Friday, October 28, 2011

Cabaran Mendidik Anak-anak Masakini

Salam hormat,


Di sekolah, guru-guru sering berdepan dengan dilema mendepani anak-anak murid yang mungkin kehilangan minat untuk belajar. Guru-guru kaunseling kerap dirujuk untuk membantu murid-murid yang sedemikian rupa. Dan di sekolah juga, amarah seboleh-bolehnya tidak mengambil tempatnya. 

Hal yang sama juga dilalui oleh ibu bapa di rumah, termasuk ibu bapa yang kerjayanya berkaitan dengan ehwal pendidikan, secara langsung atau secara tidak langsung. Tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blog beliau SaifulIslam.com (berjudul Teladan Anak Berumur '40' Tahun!) memang mendebarkan hati setiap yang bernama ibu, bapa dan guru. Betapa sulitnya mendepani cabaran mendidik anak-anak masakini. Berikut sebahagian daripada tulisan beliau. 

Memang panas hati.
Pagi ini anak saya enggan ke sekolah. Bukan pertama kali, tetapi sering. Malah bergilir-gilir pula dengan si adik. Kalau yang seorang ini tidak buat perangai, seorang lagi mengambil giliran. Kalau tidak yang seorang itu buat perangai, yang seorang ini menguji iman.
Tidur awal, sudah dibawa berjalan bersiar-siar semalamnya, masa berkualiti, dan tidur dengan baik. Tiada sebab langsung untuk buat perangai subuh-subuh ini. 
Sudah lama rotan tersimpan. 
Kaedah ‘gentle but firm’ sentiasa diamalkan. Tetapi rotan tetap tergantung. 
Kelmarin ia turun ke lantai, berfungsi buat pertama kalinya bagi tahun ini. 
Pagi ini nampaknya rotan itu sekadar rotan. Cabaran yang sama berulang lagi.  
Buat perangai pula di masa-masa kritikal. Jam 6:30 ke 7 pagi, waktu yang amat sempit untuk sesi kaunseling atau psikologi. Ada empat orang pula yang perlu diuruskan.  
Tidak mahu mandi, enggan bersiap, mengamuk di bilik air, menendang-nendang termasuk bibik yang turut puas menahan sabar… hmm!  
Dalam suasana seperti ini komitmen saya sebagai bapa terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada teruji. Jika sekolah di sebelah rumah, lain ceritanya. Tetapi sekolah terletak 35km dari rumah dan yurannya hampir RM700 sebulan untuk seorang. Saya tidak suka dengan fakta itu kerana ia bukan isu untuk anak saya. Ia isu saya. Isu untuk saya dan isteri yang berusaha menguasainya. Bagi anak, sekolah dekat atau jauh, sekolah percuma atau mahal, ia adalah sebuah sekolah.  
“Baik tak payah sekolah kalau macam ni!” bisik di hati bapa. 
Tidak pasti yang berbisik itu iman, nafsu, atau syaitan. 
“Kalau ikutkan hati, rasa nak lempang aje!” ada suara dalam hati berkata. 
Tangan mengurut dada, mencari iman untuk memadam amarah. 
Astaghfirullah! 
Keletihan usaha seorang bapa untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak, adakalanya menjadikan kita tidak rasional.
Semoga kita mendapatkan iktibar dan sama-sama belajar daripada kisah tersebut.

__________________________________

No comments:

Post a Comment