebagai lambang kematian sesuatu yang diperjuangkan, mula dijadikan mainan dewasa ini. Semuanya berkaitan dengan politik.

Inilah yang selalu aku sebutkan sebagai "kegilaan berpolitik" dan strategi "matlamat menghalalkan cara". 

Lihatlah dengan teliti gambar perjuangan segelintir mahasiswa menuntut pemansuhan PTPTN tempoh hari. Gambar Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi diberikan 'penghormatan' dengan kalungan bunga dan diperarakkan dalam demonstrasi aman perjuangan mahasiswa menuntut pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN yang dianggap membebankan golongan mahasiswa. 




Dan terkini, demonstrasi PERKASA pula di hadapan rumah Lim Guan Eng juga memaparkan kalungan bunga sedemikian rupa. 


Lim Guan Eng menyifatkan perbuatan kumpulan budak-budak penunjukperasaan PERKASA itu pada pagi kelmarin sebagai tidak bertamadun, dan menghina kaum India kerana mempersendakan ritual mereka. Dewan Pemuda PAS Pulau Pianng pula mengutuknya sebagai tindakan yang begitu biadap dan tidak mencerminkan kesopanan sebagai orang Melayu yang terkenal dengan budi pekerti yang luhur. 

(Rujuk di blog dinturtle - BLOGGER PARTI MELAYU berikut ini)

Dan bagaimanakah pula dengan gambar yang berikut ini?
(Rujuk di blog EKELEH, dengan tajuknya, "Kini Gambar Najib Menjadi 'Buddha' Pula Tersebar") 


Aku berpandangan bahawa sesiapa pun tidak wajar berkelakuan sedemikian rupa. Perihal kalungan bunga sebagai lambang kematian bukan sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Pernyataan-pernyataan seperti "tidak bertamadun, menghina kaum India (mempersendakan ritual mereka), begitu biadap, dan tidak mencerminkan kesopanan manusia Melayu yang kaya budi pekerti luhur" itu sememangnya layak diungkapkan sebagai tidak menepati nilai kemanusiaan dan aspirasi RUKUNEGARA berkaitan dengan prinsip "Kesopanan dan Kesusilaan". 

Baik Budak-budak PERKASA atau kelompok mahasiswa yang berkaitan, mereka sama saja. 

Mereka bukan saja gagal menerjemahkan maksud simbolisme dalam perjuangan, malah memilih perlambangan yang tidak tepat dalam menegakkan perjuangan mereka. Sebagai contoh, kalau mahasiswa mendakwa perjuangan mahasiswa telah mati atau dimatikan, maka kalungan bunga itu lebih wajar diletakkan di foto mahasiswa, bukan dua tokoh berkaitan. Hal itupun sebaiknya tidak dilakukan mereka. PERKASA juga tidak wajar melakukan hal yang sama apabila mahu menganggap bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah mati kerana gagal melaksanakan tugasnya membela rakyat umum di Pulau Pinang. 

Yang jelas, kedua-dua pihak memang tidak wajar berkelakuan demikian. Noktah.

Pun begitu, kutukan sedemikian rupa semoleknyalah tidak hanya ditujukan kepada kelompok budak-budak PERKASA yang berdemonstrasi itu, tetapi juga kepada kelompok mahasiswa yang juga berdemonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN tempoh hari. 

Malangnya Lim Guan Eng dan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang tidak pula menghamburkan kutukan yang sama kepada kelompok mahasiswa yang melakukan hal yang hampir sama. Demikianlah sempitnya dunia politik mereka. Demikianlah hipokritnya mereka.  

_____________________

- SEORANG AKU







No comments:

Post a Comment