Tuesday, November 1, 2011

Polemik PPSMI : Berikan Laluan Kepada MBMMBI

Salam hormat,


Ada pihak macam gila talak dengan pemansuhan PPSMI. Mereka mahu PPSMI dikembalikan semula atau sekolah diberikan kuasa autonomi untuk memilih - melaksanakan PPSMI atau MBMMBI. Lalu didatangkan kajian mereka sendiri untuk mengesahkan kebenaran dakwaan mereka (Kajian pihak lain yang lebih dekat dan mahir dengan disiplin kependidikan tidak relevan bagi mereka). Lalu diupayakan petisyen secara online melalui laman web dan blog penyokong-penyokong mereka untuk meraih sokongan rakyat. Lalu didatangkan idea untuk dibuat referandum di kalangan rakyat untuk menyokong kebenaran dakwaan mereka.

Pun sudah ada suara sumbang yang mengaitkan desakan itu dengan peti undi dalam PRU ke-13 sekiranya kerajaan tidak memenuhi keinginan mereka. Dan yang terkini, hasrat menulis surat rayuan kepada PM untuk menarik balik pemansuhan PPSMI.


Mereka beria-ia menggambarkan bahawa majoriti rakyat menyokong PPSMI. Mereka seolah-olah mahu sekolah di negara ini boleh diurus mengikut selera dan telunjuk pihak berkepentingan atas nama kehendak majoriti ibu bapa atau rakyat.

Demikian hebatnya desakan mereka. Demikian taksubnya mereka dengan bahasa Inggeris. Demikian ghairahnya mereka dengan kepentingan masadepan anak bangsa, hanya melalui P&P Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, kononnya. Seolah-olah subjek Bahasa Inggeris sudah berkubur daripada sistem pendidikan negara, dan anak-anak akan menjadi jahil kerana tidak mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Seolah-olah bahasa Melayu tidak mampu memandaikan anak-anak dalam subjek Sains dan Matematik.

(ii)

Apabila PPSMI diperkenalkan pada 2003, ramai yang menentangnya. Ini menyangkut soal dasar bahasa kebangsaan, dan sistem pendidikan negara. Tapi, PPSMI diteruskan juga, dan takada pula upaya berbaur ugutan kepada kerajaan untuk memenuhi kehendak penentangnya ketika PPSMI mula dilaksanakan. PPSMI diberikan ruang untuk diteruskan, dan dikaji kelangsungannya. (Hanya setelah enam tahun terlaksana, barulah berlangsung protes jalanan menentang PPSMI oleh GMP pada Mac 2009) 

Sekarang kerajaan yang sama, dengan kepimpinan yang berbeza, melalui Kementerian Pelajaran khususnya, telah memutuskan untuk menamatkan PPSMI dan melaksanakan gagasan MBMMBI mulai 2012. Itu pun hanya dilakukan setelah melalui proses kajian mendalam dan rundingan meja bulat dengan pihak yang berkepakaran. [Rujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri tentangnya DI SINI]

Maka berikan ruang dan peluang untuk MBMMBI berlangsung dan membuktikan keupayaannya.

Mengapa mesti disanggah sedemikian rupa? Usah jadikan agenda peribadi sebagai agenda nasional. Apatah lagi kalau mengaitkannya dengan peti undi. Soal menggunakan peti undi sebagai tanda protes amat tidak relevan kerana peti undi itu bukan milik penyokong PPSMI saja. Itu bukan tindakan bijaksana. Berkemungkinan juga hal sebaliknya boleh berlaku (sekiranya PPSMI diteruskan atau dijadikan pilihan setelah diputuskan untuk tidak diteruskan).

Menteri Pelajaran telah menegaskan pendirian kerajaan tentang pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan MBMMBI. Hormati keputusan itu. Serahkan saja soal pendidikan kepada pihak yang arif dalam pendidikan.

Kepimpinan politik negara juga sewajarnya bertegas, sebagaimana ketegasan ketika melaksanakan PPSMI dulu. Ketidaktegasan dan membenarkan campurtangan orang politik berkepentingan atau pihak-pihak yang cenderung mempolitikkan isu ini akan hanya mengeruhkan keadaan dan lebih memburukkan imej kerajaan sendiri.  

(iii)

Tulisan tentang PPSMI banyak juga ditemukan di blog KEMBARA BAHASA.

Ini kali ke empat aku menulis tentang PPSMI.


  • PPSMI : Hanya Mengembalikan Yang Hak
  • Isu PPSMI Lagi : Usah Cakap Tak Serupa Bikin
  • PPSMI : Berikan Noktah untuk Polemik Ini

  • Sebagaimana kata Pengerusi GPMS Kedah, polemik PPSMI hanya membuang masa [DI SINI], maka hentikan saja polemik ini. ABIM juga menolak desakan pihak yang mahukan PPSMI dijadikan pilihan oleh pihak sekolah. Dan GPMS dan ABIM itu adalah juga suara anak-anak muda Malaysia.

    Semoga kita kembali waras dan bebas daripada cengkaman ketaksuban terhadap kemajuan kosmetik sebuah negara berdaulat dan merdeka berlandaskan bahasa asing.

    _____________________

    - SEORANG AKU


    No comments:

    Post a Comment