Wednesday, December 26, 2012

Menjelang 2013 : Malaysia Inovatif

Salam hormat,


Ini minggu terakhir 2012. Antara yang ingin aku ketengahkan di blog ini menjelang tahun 2013 ialah lagu ini, sumber inspiratif yang menjadi keutamaan gerakan transformasi ekonomi negara menjelang 2020.



(ii)

Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif pemacu ekonomi

Malaysia inovatif tingkatkan kemahiran
Malaysia inovatif menciptakan kekayaan

Raikanlah kreativiti
budayakanlah inovasi
tinggi budi kaya pekerti
harum nama ibu pertiwi
Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif pemacu ekonomi

Malaysia inovatif negara progresif
Malaysia kreatif berminda positif

Raikanlah kreativiti
budayakanlah inovasi
tingkatkanlah kualiti
harum nama ibu pertiwi
Malaysia inovatif peneraju inovasi
Malaysia inovatif meraikan kreativiti





______________________

- SEORANG AKU


Friday, December 14, 2012

Harimau Malaya perlu bingkas mengembalikan ngaumannya semula

Salam hormat,







Masih tentang bolasepak - perlawanan separuh akhir kedua Bolasepak Piala Suzuki AFF - yang berakhir dengan kekalahan Malaysia kepada Thailand dengan jaringan 0-2 di stadium Supachalasai, Bangkok malam tadi.  

Pertamanya, tugas mempertahankan kejuaraan bukanlah mudah, malah memang menjadi beban yang lebih sukar (berat) dipikul oleh penyandangnya. 

Dalam kes kejohanan bolasepak Piala Suzuki AFF, persiapan ke arah mempertahankannya bermula sebaik kejuaraan itu diperoleh di Jakarta dua tahun lalu. Dalam masa yang sama, pasukan yang tewas pasti akan mengusahakan kebangkitan mereka pada kerangka tempoh waktu yang sama. Itulah yang dilakukan Thailand, Singapura dan Indonesia. Malahan peningkatan kualiti permainan turut dilihat menyerlah dalam pasukan Filipina dan Laos. 

Penampilan Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan sebelum kejohanan 2012 ini seperti menggambarkan bahawa pasukan kita belum bersedia sepenuhnya untuk mengekalkan kejuaraan itu. Perlawanan dengan Hongkong, Filipina dan Bangladesh jelas membuktikannya. Ketewasan 3-0 kepada Singapura di peringkat kumpulan juga membuktikannya. Kita cuma bangkit semula dalam perlawanan menentang Laos dan Indonesia. Malangnya momentum kebangkitan itu tidaklah berterusan apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Thailand dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir di Kuala Lumpur, dan tewas lagi 2-0 pada perlawanan kelmarin.

Apakah pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal telah benar-benar mempersiapkan diri sepenuhnya sepanjang dua tahun persediaan mempertahankan kejuaraan yang diraih pada 2010 lalu?



Keduanya, dalam mengupayakan kemenangan di dalam gelanggang pemainan, setiap pemain dalam pasukan mestilah meminimumkan kekhilafan dan memanfaatkan setiap peluang terbuka yang ada di depan pintu gol lawan untuk menjaringkan gol.

Dalam siri pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 ini, pasukan Harimau Malaya ternyata masih memiliki kelemahan ini. Begitu banyak peluang menghasilkan gol disiakan-siakan oleh pemain penyerang kita.     Demikian juga, banyak juga jaringan gol lawan adalah disebabkan oleh atau berpunca daripada kekhilafan pemain kita sendiri. Kesemua ini adalah persoalan strategi, komitmen, fokus, ketenangan dan kerjasama sepasukan. Barisan pertengahan yang longgar akan menghasilkan barisan serangan yang tumpul dan barisan pertahanan yang kelam kabut. 

Ketiganya, pasukan yang hebat mampu menyerap walau apa-apa pun tekanan sepanjang kejohanan berlangsung, yang diduga dan yang tidak diduga, di dalam gelanggang dan dari luar gelanggang. Ini termasuklah provokasi pihak lawan, gangguan penonton dan karenah pengadil sendiri.

Pasukan Malaysia memiliki kemampuan untuk menghadapi provokasi pihak lawan dan penyokongnya, malah mampu bertahan menyerap asakan serangan demi serangan pasukan lawan yang menginginkan gol awal di  separuh masa pertama perlawanan. 



Pun begitu, kita belum mampu mendepani situasi gawat disebabkan oleh karenah pengadil dan kelemahan pengadilannya. Kita tidak mampu bermain dengan baik setelah seorang pemain kita dilayangkan kad merah, sedangkan pasukan lain boleh melakukannya. Thailand membuktikan kemampuan bermain dengan baik dan mampu menghasilkan gol meski cuma ada sepuluh orang pemain ketika menewaskan Malaysia di stadium Chiang Mai dalam perlawanan persahabatan sebelum ini. Dengan sepuluh orang pemain juga Thailand mampu menambahkan jaringan dan menewaskan Myanmar 3-1 dalam perlawanan di peringkat kumpulan. Ini juga soal percaturan strategi dan kekentalan semangat pemain yang perlu diperhitungkan oleh jurulatih dalam misi mengembalikan maruah kehebatan Harimau Malaya untuk musim 2014 nanti.   

Semoga Harimau Malaya mampu bingkas mengembalikan ngaumannya semula setelah menunjukkan ketempangannya dalam siri mempertahankan kejuaraan 2010 lalu, dan kembali gah untuk misi merampas semula Piala Suzuki AFF musim 2014 kelak. Rakyat Malaysia sentiasa mendukung cita-cita mengembalikan kegemilangan sukan bolasepak negara dan kehebatan ngauman Harimau Malaya di gelanggang antarabangsa, apalagi di peringkat serantau ini. 
    
__________________________

- SEORANG AKU
    

Thursday, December 13, 2012

Piala Suzuki AFF : Harimau Malaya pasti mampu tundukkan Gajah Putih

Kemaskini :

Ooop... apa dah jadi...

Harimau Malaya ternyata tidak mampu menumpaskan Gajah Putih dengan kekalahan 2-0 di stadium  Supachalasai, Bangkok. Percaturan Datuk K. Ragagobal ternyata tidak menjadi. 

Thailand bermain dengan cukup cemerlang untuk menafikan kemampuan Malaysia mengalahkan mereka, dengan "bantuan" pengadil dari Korea Selatan, yang antaranya bertindak mengeluarkan Fadzli Saas dari gelanggang permainan pada separuh masa pertama. Malang bagi Malaysia. 

Kenapa lambat sangat memasukkan Safee Sali, hal yang sama ketika Malaysia bertemu dengan Thailand di Kuala Lumpur sebelum ini? Dan kali ini setelah terjaring dua gol oleh pihak Thailand?

Apa-apa pun keputusannya, tahniah kepada Harimau Malaya kerana mampu sampai ke peringkat separuh akhir. Mengekalkan kejuaraan bukan tugas mudah. Memang banyak yang mampu dipelajari Malaysia daripada kegagalan pada musim ini. Ini termasuklah pada soal percaturan strategik  bagaimana bermain untuk menang, kekentalan semangat juang pemain dan pemilihan jurulatih serta pemain pasukan kebangsaan itu sendiri. 


_____________________


Salam hormat,


Malaysia vs Thailand : malam ini malam penentuan tentang pasukan manakah yang akan mara ke final pertandingan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012 untuk menentang pasukan Singapura yang sudah pun menempah tiket ke perlawanan akhir (malam tadi). Mampukah Malaysia?

Bersandarkan kebangkitan pasukan Malaysia menewaskan Laos dan Indonesia, dan kemudiannya seri dengan Thailand di pusingan pertama separuh akhir beberapa hari lalu, Malaysia memiliki ramuan untuk ke peringkat akhir, meskipun bertarung di gelanggang lawan. Syaratnya, menumpaskan Thailand di gelanggangnya sendiri, atau seri dengan jaringan dua gol (2-2) atau lebih. Syaratnya, mempertingkat kekemasan permainan dan kerjasama sepasukan setiap barisan penyerang, pertengahan dan pertahanan. Syaratnya, mempertajam serangan dan ketepatan setiap ledakan ke dalam jaring lawan sejak minit pertama perlawanan lagi. Dan hadirkan kematangan dan kebijaksanaan dalam mencaturkan gerakan mencipta peluang jaringan. 

Kita berkunjung ke stadium Supachalasai Bangkok dengan hanya satu tekad - MENANG!!!. Jadi bermainlah untuk kemenangan. Thailand bukanlah hebat sangat untuk tidak boleh ditundukkan di gelanggang sendiri. 


Mereka memang belum pernah kalah di perlawanan peringkat kumpulan. Namun mereka gagal menewaskan Malaysia (dengan hanya seri) di Stadium Bukit Jalil sebelum ini. Walaupun keputusan seri itu cukup untuk menyenangkan hati mereka kerana akan bertarung di gelanggang sendiri pada malam ini dan hanya memerlukan keputusan seri 0-0 untuk ke peringkat akhir, hal itu sebenarnya cukup memberikan tekanan kepada mereka sendiri. Ini kerana pasukan Malaysia yang akan ditentangnya malam nanti bukan lagi pasukan Malaysia yang boleh dipermudahkan sebagaimana Malaysia yang ditewaskan Singapura sebelum ini. 

Rekod tidak pernah kalah Thailand sebelum ini boleh sahaja dileburkan oleh Malaysia pada malam nanti. InsyaAllah. Yang penting ialah kemampuan pasukan negara sentiasa fokus dan menyerap setiap tekanan serangan oleh Thailand sejak minit pertama perlawanan lagi (sebagaimana yang dipamerkan ketika menentang Indonesia tempohari), bermain dengan ketenangan, kesungguhan dan semangat membara, dan berkeyakinan tinggi bahawa kemenangan akan menjadi milik Malaysia.


Misi kita, tumpaskan Thailand (atau seri dengan jaringan dua gol dan lebih...)...  

Selamat berjuang untuk Malaysia. Doa seluruh rakyat Malaysia untuk kejayaanmu,  Harimau Malaya!!!


______________________________

- SEORANG AKU

   


   

Friday, December 7, 2012

Sang Burung, Ayam Serama, Beruang dan Musang

Salam hormat,



Malam ini beristirahat melangir waktu
bersama notebook dan TV 
menghayati  

BICARA RAKYAT
TV1 
7 DISEMBER 2012
(9.00 - 10.00 malam)

(ii)

Dalam kerancakan berbincang-bicara, terselit juga sekelumit kiasan tentang perbandingan pola permuafakatan kepimpinan parti politik setempat.

Salah seorang ahli panel membandingbezakan dua corak permuafakatan, iaitu permuafakatan kawanan Sang Burung di satu pihak, dan permuafakatan antara Sang Ayam Serama dengan Sang Beruang dan Sang Musang di sebelah pihak yang satu lagi. 

Ahh, ada-ada saja si Brahim ni...


VERSUS


+


+



(iii)

Pun begitu, menarik juga analoginya. Aku menyenanginya. Brahim ada alasan untuk beranalogi sedemikian rupa. Terpulanglah kepada anda untuk memikirkan kewajarannya atau mentafsirkannya semula.

Apakah kawanan burung itu akan dapat terus terbang bersama dengan nada kicauan yang serupa setelah terus-terusan keletihan diduga sang ayam serama, beruang dan musang hingga akhirnya menyerah kalah dan berhenti terbang?

Apakah si ayam serama yang cantik tapi katik itu akan kewalahan kerana bermain kejar-kejaran dengan si beruang dan si musang yang ternyata lebih tangkas, licik dan bijaksana itu?

Apakah si beruang akan membenarkan si ayam serama terus bertingkah memaksakan kehendaknya, atau memamerkan cengkamannya untuk mematikan olah rakan katiknya itu, dengan sang musang cuma mampu tersenyum sinis memasang angan?

Apakah si musang akan benar-benar diberi keistimewaan untuk memimpin kelompok setiakawan mereka setelah sang burung menundukkan kepala, atau akhirnya terjerat dan dipinggirkan setelah usai disediakan perangkap bersalut emas untuknya?

Cuma waktu akan menentukannya.     

Apa-apa pun tafsirannya, kepada kedua-dua kelompok permuafakatan itu, dalam perbezaan ada juga kesamaan, iaitu kesemuanya ada kemahiran dalam lompat melompat dan saling mengambil kesempatan. Hahaha...

(Maaf, sekadar bercanda!)

__________________________________________

- SEORANG AKU


Nilai Sebuah Kemerdekaan : Berkorban untuk dikorbankan?

Salam hormat,


Sudah 55 tahun Tanah Melayu (Malaya) (dan Malaysia - 1963) merdeka, menjadi sebuah negara yang berdaulat dan demokratik melalui ikrar setiakawan dan kesepakatan acuannya yang tersendiri. Kesepakatan (Pakatan Murni) yang menyaksikan kesepaduan nilai pengorbanan dan toleransi warga setempat di satu pihak dengan nilai keinginan (kesanggupan) menjadi sahabat dan warga tetap sejati sebuah negara "terjajah" yang didatangi secara rela atau paksa di satu pihak lagi. Lalu terjelmalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Malaysia) sebagai wadah rujukan perundangan kelangsungan negara Malaysia. (rujuk Sejarah Perlembagaan Malaysia di SINI).

Sudah 55 tahun negara ini dibangunkan hingga mampu bergerak pantas ke arah menjadi negara maju (menjelang 2020) melalui semangat kesepakatan itu. Malangnya, dalam proses pengisian kemerdekaan itu, banyak pihak dalam kalangan generasi terkemudian (yang tidak sedar diri) telah memperlihatkan keghairahan mempertikaikan apa yang tersurat (dan tersirat) dalam perlembagaan negara dan menonjolkan keinginan baru ke arah merungkai kesepakatan itu atas alasan ketulenan demokrasi, keperluan hak asasi manusia, tuntutan keadilan samarata dan menyeluruh, dan sebagainya. 


Hakikat sejarah kelahiran negara merdeka ini mahu diketepikan "secara halus atau secara paksa" lewat pemikiran "pembikinan sejarah baru" (sebagaimana dilakukan Singapura) melalui gerakan siasah era baru (parti politik dan NGO) yang lahir dan tumbuh mekar seiring dengan ketempangan halatuju perjuangan pihak berkuasa yang diberikan mandat dan amanah untuk menerajui pemerintahan negara dan yang sepatutnya mempertahankan dan menyemarakkan semangat dan aspirasi perlembagaan negara seluruhnya, tanpa basa basi. 



Demikianlah apabila kita lupa akan asal usul dan tidak mahu belajar dan menerima hakikat pensejarahan negara. 

Demikianlah apabila kita lebih banyak bermain politik (dan mengeksploitasi sentimen rakyat atas nama perjuangan untuk rakyat) daripada menyemai semangat kewarganegaraan sejati dalam kalangan warganegara berbilang kaum di negara ini hingga memudarkan kemurnian Rukun Negara yang sepatutnya menjadi dukungan dan panduan hidup bernegara rakyat Malaysia. 

Demikianlah apabila yang ada di mata, di hati dan di jiwa kita hanyalah keserakahan dan keinginan merenggut kuasa untuk kepentingan peribadi dan survival kaum sendiri, maka ikrar dan janji akan mudah dimungkiri, dan pengorbanan tidak lagi membawa erti kerana akhirnya yang sanggup berkorban akan terus dikorbankan  dan terkorban. 

Akhirnya, eloklah tulisan di blog KEPAL NASI KEPAL BERAS (DI SINI) kita halusi untuk renungan bersama. Terima kasih kepada Saudara Kamarulzaman Kamdias kerana mengingatkan kita dan mereka yang alpa diri.

Dan kepada yang lupa diri, berpolitiklah secara sihat, matang dan bertanggungjawab untuk kesejahteraan Malaysia, sebuah negara berperlembagaan yang unik, merdeka dan berdaulat. Singkirkanlah politik matlamat menghalalkan cara yang akan hanya memperjudikan masadepan negara ini. Sayangilah negara kita.


_____________________

- SEORANG AKU


      

Monday, December 3, 2012

Demi Gaza, sumbangan anda dialu-alukan

Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam hormat,


Rakyat Palestin sesungguhnya mendambakan sokongan dan bantuan. 


Mereka merupakan mangsa kekejaman-keganasan terus-terusan negara pengganas zionis Israel tajaan kuasa besar dunia yang tidak pernah mengenal erti keadilan. Mereka terjajah, terpinggir dan dinafikan hak bernegara di atas tanah tumpah darah mereka sendiri oleh kelicikan peranan kuasa besar dunia yang mendukungnya.  









Demi kemanusiaan dan perjuangan panjang yang belum usai dan tampak tak berhujung ini, mari kita hulurkan sumbangan ikhlas kita semampunya.

Sumbangan amal jariah kalian amat dialu-alukan. Demi kelangsungan perjuangan mereka untuk bebas merdeka di tanahair sendiri. Demi kemanusiaan. Demi keadilan.

_________________________

- SEORANG AKU