Sunday, January 20, 2013

Suara Rakyat Suara Keramat


Salam hormat,


Seminggu telah berlalu sejak kelangsungan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 di Stadium Merdeka. Bahang pengkisahannya tidaklah sehangat minggu-minggu selepas berlangsungnya peristiwa BERSIH 3.0 yang lalu. Perhimpunan berjalan lancar dan terkawal. Mungkin juga kerana perhimpunan kali ini memang memperoleh restu kerajaan selaras dengan kehendak Akta Perhimpunan Aman, dan kemampuan pihak PDRM mendepaninya dengan tenang dan berhemah.

Ternyata bahawa kerajaan dan PDRM telah belajar daripada kekhilafan dalam menangani perhimpunan yang lalu - bahawa keghairahan berhimpun dengan semangat dan emosi yang meluap-luap sebegitu rupa perlu diladeni dengan bijaksana dan senyuman.

Rakyat jelata yang mencintai keamanan pastinya berasa lega dengan kelangsungan perhimpunan yang benar-benar aman itu. Pihak PDRM dipuji kerana melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Pihak kerajaan turut mengambil kredit dengan mengaitkannya dengan keberhasilan Akta Perhimpunan Aman dan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mampu melaksanakan misi mereka sebagaimana aspirasi akta tersebut, meskipun pihak PDRM mengesan dan menegaskan bahawa pihak penganjur telah melanggar tiga syarat yang dipersetujui sebelum berlangsungnya perhimpunan ini. 

Pihak penganjur pula dengan bangganya mewarwarkan kejayaan perhimpunan kali ini yang menghadirkan jumlah peserta yang jauh lebih banyak daripada yang sebelumnya. Bagi mereka, kejayaan ini merupakan ingatan kepada kerajaan supaya "tidak main-main dengan kuasa rakyat", dan sekaligus amaran supaya menghadirkan pilihanraya umum ke-13 yang bersih, telus dan adil.  



Rasanya terlalu awal untuk pihak kerajaan meyakini bahawa penganjur perhimpunan itu sesungguhnya berpuashati dan gembira dengan Akta Perhimpunan Aman dan kejayaan program Himpunan Kebangkitan Rakyat itu. Bagi Pakatan Rakyat, ini cuma permulaan. Sekiranya apa-apa yang dituntut tidak tertunai, terutamanya tentang pilihanraya yang bersih, telus dan adil (mengikut persepsi mereka), apakah mereka akan menerima keputusan pilihanraya umum ke-13 kelak jika keputusan itu tidak memihak kepada mereka?  

Oleh sebab perhimpunan aman di stadium tidak mungkin meninggalkan impak yang sama dengan demonstrasi jalanan (yang tentunya lebih memberangsangkan dan mendapat liputan lebih meluas dan menguntungkan mereka), apakah mereka tidak bersedia kembali semula ke jalan raya seperti sebelum ini? Bukankah telah terserlah niat dan gagasan untuk mengajak rakyat menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan slogan "Ini Kalilah"? Bukankah telah dipahatkan keyakinan bahawa PRU ke-13 tidak akan berjalan dengan adil, telus dan bersih? Dan bukankah juga telah dilaungkan ungkapan "Suara Rakyat Suara Keramat"?

Ucapan berapi-api Hishamuddin Rais sebelum berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 (seperti di bawah ini) juga turut membawakan semangat protes jalanan yang dimaksudkan itu.


Demikianlah kelangsungan perhimpunan terakhir Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya umum ke-13 -  perhimpunan sebelum menuju ke Putrajaya, dan perhimpunan sebelum mereka melaksanakan gerakan memerdekakan rakyat Malaysia sekali lagi!!!

Soalnya, apakah "Suara Rakyat Suara Keramat" itu hanya milik Pakatan Rakyat hingga rakyat Malaysia keseluruhannya merestui dan mengizinkan rakyat negara ini dimerdekakan sekali lagi?



____________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment