Wednesday, December 7, 2011

Cerita Pak Kaduk

Salam hormat,


Pak Kaduk merupakan salah satu naskhah Cerita Rakyat (kategori Cerita Jenaka Melayu) dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, diperoleh daripada buku "Cherita Jenaka" oleh Raja Haji Yahya yang didasarkan pada naskhah Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock 1963. Untuk tujuan paparan di blog ini, sedapat mungkin telah dilakukan sedikit penyuntingan daripada segi ejaan dan tanda bacanya.

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adat istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyabung dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.
Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal di tepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, “aku ini mak Siti, ingin pula rasanya hendak pergi menyabung ke gelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyabung beramai-ramai di situ.”
“Mari kita sabung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.”
Maka ujar isteri Pak Kadok, “jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyabung, bawa ayam kita itu.”
Maka sahut Pak Kadok, “jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.”
Maka kata isterinya, “bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sabungan itu. Bukankah awak malu besar?”
Ujar Pak Kadok, “tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi.”
Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi.
Maka kata Pak Kadok, “usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat.”
Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sabung menyabung.
Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju ke gelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ke tengah medan menyabung itu.
Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, “Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyabungkah kita?”
Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.
Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, “Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya.”
Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.”
Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu.
Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan Pak Kadok itu mengenakan taji bentuk alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan ke hadapan dan putingnya ke belakang.
Maka titah baginda, “Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyabung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat.”
Maka sembah Pak Kadok, “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampung sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia ke bawah dulu Tuanku, kampung itulah patik gadaikan ke bawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial.”
Maka titah baginda, “baiklah.”
Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, “silakanlah Tuanku.”
Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan, sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya ke hadapan dan putingnya ke belakang.
Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping ke sana ke mari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri di tengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja.
Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama.
Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu.
Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. “Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai!”
Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing ke rumahnya.
Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi ke kiri ke kanan. Serta ia sampai ke rumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terperanjatlah orang tua itu seraya berkata, “Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini?”
Maka oleh Pak Kadok dikabarkannya ialah daripada awal hingga ke akhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menangislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.

—–
(bersambung...)
_______________________________

- SEORANG AKU






No comments:

Post a Comment