Tuesday, November 22, 2011

Sekali lagi, tahniah Harimau Muda Malaysia !

Salam hormat,


Syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda! 

Kemenangan menafikan keinginan tuan rumah untuk memperoleh kejuaraan berganda (Juara Keseluruhan Sukan SEA dan Juara Bola Sepak Sukan SEA) dengan merebahkan Garuda Muda yang tersungkur di gelanggang mereka sendiri, menakluki pingat emas Bola Sepak Sukan SEA ke-26, dan mengekalkan kejuaraan yang disandang di Laos dua tahun lalu sesungguhnya merupakan kenangan amat manis dan gandaan rasa gembira yang sukar terungkapkan oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Terbukti sudah bahawa Gelora Bung Karno bukan lagi gelanggang keramat pasukan Indonesia. 


Apabila Harimau Muda menjinakkan Garuda Muda 1-0 di peringkat kumpulan A, meski terkedu bagaikan tidak percaya, mereka masih ingin menafikan kemampuan Malaysia dan menepis igauan buruk kekalahan itu dengan ungkapan bahawa Indonesia tidak menurunkan kesebelasan utamanya.  

Malam tadi, mendepani pasukan kesebelasan utama mereka, dalam suasana pertarungan peringkat final yang lebih hangat, seru dan mendebarkan, dan ditenggelami keghairahan sorak sorai ribuan penyokong fanatik Garuda Muda di Gelora Bung Karno, Harimau Muda Malaysia mampu terus mengaum dengan semangat juang yang cukup tinggi dan terpuji di setiap minit pertarungan berlangsung.

Meski ketinggalan dengan satu gol pada awal permainan, Harimau Muda Malaysia tetap gah beraksi untuk bangkit menyamakan kedudukan menjadi 1-1 (jaringan Mohd. Asraruddin Putra Omar) pada babak pertama, mengekalkan kedudukan seri  itu di babak kedua dan masa tambahan, dan akhirnya terus mematahkan sayap Garuda Muda Indonesia melalui tendangan penalti terakhir Baddrol Bakhtiar yang menggegarkan jaring gol Indonesia di babak tendangan penalti, menjadikan kemenangan berpihak kepada Harimau Muda dengan keputusan akhirnya 5-4. Gelora Bung Karno pun menjadi bungkem dan sepi, dengan kesedihan mematikan keangkuhan yang sebelum ini bergentayangan di seluruh jagatraya Indonesia.        


Sesungguhnya kemenangan manis pasukan Harimau Muda Malaysia ini merupakan kebijaksanaan penggarapan strategi permainan, pengawalan fikiran-emosi-ketahanan fizikal yang bijaksana dan semangat juang yang tinggi dalam menyerap tekanan berterusan yang dibawakan pemain dan penyokong Garuda Muda. Strategi sebilangan pemain lawan mencuba mempengaruhi pandangan atau meraih simpati pengadil (untuk memperoleh tendangan percuma atau tendangan penalti ketika di hadapan pintu gol Malaysia) melalui lakonan aksi sumbang mereka ternyata tidak begitu menjadi.

Sesungguhnya juga pertembungan Harimau-Garuda ini mengajar kita bahawa ketaksuban itu tidak wajar hadir dalam menyanjung kehebatan pasukan sendiri hingga memperlekeh pasukan lawan. Kemenangan berterusan di peringkat awal, apatah lagi dengan jaringan yang banyak, bukan sangat petanda kehebatan sesebuah pasukan. Pasukan Vietnam, Myanmar dan Indonesia membuktikannya. Bukankah bola itu bulat dan padang bola itu sama ratanya untuk semua pasukan yang bertembung?  Usah berlagak sombonglah.


Sekalung penghargaan kepada Ong Kim Swee (Ketua Jurulatih), Baddrul Bakhtiar (kapten), Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol) dan semua pegawai serta pemain Harimau Muda kerana menjadikan perlawanan akhir kali ini amat mengasyikkan. Kalian membuktikan kematangan dan kebijaksanaan untuk layak bergelar juara. Kalian amat membanggakan kami.

Sekali lagi, syukur Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih Harimau Muda!
_________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment