Thursday, November 17, 2011

Harimau Muda, mengaumlah di Gelora Bung Karno

Salam hormat,


Jam 8 malam ini, Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pasti hangat oleh pertembungan pasukan Harimau Muda Malaysia dengan pasukan Garuda Muda Indonesia di perlawanan akhir kumpulan A Bola Sepak Sukan SEA 2011. Sebagai musuh bola sepak yang amat menyakitkan hati Indonesia kerana kegagalan merangkul Piala AFF Suzuki pada tahun lalu di tangan Harimau Malaya, Harimau Muda pasti menjadi bahan provokasi berterusan sepanjang perlawanan malam ini. 

Sebagaimana di Piala AFF, prestasi pasukan Indonesia memang amat memberangsangkan di gelanggang sendiri. Mereka menang bergaya dengan menewaskan Kemboja, Singapura dan Thailand. Momentum kemenangan bergaya ini pasti ingin diteruskan, apalagi dengan menumbangkan Malaysia. Misi itu tidaklah sukar jika Malaysia masih menampilkan persembahan yang tidak meyakinkan sebagaimana ditunjukkan dalam tiga perlawanan terdahulunya.

Jelas bahawa persembahan Harimau Muda Malaysia yang menyaksikan keputusan seri dengan Singapura dan menewaskan Thailand dan Kemboja tidaklah segah persembahan Indonesia. Dan jika persembahan sedemikian rupa berterusan, tidak mustahil untuk Indonesia membenam Malaysia walaupun mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk mengungguli kumpulan A. 

Corak pengadilan di kejohanan ini juga jelas menunjukkan bahawa pengadil mudah terpedaya dengan aksi kekasaran pemain hingga mudah melayangkan kad kuning dan merah kepada pemain yang melakukan kekhilafan atau kekasaran. Ini cabaran untuk pemain Malaysia supaya lebih berhati-hati dan fokus pada perlawanan. Anda bukan hanya berdepan dengan pemain lawan, tetapi juga pengadilnya sekali. 

Malaysia memerlukan kebijaksanaan dan kebangkitan semangat juang yang tinggi untuk menafikan kehebatan Indonesia. Malaysia mampu melakukannya jika kembali bermain pada tahap sebenarnya. Bermainlah dengan tenang, dengan sentiasa mengawal atau menguasai permainan dan memperkemas barisan pertahanan, melakukan hantaran dengan tepat dan tidak gopoh melakukan tindakan penyudah di depan gawang lawan. Kekhilafan menyia-nyiakan banyak peluang menjaringkan gol seperti dalam perlawanan terdahulu mesti dihentikan.

Untuk mengembalikan maruah negara, Malaysia mesti menewaskan Indonesia untuk menjuarai kumpulan ini dengan menampilkan persembahan yang cemerlang untuk menamatkan badi Gelora Bung Karno. Pesan Ong Kim Swee supaya skuad bimbingannya menganggap perlawanan malam ini sebagai aksi di babak final amatlah tepat dan disokong.  

Mampukah Malaysia merealisasikan misi ini? Mudah-mudahan mampu, sesuai dengan slogan "Malaysia Boleh".

No comments:

Post a Comment