Sunday, October 9, 2011

Aku Yang Tak Bisa Tersentuh

Salam hormat,


Sepertinya tersurat
dalam naskhah dan sistem yang ada
yang bersifat tercela
dan rendah letakduduknya
memang tidak bisa disentuh
memang tidak layak disentuh.

Maka usahlah disentuh
segalanya tentang aku
walaupun sepatah kata
aku pasti melenting dan melatah
melalak meraung di media pelbagai arah
malah redha dirongrong dikerah
lalu berbondong-bondong mengunjukrasa di jalan raya
kerana aku memang takmahu disentuh
kerana aku memang sensitif dengan sentuhan
kerana aku memang tidak bisa menerima sentuhan.


(ii)

Aku yang tidak bisa tersentuh
telah lupa bahawa di negara ini
aku sendiri telah menyentuh
nikmatnya hidup merdeka
berjuang di bawah langit demokrasi dikongsi bersama
dengan rezeki melempah tak terkira
di tanahair yang cukup berbeza
daripada tanah asal-usul leluhur.

Aku yang tidak bisa tersentuh
telah lupa bahawa di negara ini
aku diladeni selayaknya
anak warga merdeka
dengan sentuhan keramat bumi bertuah
dan pemimpin yang menghargai
ikrar dan sumpah setia,
rajin dan rukun hidup bersama.

(ii)

Ahhh. Sulitnya kehidupan
terasing dan sentiasa dibelenggu resah
menyerah pada rasa amarah dan rendah diri taksudah
sensitiviti tidak bertempat
prasangka tidak berhemat.

Ahhh. Sulitnya kehidupan
tegak tanpa saling mempercaya
sedang lingkungan ini milik bersama,
lalu mudahlah diadudomba
lalu mudahlah diajak membangun curiga
semudah membangun semula
igauan buruk nenek moyang tercinta
tentang hijrah yang mahu dilupakan
tentang sejarah yang mahu dipadamkan.

Dan keyakinan pun mengukuh
di setiap raga dan sudut tanah air ini
bahawa aku sesungguhnya
memang tidak bisa disentuh
memang tidak bisa disentuh.


_________________________________

- Seorang Aku

No comments:

Post a Comment