Wednesday, December 7, 2011

Pak Kaduk: Bukan Sekadar Cerita Jenaka

Salam hormat,


Pak Kaduk bukan cerita biasa dan bukan sembarangan cerita jenaka.

Oleh sebab bukan sembarangan cerita dan bukan cerita biasalah, Pak Kaduk menjadi aset berharga dalam khazanah budaya Melayu sebagai cerminan nilai masyarakat, yang sarat mesejnya dan secara relatif, amat relevan dengan survival kehidupan masyarakat sepanjang masa.

Pak Kaduk sinonim dengan kebodohan dan kedunguan.

Namun bukan dungu dan tololnya yang menjadi fokus. Tapi kehilangan fokus dan pertimbangan kerana nafsu serakah, kepercayaan melulu dan keghairahan memperoleh sesuatu yang mengasyikkan hingga tidak menghargai apa-apa yang dimilikinya, sanggup dirugikan dan rela memperjudikan apa-apa yang menjadi miliknya dan milik bangsanya.

Pak Kaduk mungkin dibodohdungukan secara sengaja untuk memalukan bangsanya. (Mungkin ada agenda tersembunyi di sebaliknya).

Namun yang tidak bodohdungu pun boleh kehilangan fokus dan pertimbangan apabila alpa atau mudah terpesona dengan kuasa yang ada. Apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan bangsa. Atau apabila kepentingan kelompok mengatasi kepentingan negara. Atau mudah dibeli dengan ikrar janji palsu. Atau mudah dibutakan oleh keutamaan semangat setiakawan, meski ada kawan yang bijak mengambil kesempatan (daripada nilai baik hati tak berpada) atau “kawan makan kawan”.

Perasuah. Tamak haloba. Bersikap mengalah dan tidak apa. Lembut sabar tak bertempat. Emosional. Bersekongkol dengan pengkhianat bangsa. Inilah antara nilai perwatakan milik rakyat dan pemimpin rakyat yang tidak sensitif, mudah terperangkap dengan helah musang berbulu ayam, malah keterlaluan dalam tindakan hingga mengambil mudah amanah yang dijunjung.

Demikian malangnya Pak Kaduk dan malang yang menimpa bangsanya. Apa lagi dengan hadirnya “kaduk yang naik junjungan”.

(ii)


Semoga Pak Kaduk benar-benar menginsafkan…..! Dan untuk yang berminat, sila nikmati yang berikut ini – Seloka Pak Kaduk dendangan Dato’ Roslan Madun.
Sekian.

________________________________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment