Tuesday, November 1, 2011

Demam Pilihanraya Umum

Salam hormat,


Hmmm, nampak gayanya pilihanraya umum ke-13 memang udah dekat. Udah dekat benor. Sedekat mana, Perdana Menteri saja yang tahu. Tapi demamnya udah terasa benor, dah lama juga. Dah banyak sangat orang politik yang demam, dan ada yang demamnya bukan sebarang demam, tapi demam campur mengidam sekali. Gawat tu.

Jumaat lalu, PM bentangkan belanjawan negara 2012. Sungguh-sungguh mengujakan rakyat banyak. Bertambahlah usia para penjawat awam. Bertambahkan juga emolumen penjawat awam. Rezeki pilihanraya, kot. Cikgu-cikgu pun tentu senang hati mendengarnya. Mudah-mudahan begitu.

Memang banyak yang berkata, jujur atau sinis, itulah "belanjawan pilihanraya". Maksudnya, budget kerana menjelang pilihanraya. Memancing hati rakyat. Apapun maksudnya, bersyukurlah! Dan usah terlalu berharap. 

Agaknya DS Mohd Najib Tun Razak kita masih terus membelek-belek cermin ajaibnya mengintai ilham daripada para penasihat setianya, bila agaknya waktu yang tepat untuk memalu gong genderang perang politiknya. Maklumlah, perang kali ini bukan sebarang perang. Perang hidup mati, antara pemerintah dengan yang hendak memerintah.

Cuma, yang tak cantiknya, yang tak seronoknya, bunga-bunga perang yang dicambahkan, dan dipasubungakan di kaca TV, di akhbar arus perdana, di akhbar arus tak perdana dan di media baru tak menyegarkan mata yang memandang, otak yang melilau berfikir dan perasaan yang jadi berkecamuk. 

Hebatnya demam PRU ke-13.


(ii)

Aku turunkan puisiku tentang pilihanraya ini (termuat di blog RumahBambu KITA). Walaupun yang aku tulis itu tentang pilihanraya kecil, namun gempaknya kurang lebih sama aje yop.

Ini dia. Tajuknya, Setiap Datangnya PRK, Demikianlah

Setiap datangnya PRK, demikianlah,
peruntukan demi peruntukan turun mencurah
membanjiri gelanggang bertuah tempat bersilat
pemimpin baru pun berpencak beramah-tamah
dari ruang pencalonan ke dewan sekolah
ke pasar basah ke pusat niaga dan rumah ke rumah
membangun janji pembangunan
semuanya untuk rakyat warga setempat
semoga undinya membawa rahmat. 
Setiap datangnya PRK, demikianlah,
saban hari aku termangu menatap dada akhbar
atau berlutut di kaca tv
mendengarkan seloka muluknya janji
sang pemimpin memakmurkan kehidupan;
tapi kampungku masih seperti itu juga
balairayanya nak roboh jadi tempat kambing berteduh,
sekolahnya daif pagar berlubang kerusi meja pun lusuh,
dan saban hari anak-anak sekolahan menutup muka
mengharung jalan berlubang berdebu menyakitkan mata.
Setiap datang PRK, demikianlah
selalu kudambakan harapan
mengapa tidak di tempatku saja
dihadirkan pilihanraya
dan dilimpahi peruntukan demi peruntukan
kerana wakil rakyatnya
barangkali tertidur lena atau alpa
kerana tiada yang sanggup datang menjenguk pejabatnya
atau mengetuk pintu rumahnya
mendesak keperihatinan
atau menuntut pertanggungjawaban
atau menagih janji lamanya.
Setiap datang PRK, demikianlah
selalu kudambakan harapan
mengapa tidak di tempatku saja
dihadirkan pilihanraya
dan dilimpahi peruntukan demi peruntukan
walaupun wakil rakyatnya masih sihat sejahtera
dan pilihanraya pun masih belum tiba.
___________________________
- SEORANG AKU

Demikianlah, pilihanraya di negara ini dari sudut pandang rakyat kecil macam aku. Orang atas pagar agaknya. Rasa sedih, cemburu, amarah dan meluat kadang-kadang berbaur.
  
Apapun, semoga aku tidak menyinggung sesiapa. Itu bukan 'nilai' aku.


____________________________________

-  SEORANG AKU



No comments:

Post a Comment