Tuesday, January 17, 2012

Yang automatik memang mahal...

Salam hormat,



Caj (belajar memandu) kereta automatik lebih tinggi? Demikianlah yang sedang diperhitungkan oleh pihak sekolah memandu, selaras dengan pengenalan Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu mulai Mei 2012. 

Yang pasti, lebih ramai pemandu yang menyenangi kereta automatik. Dengan demikian, ura-ura pengenaan caj ini lebih menggambarkan keinginan pihak sekolah memandu menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan daripada situasi klien (pelajar sekolah memandu) memiliki pilihan untuk belajar memandu kereta automatik yang lebih mudah daripada yang bertransmisi manual yang lebih sukar.

Caj kereta automatik lebih tinggi 
BERNAMA

January 17, 2012 
KUALA LUMPUR - Pelajar yang enggan membayar lebih untuk belajar memandu kereta automatik, boleh memilih belajar memandu kereta manual yang cajnya lebih murah, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. 
Beliau berkata, caj belajar memandu kereta automatik lebih tinggi, pengguna masih mempunyai pilihan lain. 
“Pelajar tidak perlu rasa terikat kerana jika tidak mahu bayar lebih, boleh pilih kereta manual kerana lesen kereta manual boleh juga pandu kereta automatik, tetapi kalau lesen kereta automatik cuma boleh bawa kereta automatik sahaja,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 di Pudu Sentral di sini, semalam. 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura sekolah memandu hendak mengenakan caj 10 hingga 15 peratus untuk belajar memandu kereta automatik. 
Cho Ha berkata, lesen pemanduan kereta automatik itu akan diperkenalkan pada pertengahan tahun ini dan ia sudah pun bermula di negara maju.
[rujuk DI SINI]


Memanglah harga kereta bertransmisi automatik lebih mahal daripada yang bertransmisi manual. Namun ini tidak berkaitan langsung dengan pembelajaran memandu kereta. 


Bukankah mengajarkan pemanduan kereta bertransmisi manual lebih sulit berbanding yang manual? Dan dengan memperoleh lesen memandu kereta manual, pemandu juga berkelayakan memandu kedua-dua jenis kereta itu? Jadi seharusnyalah pembelajaran kereta manual lebih mahal (tinggi) kosnya berbanding pembelajaran kereta automatik.    

Namun kerana kecenderungan pilihan pemanduan masa kini lebih kepada kereta bertransmisi automatik, dan mempelajarinya pula lebih mudah daripada yang manual, maka permintaan untuk mempelajari pemanduan kereta automatik dirasakan lebih tinggi. Faktor ini mungkin saja mendorong keinginan pihak sekolah memandu untuk mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada pengenalan kurikulum baru pendidikan pemandu ini, dengan cadangan pengenaan caj tambahan 10% hingga 15% itu.     

Sewajarnya tidak ada perbezaan kos dalam pembelajaran memandu kedua-dua jenis kereta ini. Terpulang kepada pelajar untuk memilihnya - sama ada mahu memiliki lesen yang melayakkannya memandu hanya kereta bertransmisi automatik (yang belajarnya lebih mudah) atau memiliki lesen yang melayakkannya memandu kedua-duanya sekali (dengan belajar memandu kereta manual). 

Dalam hal ini, yang rugi sebenarnya pemandu sendiri. Sudahlah kena bayar lebih sewaktu belajar memandu kereta automatik, lesen yang diperoleh hanya membenarkan pemiliknya memandu kereta bertransmisi automatik saja? Sungguh merugikan.  

Rasanya lebih eloklah belajar (memandu) kereta manual, .....lebih murah dan dapat kebenaran (lesen) memandu kedua-dua jenis kereta - automatik dan manual. Lagi pun, dalam waktu, situasi dan kes tertentu yang mendesak, kita mungkin juga akan terpaksa memandu kereta bertransmisi manual. Dengan hanya memiliki lesen yang melayakkan kita memandu kereta bertransmisi automatik, bukankah nantinya kita akan cenderung untuk terlibat dengan kes melanggar peraturan kerana lesen yang kita miliki tidak membenarkan kita memandu kereta bertransmisi manual?

Jadi, ikut sajalah saranan Menteri Pengangkutan tu. Belajarlah yang manual. Cajnya murah, lesennya dwifungsi - manual dan automatik. Atau belajarlah yang automatik - mahal dan hanya layak dapat lesen memandu kereta automatik. Beliau bukan peduli sangat soal kos yang akan ditanggung oleh pelajar sekolah memandu. Ura-ura mengenakan kos tambahan untuk pelajar kereta automatik oleh sekolah memandu lebih menarik perhatiannya daripada keinginan rakyat mempelajarinya tanpa peningkatan kos.   

Lagi pun, bukan susah sangat nak belajar memandu kereta manual tu. Hanya perlukan sedikit keberanian, keyakinan, ketekunan, kesungguhan dan kesabaran.

Apa-apa pun, ini soal option. Terpulanglah kepada yang hendak mempelajarinya -  manual vs automatik. Menteri tidak akan bercakap bagi pihak dan menyebelahi kehendak rakyat kecuali setelah menerima desakan atau bantahan yang kuat daripada rakyat sendiri. Itu pun belum tentu berhasil. 

Begitulah nampaknya, yang automatik itu memang sentiasa mahal. Pada hemat saya, sudah sampai masanya untuk industri automobil negara tidak lagi mengeluarkan kereta bertransmisi manual. Dengan demikian, tidak perlulah ada lagi dua set harga belajar memandu  di sekolah memandu - manual vs automatik.



________________________

- SEORANG AKU  

No comments:

Post a Comment