Saturday, February 9, 2013

Wow ... Gong Xi Fa Chai versi Ah Jib Gor

Salam hormat,

Gong Xi Fa Chai... 2013

Wow..... 


Heeith, itu Ah Jib Gor laa...

Haiya, lu manyak pandai main itu gendang woo.
Wa manyak suka tengok lorr!

Tapi itu gendang GE2013 lu betul-betul pandai main ka?


___________________________

- SEORANG AKU


Thursday, January 31, 2013

Perangkap isu kalimah Allah menjelang PRU ke-13

Salam hormat,











Petikan video berikut ini bersumberkan "Forum Polemik Isu Kalimah Allah" anjuran Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Auditorium Utama UIA Gombak pada 20hb Januari 2013". 




Sebetulnya tiada isu pun. Atau sepatutnya tidak dijadikan isu. Ada niat tersembunyi di sebalik permainan isu ini. Lim Guan Eng yang menghidupkan kembali isu ini memanglah "kaki pancing" atau "kaki jolok". Dan tiga serangkai kepemimpinan Pakatan Rakyat yang mengisytiharkan persetujuan mereka itu cuma bermain-main dengan sentimen rakyat demi undi dan kuasa menjelang PRU ke-13. Yang kena main atau pancing sebenarnya adalah PAS sendiri. Sebab itu 'flip flop' menjadi igauan PAS. Hanya penyokong totok PAS saja yang menyokong permainan kurang siuman kepimpinan mereka. DAP sekarang tersenyum lebar. PKR memang opportunis yang memihak kepada yang dirasakan menguntungkan mereka. Yang kelam kabut akhirnya PAS sendiri. Yang rugi pun PAS sendiri. Masakan umat Islam Malaysia yang waras sanggup menyokong kegilaan kesepakatan bermain politik dalam isu seperti ini.    

Jadi tidak perlulah dipegang akan "persepakatan murni" Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat  lewat perisytiharan Hj. Hadi-Anwar-Kit Siang itu. Mereka boleh bersepakat dan bercakap tentang apa-apa sahaja yang disukai oleh mereka, tetapi mereka tidak mempunyai autoriti untuk memutuskan boleh atau tidak boleh kalimah Allah digunakan oleh penganut agama bukan Islam di negara ini. Kita sudah ada Perlembagaan Negara yang sangat jelas kandungannya tentang kedudukan agama Islam. Kita sudah ada fatwa tentang larangan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan pengamal agama selain Islam di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri-negeri (kecuali beberapa buah negeri). 

Yang jadi isu sekarang ini ialah kelemahan penguatkuasaan undang-undang tentangnya. Kepada mereka yang diberikan kuasa dan amanah untuk melindungi Perlembagaan Negara dan kesucian agama Islam, bertindaklah melalui jalur perundangan terhadap setiap salahtingkah dan kebiadaban pemimpin dan penganut agama lain ke atas agama Islam. Usah menunggu majoriti umat Islam semakin marah dan bosan dengan karenah songsang penganut agama lain dan gelagat politikus yang takut kehilangan kuasa atau yang kemaruk kuasa, apabila menyaksikan kegagalan sang penguasa dan jentera pentadbirannya merungkai isu ini. Usah terperangkap dengan agenda licik musuh Islam yang bertopengkan parti politik, pertubuhan NGO dan sebagainya. Kesabaran dan tolakansur itu ada batasnya. Usah dibiarkan umat Islam kehilangan kesabaran lalu bertindak di luar batas perundangan. 

Belajarlah daripada peristiwa Natrah. Usah dibiarkan cacing naik ke mata!!!  



______________________

- SEORANG AKU







  


Menggapai Putrajaya

Salam hormat,


Jelajah merdeka rakyat berhibur,
dilobi citra pesona kuasa,
riwayat dihambur janji ditabur,
moga terkesima sang badut bertakhta.


Memikat undi rancak bertarung,
nyanyi tari tangis pun molek,
sensitiviti terpasung emosi membusung,
memuja kerusi bertandang bergolek.


Himpun bangkit rakyat terjaja,
merobah sang penguasa inilah kalinya,
rangmuda terpedaya mudahnya percaya,
oh, terujanya beta menggapai Putrajaya.

______________________

- SEORANG AKU


Sunday, January 20, 2013

Suara Rakyat Suara Keramat


Salam hormat,


Seminggu telah berlalu sejak kelangsungan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 di Stadium Merdeka. Bahang pengkisahannya tidaklah sehangat minggu-minggu selepas berlangsungnya peristiwa BERSIH 3.0 yang lalu. Perhimpunan berjalan lancar dan terkawal. Mungkin juga kerana perhimpunan kali ini memang memperoleh restu kerajaan selaras dengan kehendak Akta Perhimpunan Aman, dan kemampuan pihak PDRM mendepaninya dengan tenang dan berhemah.

Ternyata bahawa kerajaan dan PDRM telah belajar daripada kekhilafan dalam menangani perhimpunan yang lalu - bahawa keghairahan berhimpun dengan semangat dan emosi yang meluap-luap sebegitu rupa perlu diladeni dengan bijaksana dan senyuman.

Rakyat jelata yang mencintai keamanan pastinya berasa lega dengan kelangsungan perhimpunan yang benar-benar aman itu. Pihak PDRM dipuji kerana melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Pihak kerajaan turut mengambil kredit dengan mengaitkannya dengan keberhasilan Akta Perhimpunan Aman dan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mampu melaksanakan misi mereka sebagaimana aspirasi akta tersebut, meskipun pihak PDRM mengesan dan menegaskan bahawa pihak penganjur telah melanggar tiga syarat yang dipersetujui sebelum berlangsungnya perhimpunan ini. 

Pihak penganjur pula dengan bangganya mewarwarkan kejayaan perhimpunan kali ini yang menghadirkan jumlah peserta yang jauh lebih banyak daripada yang sebelumnya. Bagi mereka, kejayaan ini merupakan ingatan kepada kerajaan supaya "tidak main-main dengan kuasa rakyat", dan sekaligus amaran supaya menghadirkan pilihanraya umum ke-13 yang bersih, telus dan adil.  



Rasanya terlalu awal untuk pihak kerajaan meyakini bahawa penganjur perhimpunan itu sesungguhnya berpuashati dan gembira dengan Akta Perhimpunan Aman dan kejayaan program Himpunan Kebangkitan Rakyat itu. Bagi Pakatan Rakyat, ini cuma permulaan. Sekiranya apa-apa yang dituntut tidak tertunai, terutamanya tentang pilihanraya yang bersih, telus dan adil (mengikut persepsi mereka), apakah mereka akan menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 kelak jika keputusan itu tidak memihak kepada mereka?  

Oleh sebab perhimpunan aman di stadium tidak mungkin meninggalkan impak yang sama dengan demonstrasi jalanan (yang tentunya lebih memberangsangkan dan mendapat liputan lebih meluas dan menguntungkan mereka), apakah mereka tidak bersedia kembali semula ke jalan raya seperti sebelum ini? Bukankah telah terserlah niat dan gagasan untuk mengajak rakyat menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan slogan "Ini Kalilah"? Bukankah telah dipahatkan keyakinan bahawa PRU ke-13 tidak akan berjalan dengan adil, telus dan bersih? Dan bukankah juga telah dilaungkan ungkapan "Suara Rakyat Suara Keramat"?

Ucapan berapi-api Hishamuddin Rais sebelum berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (seperti di bawah ini) juga turut membawakan semangat protes jalanan yang dimaksudkan itu.


Demikianlah kelangsungan perhimpunan terakhir Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya umum ke-13 -  perhimpunan sebelum menuju ke Putrajaya, dan perhimpunan sebelum mereka melaksanakan gerakan memerdekakan rakyat Malaysia sekali lagi!!!

Soalnya, apakah "Suara Rakyat Suara Keramat" itu hanya milik Pakatan Rakyat hingga rakyat Malaysia keseluruhannya merestui dan mengizinkan rakyat negara ini dimerdekakan sekali lagi?



____________________________

- SEORANG AKU

Saturday, January 12, 2013

Menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat 112

Salam hormat,


Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 akan berlangsung mulai jam 2.00 petang ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Kebenaran telah diperoleh selaras dengan keperluan Akta Perhimpunan Aman. 

Kali ini cukup jelas bahawa Pakatan Rakyatlah yang menjadi "ibu" kepada segala macam gerakan perhimpunan menentang kerajaan - secara langsung atau tidak langsung - kerana di sinilah nanti bergabungnya semua himpunan gerakan parti politik dan NGO berkenaan. Namakan saja. Cerita-cerita tentang BERSIH, Lynas, Felda, ABU (dan sebagainya), isu-isu rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, kelestarian alam sekitar, fitnah (dan   sebagainya), dengan himpunan pelbagai warna - kuning, hijau, oren (dan sebagainya) akan berkumandang di sini. Akhiran ceritanya ialah kegagalan kerajaan memenuhi semua tuntutan rakyat dan keperluan mendesak untuk menggantikannya dengan kerajaan baru yang dipromosikan Pakatan Rakyat. Dan waktu paling tepat ialah Pilihanraya Umum ke-13.

Yang pastinya Stadium Merdeka ini tidak mampu untuk menampung "sejuta" peserta yang dikatakan akan menyertainya. Yang pastinya, tidak boleh tidak, akan ada perarakan (jalanan) menuju ke stadium daripada pelbagai arah yang ada. Dengan demikian, pastilah akan lebih banyak peserta perhimpunan terpaksa berkampung di sekitar stadium dan di jalan-jalan raya di sekeliling stadium. Meskipun pihak polis (PDRM) telah menjanjikan kawalan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung, apakah pihak penganjur dapat menepati jaminannya untuk memastikan segala syarat dipatuhi dan perhimpunan (serta perarakan jalanan menuju ke Stadium Merdeka) berlangsung dengan aman dan tertib? Suasana pasti hangat, riuh-rendah dan penuh cabaran. Kita tengok sajalah realitinya pada petang ini.  

Ini perhimpunan politik memperkuat semangat perjuangan merampas Putrajaya daripada kerajaan yang ada menerusi PRU ke-13 beberapa bulan lagi. Pakatan Rakyat mengharapkan perhimpunan ini dapat meninggalkan impak yang positif ke arah peningkatan sokongan rakyat terhadap aspirasi mereka, dengan slogan "kalau bukan sekarang, bila lagi?". Dan anak-anak muda pengundi baru memang menjadi sasaran utama dan pertaruhan ampuh ke arah mengutip mata penuh untuk memenangi perlawanan di gelanggang pilihanraya nanti. 

Apa-apa pun yang akan terjadi pada petang ini dan kelanjutannya, elok kita perhalusi petikan video yang berikut ini untuk kewarasan pertimbangan bersama. 

    






Sejauhmanakah keberhasilan perjuangan ini sesungguhnya sukar untuk diramal. Yang pasti, apapun keputusan pilihanraya kelak, kerajaan BNlah yang akan tetap dipersalahkan : BN kalah kerana telah melakukan banyak kesalahan sepanjang era pentadbirannya hingga rakyat menolaknya, atau BN menang kerana menyalahgunakan jentera pilihanraya hingga pilihanraya menjadi tidak bersih. Sebab itulah sekarang ini pun mereka masih mencanangkan pernyataan bahawa tuntutan BERSIH mereka masih (telah) gagal dipenuhi oleh kerajaan. Mereka terus menyogok minda rakyat untuk meyakini bahawa jika pilihanraya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih, mereka pasti menang!  

Demikianlah, jika mereka menang dalam PRU ke-13 nanti, akan dikatakan dengan bangganya bahawa rakyatlah yang memenangkan mereka. Namun, jika mereka kalah, mereka tidak akan mengatakan bahawa rakyatlah yang mengalahkan mereka. Maka akan dicanangkan ke seluruh pelosok jagatraya bahawa inilah bukti bahawa pilihanraya di Malaysia tidak adil dan kotor sekotor-kotornya, malah dikatakan paling kotor dalam sejarah pilihanraya negara. Dan ini jugalah merupakan tiket selanjutnya untuk menghalalkan tindakan mereka seterusnya, iaitu penerusan agenda perhimpunan jalanan menuntut "digulingkan" kerajaan yang kononnya memenangi pilihanraya melalui pilihanraya yang tidak bersih, atas nama "Kebangkitan Kuasa Rakyat".

(ii)

Elok juga dibaca tulisan dalam ANOTHER BRICK IN THE WALL di SINI  dan tulisan di blog JUST READ! di SINI sebelum kita menyaksikan persembahan sebenar HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT lewat petang ini.


___________________________

- SEORANG AKU

Wednesday, December 26, 2012

Menjelang 2013 : Malaysia Inovatif

Salam hormat,


Ini minggu terakhir 2012. Antara yang ingin aku ketengahkan di blog ini menjelang tahun 2013 ialah lagu ini, sumber inspiratif yang menjadi keutamaan gerakan transformasi ekonomi negara menjelang 2020.



(ii)

Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif pemacu ekonomi

Malaysia inovatif tingkatkan kemahiran
Malaysia inovatif menciptakan kekayaan

Raikanlah kreativiti
budayakanlah inovasi
tinggi budi kaya pekerti
harum nama ibu pertiwi
Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif pemacu ekonomi

Malaysia inovatif negara progresif
Malaysia kreatif berminda positif

Raikanlah kreativiti
budayakanlah inovasi
tingkatkanlah kualiti
harum nama ibu pertiwi
Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif meraikan kreativiti





______________________

- SEORANG AKU


Friday, December 14, 2012

Harimau Malaya perlu bingkas mengembalikan ngaumannya semula

Salam hormat,







Masih tentang bolasepak - perlawanan separuh akhir kedua Bolasepak Piala Suzuki AFF - yang berakhir dengan kekalahan Malaysia kepada Thailand dengan jaringan 0-2 di stadium Supachalasai, Bangkok malam tadi.  

Pertamanya, tugas mempertahankan kejuaraan bukanlah mudah, malah memang menjadi beban yang lebih sukar (berat) dipikul oleh penyandangnya. 

Dalam kes kejohanan bolasepak Piala Suzuki AFF, persiapan ke arah mempertahankannya bermula sebaik kejuaraan itu diperoleh di Jakarta dua tahun lalu. Dalam masa yang sama, pasukan yang tewas pasti akan mengusahakan kebangkitan mereka pada kerangka tempoh waktu yang sama. Itulah yang dilakukan Thailand, Singapura dan Indonesia. Malahan peningkatan kualiti permainan turut dilihat menyerlah dalam pasukan Filipina dan Laos. 

Penampilan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan sebelum kejohanan 2012 ini seperti menggambarkan bahawa pasukan kita belum bersedia sepenuhnya untuk mengekalkan kejuaraan itu. Perlawanan dengan Hongkong, Filipina dan Bangladesh jelas membuktikannya. Ketewasan 3-0 kepada Singapura di peringkat kumpulan juga membuktikannya. Kita cuma bangkit semula dalam perlawanan menentang Laos dan Indonesia. Malangnya momentum kebangkitan itu tidaklah berterusan apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir di Kuala Lumpur, dan tewas lagi 2-0 pada perlawanan kelmarin.

Apakah pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal telah benar-benar mempersiapkan diri sepenuhnya sepanjang dua tahun persediaan mempertahankan kejuaraan yang diraih pada 2010 lalu?



Keduanya, dalam mengupayakan kemenangan di dalam gelanggang pemainan, setiap pemain dalam pasukan mestilah meminimumkan kekhilafan dan memanfaatkan setiap peluang terbuka yang ada di depan pintu gol lawan untuk menjaringkan gol.

Dalam siri pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 ini, pasukan Harimau Malaya ternyata masih memiliki kelemahan ini. Begitu banyak peluang menghasilkan gol disiakan-siakan oleh pemain penyerang kita.     Demikian juga, banyak juga jaringan gol lawan adalah disebabkan oleh atau berpunca daripada kekhilafan pemain kita sendiri. Kesemua ini adalah persoalan strategi, komitmen, fokus, ketenangan dan kerjasama sepasukan. Barisan pertengahan yang longgar akan menghasilkan barisan serangan yang tumpul dan barisan pertahanan yang kelam kabut. 

Ketiganya, pasukan yang hebat mampu menyerap walau apa-apa pun tekanan sepanjang kejohanan berlangsung, yang diduga dan yang tidak diduga, di dalam gelanggang dan dari luar gelanggang. Ini termasuklah provokasi pihak lawan, gangguan penonton dan karenah pengadil sendiri.

Pasukan Malaysia memiliki kemampuan untuk menghadapi provokasi pihak lawan dan penyokongnya, malah mampu bertahan menyerap asakan serangan demi serangan pasukan lawan yang menginginkan gol awal di  separuh masa pertama perlawanan. 



Pun begitu, kita belum mampu mendepani situasi gawat disebabkan oleh karenah pengadil dan kelemahan pengadilannya. Kita tidak mampu bermain dengan baik setelah seorang pemain kita dilayangkan kad merah, sedangkan pasukan lain boleh melakukannya. Thailand membuktikan kemampuan bermain dengan baik dan mampu menghasilkan gol meski cuma ada sepuluh orang pemain ketika menewaskan Malaysia di stadium Chiang Mai dalam perlawanan persahabatan sebelum ini. Dengan sepuluh orang pemain juga Thailand mampu menambahkan jaringan dan menewaskan Myanmar 3-1 dalam perlawanan di peringkat kumpulan. Ini juga soal percaturan strategi dan kekentalan semangat pemain yang perlu diperhitungkan oleh jurulatih dalam misi mengembalikan maruah kehebatan Harimau Malaya untuk musim 2014 nanti.   

Semoga Harimau Malaya mampu bingkas mengembalikan ngaumannya semula setelah menunjukkan ketempangannya dalam siri mempertahankan kejuaraan 2010 lalu, dan kembali gah untuk misi merampas semula Piala Suzuki AFF musim 2014 kelak. Rakyat Malaysia sentiasa mendukung cita-cita mengembalikan kegemilangan sukan bolasepak negara dan kehebatan ngauman Harimau Malaya di gelanggang antarabangsa, apalagi di peringkat serantau ini. 
    
__________________________

- SEORANG AKU
    

Thursday, December 13, 2012

Piala Suzuki AFF : Harimau Malaya pasti mampu tundukkan Gajah Putih

Kemaskini :

Ooop... apa dah jadi...

Harimau Malaya ternyata tidak mampu menumpaskan Gajah Putih dengan kekalahan 2-0 di stadium  Supachalasai, Bangkok. Percaturan Datuk K. Ragagobal ternyata tidak menjadi. 

Thailand bermain dengan cukup cemerlang untuk menafikan kemampuan Malaysia mengalahkan mereka, dengan "bantuan" pengadil dari Korea Selatan, yang antaranya bertindak mengeluarkan Fadzli Saas dari gelanggang permainan pada separuh masa pertama. Malang bagi Malaysia. 

Kenapa lambat sangat memasukkan Safee Sali, hal yang sama ketika Malaysia bertemu dengan Thailand di Kuala Lumpur sebelum ini? Dan kali ini setelah terjaring dua gol oleh pihak Thailand?

Apa-apa pun keputusannya, tahniah kepada Harimau Malaya kerana mampu sampai ke peringkat separuh akhir. Mengekalkan kejuaraan bukan tugas mudah. Memang banyak yang mampu dipelajari Malaysia daripada kegagalan pada musim ini. Ini termasuklah pada soal percaturan strategik  bagaimana bermain untuk menang, kekentalan semangat juang pemain dan pemilihan jurulatih serta pemain pasukan kebangsaan itu sendiri. 


_____________________


Salam hormat,


Malaysia vs Thailand : malam ini malam penentuan tentang pasukan manakah yang akan mara ke final pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 untuk menentang pasukan Singapura yang sudah pun menempah tiket ke perlawanan akhir (malam tadi). Mampukah Malaysia?

Bersandarkan kebangkitan pasukan Malaysia menewaskan Laos dan Indonesia, dan kemudiannya seri dengan Thailand di pusingan pertama separuh akhir beberapa hari lalu, Malaysia memiliki ramuan untuk ke peringkat akhir, meskipun bertarung di gelanggang lawan. Syaratnya, menumpaskan Thailand di gelanggangnya sendiri, atau seri dengan jaringan dua gol (2-2) atau lebih. Syaratnya, mempertingkat kekemasan permainan dan kerjasama sepasukan setiap barisan penyerang, pertengahan dan pertahanan. Syaratnya, mempertajam serangan dan ketepatan setiap ledakan ke dalam jaring lawan sejak minit pertama perlawanan lagi. Dan hadirkan kematangan dan kebijaksanaan dalam mencaturkan gerakan mencipta peluang jaringan. 

Kita berkunjung ke stadium Supachalasai Bangkok dengan hanya satu tekad - MENANG!!!. Jadi bermainlah untuk kemenangan. Thailand bukanlah hebat sangat untuk tidak boleh ditundukkan di gelanggang sendiri. 


Mereka memang belum pernah kalah di perlawanan peringkat kumpulan. Namun mereka gagal menewaskan Malaysia (dengan hanya seri) di Stadium Bukit Jalil sebelum ini. Walaupun keputusan seri itu cukup untuk menyenangkan hati mereka kerana akan bertarung di gelanggang sendiri pada malam ini dan hanya memerlukan keputusan seri 0-0 untuk ke peringkat akhir, hal itu sebenarnya cukup memberikan tekanan kepada mereka sendiri. Ini kerana pasukan Malaysia yang akan ditentangnya malam nanti bukan lagi pasukan Malaysia yang boleh dipermudahkan sebagaimana Malaysia yang ditewaskan Singapura sebelum ini. 

Rekod tidak pernah kalah Thailand sebelum ini boleh sahaja dileburkan oleh Malaysia pada malam nanti. InsyaAllah. Yang penting ialah kemampuan pasukan negara sentiasa fokus dan menyerap setiap tekanan serangan oleh Thailand sejak minit pertama perlawanan lagi (sebagaimana yang dipamerkan ketika menentang Indonesia tempohari), bermain dengan ketenangan, kesungguhan dan semangat membara, dan berkeyakinan tinggi bahawa kemenangan akan menjadi milik Malaysia.


Misi kita, tumpaskan Thailand (atau seri dengan jaringan dua gol dan lebih...)...  

Selamat berjuang untuk Malaysia. Doa seluruh rakyat Malaysia untuk kejayaanmu,  Harimau Malaya!!!


______________________________

- SEORANG AKU

   


   

Friday, December 7, 2012

Sang Burung, Ayam Serama, Beruang dan Musang

Salam hormat,



Malam ini beristirahat melangir waktu
bersama notebook dan TV 
menghayati  

BICARA RAKYAT
TV1 
7 DISEMBER 2012
(9.00 - 10.00 malam)

(ii)

Dalam kerancakan berbincang-bicara, terselit juga sekelumit kiasan tentang perbandingan pola permuafakatan kepimpinan parti politik setempat.

Salah seorang ahli panel membandingbezakan dua corak permuafakatan, iaitu permuafakatan kawanan Sang Burung di satu pihak, dan permuafakatan antara Sang Ayam Serama dengan Sang Beruang dan Sang Musang di sebelah pihak yang satu lagi. 

Ahh, ada-ada saja si Brahim ni...


VERSUS


+


+



(iii)

Pun begitu, menarik juga analoginya. Aku menyenanginya. Brahim ada alasan untuk beranalogi sedemikian rupa. Terpulanglah kepada anda untuk memikirkan kewajarannya atau mentafsirkannya semula.

Apakah kawanan burung itu akan dapat terus terbang bersama dengan nada kicauan yang serupa setelah terus-terusan keletihan diduga sang ayam serama, beruang dan musang hingga akhirnya menyerah kalah dan berhenti terbang?

Apakah si ayam serama yang cantik tapi katik itu akan kewalahan kerana bermain kejar-kejaran dengan si beruang dan si musang yang ternyata lebih tangkas, licik dan bijaksana itu?

Apakah si beruang akan membenarkan si ayam serama terus bertingkah memaksakan kehendaknya, atau memamerkan cengkamannya untuk mematikan olah rakan katiknya itu, dengan sang musang cuma mampu tersenyum sinis memasang angan?

Apakah si musang akan benar-benar diberi keistimewaan untuk memimpin kelompok setiakawan mereka setelah sang burung menundukkan kepala, atau akhirnya terjerat dan dipinggirkan setelah usai disediakan perangkap bersalut emas untuknya?

Cuma waktu akan menentukannya.     

Apa-apa pun tafsirannya, kepada kedua-dua kelompok permuafakatan itu, dalam perbezaan ada juga kesamaan, iaitu kesemuanya ada kemahiran dalam lompat melompat dan saling mengambil kesempatan. Hahaha...

(Maaf, sekadar bercanda!)

__________________________________________

- SEORANG AKU


Nilai Sebuah Kemerdekaan : Berkorban untuk dikorbankan?

Salam hormat,


Sudah 55 tahun Tanah Melayu (Malaya) (dan Malaysia - 1963) merdeka, menjadi sebuah negara yang berdaulat dan demokratik melalui ikrar setiakawan dan kesepakatan acuannya yang tersendiri. Kesepakatan (Pakatan Murni) yang menyaksikan kesepaduan nilai pengorbanan dan toleransi warga setempat di satu pihak dengan nilai keinginan (kesanggupan) menjadi sahabat dan warga tetap sejati sebuah negara "terjajah" yang didatangi secara rela atau paksa di satu pihak lagi. Lalu terjelmalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Malaysia) sebagai wadah rujukan perundangan kelangsungan negara Malaysia. (rujuk Sejarah Perlembagaan Malaysia di SINI).

Sudah 55 tahun negara ini dibangunkan hingga mampu bergerak pantas ke arah menjadi negara maju (menjelang 2020) melalui semangat kesepakatan itu. Malangnya, dalam proses pengisian kemerdekaan itu, banyak pihak dalam kalangan generasi terkemudian (yang tidak sedar diri) telah memperlihatkan keghairahan mempertikaikan apa yang tersurat (dan tersirat) dalam perlembagaan negara dan menonjolkan keinginan baru ke arah merungkai kesepakatan itu atas alasan ketulenan demokrasi, keperluan hak asasi manusia, tuntutan keadilan samarata dan menyeluruh, dan sebagainya. 


Hakikat sejarah kelahiran negara merdeka ini mahu diketepikan "secara halus atau secara paksa" lewat pemikiran "pembikinan sejarah baru" (sebagaimana dilakukan Singapura) melalui gerakan siasah era baru (parti politik dan NGO) yang lahir dan tumbuh mekar seiring dengan ketempangan halatuju perjuangan pihak berkuasa yang diberikan mandat dan amanah untuk menerajui pemerintahan negara dan yang sepatutnya mempertahankan dan menyemarakkan semangat dan aspirasi perlembagaan negara seluruhnya, tanpa basa basi. 



Demikianlah apabila kita lupa akan asal usul dan tidak mahu belajar dan menerima hakikat pensejarahan negara. 

Demikianlah apabila kita lebih banyak bermain politik (dan mengeksploitasi sentimen rakyat atas nama perjuangan untuk rakyat) daripada menyemai semangat kewarganegaraan sejati dalam kalangan warganegara berbilang kaum di negara ini hingga memudarkan kemurnian Rukun Negara yang sepatutnya menjadi dukungan dan panduan hidup bernegara rakyat Malaysia. 

Demikianlah apabila yang ada di mata, di hati dan di jiwa kita hanyalah keserakahan dan keinginan merenggut kuasa untuk kepentingan peribadi dan survival kaum sendiri, maka ikrar dan janji akan mudah dimungkiri, dan pengorbanan tidak lagi membawa erti kerana akhirnya yang sanggup berkorban akan terus dikorbankan  dan terkorban. 

Akhirnya, eloklah tulisan di blog KEPAL NASI KEPAL BERAS (DI SINI) kita halusi untuk renungan bersama. Terima kasih kepada Saudara Kamarulzaman Kamdias kerana mengingatkan kita dan mereka yang alpa diri.

Dan kepada yang lupa diri, berpolitiklah secara sihat, matang dan bertanggungjawab untuk kesejahteraan Malaysia, sebuah negara berperlembagaan yang unik, merdeka dan berdaulat. Singkirkanlah politik matlamat menghalalkan cara yang akan hanya memperjudikan masadepan negara ini. Sayangilah negara kita.


_____________________

- SEORANG AKU


      

Monday, December 3, 2012

Demi Gaza, sumbangan anda dialu-alukan

Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam hormat,


Rakyat Palestin sesungguhnya mendambakan sokongan dan bantuan. 


Mereka merupakan mangsa kekejaman-keganasan terus-terusan negara pengganas zionis Israel tajaan kuasa besar dunia yang tidak pernah mengenal erti keadilan. Mereka terjajah, terpinggir dan dinafikan hak bernegara di atas tanah tumpah darah mereka sendiri oleh kelicikan peranan kuasa besar dunia yang mendukungnya.  









Demi kemanusiaan dan perjuangan panjang yang belum usai dan tampak tak berhujung ini, mari kita hulurkan sumbangan ikhlas kita semampunya.

Sumbangan amal jariah kalian amat dialu-alukan. Demi kelangsungan perjuangan mereka untuk bebas merdeka di tanahair sendiri. Demi kemanusiaan. Demi keadilan.

_________________________

- SEORANG AKU



Friday, November 30, 2012

Israel Negara Pengganas Sebenar

Salam hormat,


Akhirnya dapat juga diusahakan.


Berikut ini video ucapan Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di PWTC sempena pelancaran "Malaysians Condemn the UNJUST WAR In GAZA" pada 20 November 2012 lalu. Ucapan yang sesungguhnya amat jelas dan tepat tentang negara-bangsa zionist bernama ISRAEL sebagai spesis sebenar pengganas dunia abad ini.






Penjenamaan inilah yang sewajarnya diwar-warkan ke seluruh pelusuk dunia untuk memberikan tekanan kepada Israel dan pengajaran kepada Amerika Syarikat, Britain dan konco-konconya yang "buta" tentang makna keadilan dan keamanan sejagat.  

Demikianlah, Israel negara pengganas!

__________________________________

- SEORANG AKU


Saturday, November 3, 2012

Sukarnya Memaksakan Pilihan

Salam hormat,


Apabila beduk diketuk mengaturkan janji di pentas ibadah, itulah isyarat untuk bersegera melangkahkan kakimu, melunaskan tanggungjawab yang takbisa ditawar dan tertunda oleh nikmat kepastian dan yakindiri. Engkau cuma makhluk milik-Nya.

Memang demikian fitrahnya. Kecuali yang alpa.

(ii)


Apabila bendera dikibar mencaturkan pilihan di pentas politik, itulah isyarat untuk bersegera melangkahkan kakimu, melengkapkan tanggungjawab yang takbisa tertunda tapi masih bisa ditawar oleh ketidakpastian dan keragu-raguan. Engkau bukan budak politikus rakus.

Memang demikian adatnya. Kecuali yang keliru. 

(iii)

Memang sukar memaksakan pilihan. Pabila engkau tiada pilihan.


___________________________

- SEORANG AKU

Tuesday, October 16, 2012

Sekapur Sirih Seulas Pinang

Salam hormat,


Lagunya, Sekapur Sirih Seulas Pinang. Penyanyinya biduanita Saloma (Allahyarhamah).

Mendengarkan lagu dendangan biduanita Saloma ini memang membiaskan peristiwa zaman silam. Zaman  pemerintahan kesultanan Melayu dan kepahlawanan pendekarnya menjunjung titah diraja mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman musuh. Musuhnya pelbagai, daripada bala tentera kerajaan negara lain (yang jadi saingan) kepada lanun yang mengganggu-gugat ketenteraman rakyat di laut dan di darat.      

Juga nostalgia pada zaman persekolahan ketika lagu ini popular di pentas-pentas bangsawan. Tahunnya, 60'an - era pop yeh yeh. Waktunya, waktu darjah enam sekolah rendah.

Dalam kesamaran ingatan, masih tetap terbayang di mata terngiang di telinga - alunan suara gemersik merdu si puteri kecil molek rakan sekelas, berbusana lengkap selayaknya sang penari tradisional Melayu, menyanyi sambil menari dengan lenggok lemah gemalai kumpulan penarinya. Persembahan mereka melengkapkan keasyikan episod bangsawan ala "Semerah Padi" atau "Pendekar Lima Bersaudara" kumpulan anak muda belia desa, di atas pentas budaya di padang sekolah.

(ii)

Sekarang ini, sukar menemukan upaya pementasan sedemikian rupa di kampung-kampung kita, apalagi di celah-celah kehidupan orang bandar. Kumpulan belia tidak lagi ghairah berwacana tentang seni budaya bangsa. Semua disibukkan oleh keutamaan belajar, bekerja, bermain politik atau membuang masa dengan kegiatan anak zaman baru. Amat sedikit kelompok anak muda yang aktif berkreatif menempatkan diri sebagai pewaris budayawan bangsa.  

Di sekolah juga, serupa! Sekolah sukar dibangunkan sebagai wadah membimbing anak muda memperkaya khazanah budaya bangsa, meskipun melalui kegiatan ko-kurikulum.

Guru-guru lebih terpesona memikul beban tanggungjawab menjawab persoalan kenapa keputusan peperiksaan awam tidak mencapai sasarannya daripada tanggungjawab membangunkan jatidiri rakyat yang kukuh akar budaya bangsanya. Murid-murid juga lebih terdorong untuk cuma menekuni keinginan akademik orang lain dan bermain angka biru-hitam atau merah, berbanding soal mempelajari dan mempertahankan nilai estetika, budaya dan susila warisan bangsa.

Bagaimana mahu kembali ke pangkal jalan?

(iii)

"Sekapur Sirih Seulas Pinang" memang kedengarannya santai tetapi sarat dengan kekuatan permainan emosi dalam menggarapi sebuah perpisahan. Berpisah memang menyedihkan, apalagi belum tentu pulang tidaknya. Namun, demi perjuangan mempertahankan tanah air, kepergian sang pendekar tetap direlakan dan direstui dengan harapan dan doa untuk beroleh kemenangan dan selamat kembali ke pangkuan yang disayang.


(Lagu di atas dinyanyikan oleh Zurin Aniza). 

Halusi saja lirik lagu ini. Pasti mengharukan.
Sekapur sirih, sekapur sirih seulas pinang
diberi bekal, diberi bekal buat perangsang
pergilah intan, pergi intan pergilah sayang
ke tengah medan, ke tengah medan pergilah berjuang.
Biarlah gugur, biarlah gugur bertumpah darah
biar berlengkar, biar berlengkar di medan perang
janganlah undur, jangan undur menyerah kalah
pantang pendekar, pantang pendekar di tengah gelanggang.
 
Janganlah sedih, janganlah sedih meninggal kami
senjata disandang, senjata disandang sebagai ganti
kami berdoa, kami berdoa setiap hari
selamat pergi, selamat pergi selamat kembali.

Ironisnya, maaf, semangat lagu itu nampaknya tidaklah bertempat sangat dalam kehidupan para perajurit negara zaman ini. Maklumlah, kita berada di sebuah negara yang aman merdeka! 



________________________

- SEORANG AKU







Saturday, October 13, 2012

Bermain dengan Kotak-kotak Waktu

Salam hormat,



Perjalanan waktu memang membuat banyak orang cemas, bingung atau penasaran. Namun bukan waktu itu yang selalunya menjadikan kita kewalahan, tetapi peristiwa yang mengiringi perjalanan sang waktu itu!

(ii)

Saban pagi kita meninggalkan rumah untuk bergegas ke tempat kerja. Perjalanan, dekat atau jauh, hanya ukuran jarak. Jarak lokasi dan jarak masa. Yang penting, minda sering mengingatkan kita untuk sampai tepat waktu, atau awal sedikit daripada batas waktu ditetapkan, walau apapun situasinya. Itu kewajiban. Itu buah percaturan pertimbangan akalsihat. Dalam memaknakan kewajiban itulah kita akan mendepani karenah rentetan peristiwa dalam hidup kita.   


Pun begitu, bukan suatu yang aneh untuk menyaksikan seseorang pekerja tidak mampu menepati waktu hadirnya. Dia mungkin dipayahkan oleh peristiwa waktu bangunnya, waktu mengurus persiapan bekerjanya, waktu memandunya di jalanraya, dan sebagainya. Peristiwa itulah  yang tampaknya mengatur gerak langkahnya.

Kita tidak mungkin menguasai semua peristiwa dalam hidup kita. Kesesakan jalanraya atau tayar kereta yang pancit kerana objek tajam misalnya. Namun dalam banyak situasi, kita mampu menelaah setiap ragam peristiwa seharian kita dan mencorakkannya mengikut acuan permainan kita.

Apabila peristiwa dizinkan mengatur hidup seseorang dan memaksakan kehendaknya, keasyikan meladeninya akan menjadikannya tidak lagi akur pada keperluan berakalsihat dan pertanggungjawaban. Dan dia akan mulai belajar menjadi pencipta alasan untuk keasyikannya itu. Tanpa peduli sangat soal kewajiban yang akhirnya terbeban sebagai wahana harga dirinya.   

(iii)

Di sekolah, seawal pagi lagi, guru-guru sudah bermain dengan waktu dan peristiwa. Berfungsi sebagai guru bertugas mingguan, atau sebagai pengendali majlis perhimpunan, sesi motivasi atau majlis tazkirah, atau sebagai guru mata-pelajaran, semua rentetan peristiwa itu perlu berjalan dalam kerangka kotak-kotak waktu yang ditetapkan, tanpa tolakansur. Sistem dan pertanggungjawaban yang mengaturnya begitu.

Kelangsungan peristiwa bukan dalam waktunya - sama ada mendahului atau melewati (kerana ketercepatan atau keterlewatan), menambahi atau mengurangi (kerana keghairahan atau kebosanan), apalagi menghindari peristiwa dan lingkungan waktunya - bukan saja akan menyulitkan murid dan guru lain yang terikat dengan komitmen peristiwa dan pertanggungjawaban masing-masing, tetapi turut merosakkan sistem nilai yang perlu dipertahankan sesebuah organiasasi. Apalagi untuk sebuah institusi bernama sekolah, dan digugat pula oleh pemikiran singkat dan tingkah ceroboh guru-guru sendiri.  

Sebenarnya, dalam meladeni karenah peristiwa dan memenuhi kotak waktunya, tidak ada tempat untuk membenarkan tingkah yang salah oleh pemikiran yang keliru, jumud atau tidak berlandaskan kerangka akalsihat, meski atas alasan keperluan beragama atau keutamaan pendidikan itu sendiri. Sementara waktu tetap berjalan tanpa menoleh, kitalah yang perlu menguasai peristiwa yang mengiringinya, bukan sebaliknya. Usahlah cenderung berprasangka buruk terhadap pihak lain kerana kegagalan kita sendiri, apalagi menyalahkan sistem yang ada.

(iv)

Yang dahulu tetap perlu didahulukan. Yang utama tetap perlu diutamakan. Namun semuanya mestilah dalam kerangka peristiwa dan waktu yang membenarkannya. Peristiwa lewat sampai ke pejabat, atau lambat menyudahkan tugasan yang diamanahkan, yang dengannya bererti  gagal memenuhi kotak waktu yang disediakan, tidak akan terjadi jika kita tidak terlibat dengan permainan karenah peribadi dan prasangka dalam mencorakkan peristiwa seharian kita dengan warna-warni pertanggungjawaban.

Demikianlah perangkap pemikiran dalam mendepani kelangsungan peristiwa dan perjalanan waktunya. Demikianlah jika kita hanya bermain-main dengan tanggungjawab dan kotak-kotak waktu, tidak menghormatinya atau menghargainya lagi.

______________________
- SEORANG AKU






   









Tuesday, October 9, 2012

Usah Terus Bertingkah, Siumanlah

Salam hormat,



Aduhai sedihnya Malaysiaku ini
sebuah negara molek berdaulat dan merdeka
menongkah hari-hari kelabu
oleh sumbangnya tingkah bicara
sebilangan pemain politiknya
penghias pentas parlimen dan dewan negeri
yang nyali bersandiwara tanpa rasa malu
merobek peluang mendewasakan negara
lewat kuasa dan amanah
sejak PRU lalu.

Kepada mereka,
demokrasi itu berbicara judes seenaknya
tiketnya hak asasi manusia,
sensitif itu tidak perlu bertempat
tiketnya juara kaum kerabat,
bertingkah itu bebas lepas semahunya
tiketnya gamitan kuasa parlimen negara.

Barangkali inilah padahnya
meletakkan kepimpinan demokrasi
di tangan para politikus
- sang korporat, oportunis dan chauvinist
atau peguam yang rakus -
menikam tajam adat lembaga
dengan sengat perkauman
tapi malu mengaku malah mahu menidakkan
asal-usul leluhurnya
kerana kepada mereka,
peduli apa soal sejarah dan sedar diri,
peduli apa soal bersyukur dan bertimbangrasa.

Demi keharmonian dan kelangsungan masa depan negara,
semoleknyalah untuk mereka ini
menjadi siuman
dan tidak terus bertingkah !!!
___________________

Terima kasih.

- Seorang Aku

Sunday, October 7, 2012

Daun Yang Jatuh Berguguran

Salam hormat,



Apa khabar pemimpin negeri
berkulatkah sudah tanjak penghias kepala
tak terjunjung lagi meski mentari membakar minda
pernah kaupakai sekali tapi disimpan kembali
ada Mendaliar tersenyum sinis menongkah mimpi
dan aku tak bisa lagi mengharap
keramat sembah bestarimu.

Apa khabar pemimpin negeri
berkaratkah sudah keris bersalut di pinggang
tak terhunus lagi meski masih di medan juang
pernah kauhunus sekali tapi disarung kembali
ada Kaduk naik junjungan terguris hati
dan aku tak bisa lagi mengharap
semangat kental pahlawanmu.

Apa khabar pemimpin negeri
layukah sudah bunga harum terselit di telinga
tak berseri lagi meski pawana setia menghembus lirih
pernah kauhidu sekali tapi wanginya memang tak seharum kasturi
ada Kitul menyuntingnya untuk seberkas janji
aku takbisa lagi mengharap
setia janji manismu.

(ii)

Berada di lapangan terbuka yang engkau pasrahkan
kering keringatmu tidak lagi
membasahi bumi pertiwi
aku jadi keletihan mengutip
dedaunan kering di halaman
hujan dan angin kerap mengusirnya
berserakan dan terpinggir
gersang di bawah mentari merahmu.

Pepohonan tua pun tak bisa menepis
tajamnya rintik hujan
dan angin badai yang berpuput manis
menghunjam dedaunan muda,
daun yang jatuh berguguran
yang takpernah membenci
hujan dan angin.

(iii)

Hari ini aku begitu sedih, sedih sekali
berbangsa tanpa jiwa bahasa pemberani
meski dilangir disolek dengan manifesto cantik
terpinggir jua sebenarnya di hati nurani
sang pemimpin penjaga amanah
yang lolongnya bergema meremang suasana
perit di hati rakyat biasa
di kolong jambatan di gubuk buruk
di desa terceruk.


_________________________________

- SEORANG AKU

Saturday, September 8, 2012

Demikiankah Nikmat Kemerdekaan ?

Salam Hormat,



Telah setengah abad
engkau kehilangan nama keramatmu
Tanah Melayuku.

Demikian nikmat bebas merdeka dipaksarelakan
anak peribumi pasrah mengulum senyum
memang payah merungkai izin pernaungan terjajah
secara mutlak tuntas bermaruah
kecuali memanfaatkan baikbudi ramahtamah
dan hormat takzim Melayu kepada singgahnya tetamu
berpatrilah lafaz ikrar hak tuan tanah dan setia tetamu merumah.

Demikian nikmat hangat perpaduan didambakan
menghulur tangan silatulrahmi penyatuan hasrat
turut melebar sayap salam ke timur ke selatan
lalu berkongsilah citra persahabatan dijunjung berpayung daulat
lalu berkongsilah limpahan kekayaan dan kepayahan
meski memanjang diulit keraguan demi keraguan
fitrah kesetiaan nan mungkin sulit berpanjangan.

(ii)

Demikianlah
hari ini ada hati terguris bibir bergetar dada bergegar
kebiadaban memang selalu menyentap rasa terkilan dan nanar.

Demikianlah membukit bongkaknya membengkak serakahnya
sang penjarah meski ditatang singgahnya
menjanjirobekkan warisan peribumi mengubur panji kedaulatan.

Demikianlah anak pertiwi mabuk kuasa ikut mencerca sejarahnya
sinis celupar menafikan citra perjuangan anak watan
mempertahan daulah keamanan melakar peta merdeka,
malah menjanjikan pengkisahan semula sejarah negara,
semuanya jika selepas pilihanraya beroleh mandat kuasa.

(iii)

Memang sakit diyakinkan jadi pemberi
nikmat hak merakyat pun segera diratah dilapah,
dan memang sedih dilekakan menjadi peminta
nikmat terbentang milik sendiri pun sukar dijamah dimamah
malah perlu bertahun-tahun masih payah dipahatkan
malah terungkit dan mahu saja dinafikan
atas nama kesamarataan dan keadilan masadepan
semudah menafikan hikmah rezeki nikmat kerakyatan percuma
dan melupakan perbezaan latar sosio-budaya dan sejarahnya.

Memang tidak adil untuk menjadi baik berbudi berhemah
kalau tidak untuk dikhianati
kerana demikianlah tingkah bangsa penjajah dan penjarah
sejak zaman kesultanan Melaka lagi.

Tanah Melayuku
engkau telah kehilangan nama keramatmu
jua maruah sebuah bangsa merdeka
berabad dijunjung laksamana Hang Tuah
kerana terlalu alpa, baikhati, percaya dan pasrah
pada nikmat merdeka dirundingciptakan
di meja percaturan sang penjajah
dan penjarah pun takpernah setia.


___________________________

- SEORANG AKU

Sunday, August 19, 2012

Salam Aidilfitri

Salam hormat,

Salam Aidilfitri
untuk sanak saudara, sahabat handai rakan taulan
dan Muslimin Muslimat sekalian
Salam persaudaraan, maaf zahir dan batin.


Semoga Aidilfitri mulia ini 
menghadirkan kesejahteraan berpanjangan untuk semua.

- AWAYZHA


Saturday, July 21, 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Salam hormat,

Salam Ramadhan Al-Mubarak...


Molek juga dirujuk 15 senarai semak untuk menyemarakkan amalan Ramadhan kita sebagaimana terungkap di blog WWW.MIORAZLI.COM", melalui entrinya yang bertajuk "A Checklist for Ramadan".

Diperturunkan berikut ini senarai semak tersebut.


A Checklist for Ramadan




1. Ask Allah to enable you to reach Ramadan and to get the most out of it as the Salaf (early generation of pious people) used to do.

2. Intend to fast every day with Iman and pure intention seeking the reward from Allah alone. The Prophet peace be upon him said, “Whoever fasts in Ramadan with Iman and seeking reward (from Allah)his past sins will be forgiven”. (Bukhari) 

3. Read the whole Qur’an at least once as the Prophet peace be upon him did. 

4. Have Suhoor as the Prophet peace be upon him said, “Have Suhoor because it is blessed”.

5. Make Du’a during the fast because the Prophet peace be upon him said that three people’s supplication is not rejected one of them is the fasting person. Ask for the good of this life and the next for yourself, your family and Muslims in general.

6. Make Dua before opening the fast. The Prophet peace be upon him said, “The fasting person has a supplication that is answered when he opens his fast”.

7. Give Sadaqah and be good to people. The Prophet peace be upon him was the most generous of people and he was most generous in Ramadan.


8. Avoid anything that diminishes the fast such as, lying, backbiting, cheating, getting angry. The Prophet peace be upon him said “Whoever does not give up false statements (i.e. telling lies), and evil deeds, and speaking bad words to others, Allah is not in need of his (fasting) leaving his food and drink.” [Bukhari] 

9. Do not eat too much after Iftar.

10. Ask for forgiveness since this is the month Allah frees people from the fire.

11. Pray At-Tarawih with Khushoo. If you pray in the Masjid complete the Salah with the Imam. If you pray at home prolong the Salah as long as you can. The Prophet peace be upon him said, “Whoever prays during Ramadan with Iman and seeking reward (from Allah) his past sins will be forgiven”.

12. Feed the poor and invite others for Iftar. The Prophet peace be upon him said, “Whoever gives Iftar to someone fasting he will have the same reward without decreasing the reward of the person fasting”.

13. Try harder the last ten nights especially the odd nights. The prophet would strive in Ramadan more than he would in any other month and more so in the last ten days.

14. Say this Dua in the nights that Laitul-Qadr is likely to fall on: Allhumma innaka afuwun tuhibbul-afwa fa’fu anni (O Allah you are Forgiving and love forgiveness so forgive me).

15. Ask Allah to accept all your good actions during this month.

Sekian. Selamat berpuasa.
_____________________________________________

- SEORANG AKU