Friday, October 7, 2011

Tidak Terganggukah Kilas Padangan?

Salam hormat,



Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.




Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihatmu setia termangu di depan mata
sedang kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianku.


(ii)

Saban hari, menggunakan jalan raya
berulang alik tanpa jemu atau jerah
dari rumah ke tempat kerja kembali ke rumah
atau sekali sekali bercuti
ke ibu kota atau melawat sanak saudara di desa.



Tidak terganggukah kilas pandangan ini
melihat engkau setia menunggu di balik kamera
merakam kenderaan pelbagai ragam memecut laju
meminta perhatianmu.

(iii)

Demikianlah hari-harinya
kilas pandangan ini merakam aksi
cerobohnya anak negeri di jalan raya
terpejam mata memadam papan tanda
ikut kiri jika tidak memotong atau had laju 110 km
memandu berbahaya memotong tanpa berkira
atau melanggar lampu isyarat merah
ketika aku sendiri patuh mengalah.

Dan hari ini berita di akhbar arus perdana
terungkap jawapan menteri kepada seteru politiknya
di Dewan Rakyat mulia;
“Polis kutip RM476.6 juta bayaran saman trafik”
setelah berlama-lama bersabar mengundur waktu,
demikian hebatnya – harga nikmat kesetiaanmu.

Ironisnya
blog biasa pengamat politik negara
mengungkap bicara sinis tetapi manis dibaca
tentang projek himpun duit pesalah trafik negara
sumber lumayan pendapatan negara,
tentang terkutiplah untung atas angin berjuta -juta
kerana saman ekor polisnya
tentang penguatkuasa didesak lebih bertimbangrasa
atau undinya nanti
berpaling arah ketika pilihanraya.

(iv)

Meski pernah tersinggung dan malu
oleh biasan lensa kamera yang pernah keliru,
aku ini pemandu setia dan pasrah
pendukung ikhtiar murni membaikpulih sikap berhemah
meski kerap diperlekeh dan tersinggung
oleh rakan pemandu tak beradab lagi sombong.



Aku jadi lebih senang memastikan
kilas pandangan ini
terus melihatmu setia termangu di depan mata
daripada terus terganggu
melihat engkau tersiksa menunggu di balik kamera.


——————————————-

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment