Wednesday, October 19, 2011

Kegemaran Berunjuk Rasa: Tuntutan Realiti vs Halusinasi

Salam hormat,

 


Perasaan. Banyak orang mudah ikut perasaan, tidak kira siapa - daripada anak kecil kepada yang sudah tua. Tak kiralah juga apa perasaannya - daripada gembira atau sedih kepada merajuk, marah, atau takpuas hati. Itu lumrah manusia. 

Namun lumrah juga bahawa semakin meningkat usia, semakin banyak yang kita pelajari tentang perasaan, termasuk kemahiran (atau kebijaksanaan) mengawal perasaan. Apalagi ketika berada di lingkungan keluarga dan di tempat kerja. Tanpa kemahiran itu, suasana perhubungan menjadi tidak harmonis, komunikasi menjadi hambar, dan kalau di tempat kerja, mampu menjejaskan prestasi pekerjaan.

Yang paling mendapat tempat (perhatian), menjadi isu dan tidak disenangi banyak pihak daripada senarai perasaan tidak terkawal ialah perasaan tidak puas hati dan marah. Bayangkanlah kalau pekerja tidak puas hati dan marah dengan majikannya. Atau rakyat marah dengan pemerintah negaranya. Harubiru dibuatnya. Ditambah pula dengan keperluan demokrasi zaman moden ini yang mengajarkan kita satu lagi pendekatan untuk meluahkan perasaan. Kali ini diluahkan secara beramai-ramai. Namanya, demonstrasi atau tunjuk perasaan, atau kalau ikut istilah jiran kita di seberang - unjuk rasa. Dan yang paling popular ialah demonstrasi jalanan.

Pelik juga memikirkan ketaksuban manusia moden terhadap demokrasi dan hak asasinya. Dengannya  aspirasi kebebasan bersuara untuk menuntut keadilan, menegakkan atau mengembalikan hak rakyat, dan menjayakan misi reformasi diperjuangkan bermati-matian. Lantas, antara medium popular dan mudah dikendalikan ialah berunjuk rasa atau berdemonstrasi. Jika yang dilakukan itu memang demi perjuangan menegakkan kebenaran, eloklah. Tapi, jika tidak....?


(ii)

Di rumah, kami dapat menonton siaran televisyen tiga negara - Malaysia, Singapura dan Indonesia.   Maka saban hari aku turut menonton siaran SCTV dan RCTI dari Indonesia. (Ada tiga lagi saluran lainnya tapi jarang mendapat perhatianku). Banyak rancangan menarik di situ, termasuklah beritanya. 

Antara berita yang kerap memancing perhatianku tentulah berita tentang unjuk rasa. Unjuk rasa boleh  dianggap sinonim dengan Indonesia. Unjuk rasa membudaya dalam denyut nadi kehidupan rakyatnya, sesuai dengan sistem demokrasi pilihan mereka. Boleh dikatakan unjuk rasa berlaku hampir hari-hari di sana, yang kadang-kadang berubah polanya daripada unjuk rasa aman kepada yang berunsur keganasan (anarkis) hingga sulit diamankan pihak penguasa keselamatannya. 

Apa saja boleh menjadi punca unjuk rasa, yang juga boleh mengarah kepada kejadian bentrokan atau tawuran - daripada isu ketidakpuashatian kepada pemerintah hingga kepada hal-hal biasa dalam masyarakat seperti kenaikan harga barang, kemalangan jalanraya, perselisihan faham antara warga kampus atau desa, tidak puas hati dengan pengadil di gelanggang sepakbola, dan sebagainya. 

Pernah kuungkapkan pandangan tentang hal sedemikian dalam sebuah puisi berjudul "Hari Hari Bentrokan" (di blog RumahBambu KITA).

Secara perbandingan, di Singapura, sukar benar untuk kita mendengar berlakukan peristiwa demonstrasi ini. Dan di negara kita, demonstrasi bersifat musiman, bergantung kepada isu besar di peringkat nasional atau global. Cuma BERSIH dan BERSIH 2.0 yang nampaknya melibatkan peserta yang besar jumlahnya. Cuma kecenderungan untuk menjadikan demonstrasi jalanan sebagai wadah luahan tidakpuas hati dan amarah, atau mekanisme memburukkan kerajaan, kelihatan mula mengghairah dalam kalangan politikus pembangkang dan NGO tertentu. Kita tunggu saja kehadiran BERSIH 3.0...   


(iii)

Pagi kelmarin aku menatap berita berkaitan peristiwa demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan senyum hambar kerana meyakini bahawa unjuk rasa itu memang tidak memiliki kekuatan alasan munasabah untuk berunjuk rasa. Malaysia didakwa melakukan pencerobohan ke atas wilayah sempadan Indonesia. Mengarut sungguh. Itu cuma sentimen kegilaan berunjukrasa. 

( Baca di Utusan Malaysia Online 18 Oktober 2011. Judulnya "Dakwaan orang berhalusinasi" )

Berunjuk rasa atau berdemonstrasi, apakah itu tuntutan realiti atau paksaan halusinasi? Itu persoalan yang bermain-main di benakku ekoran kenyataan Drs. Ramadhan Pohan, Penolong Setiausaha Agung Parti Demokrat berhubung peristiwa unjuk rasa di Kedutaan Besar Malaysia itu. 

Memang sukar diragukan bahawa dalam kebanyakan demonstrasi, banyak yang terlibat itu hanyalah pak turut yang sengaja didatangkan atau dibayar atau yang sanggup didominasi akalsihatnya dan dikendalikan emosinya oleh sekumpulan kecil manusia bergelar pemimpin rakyat yang berghairah mengatasnamakan demokrasi dan hak asasi manusia, dengan menjaja perjuangan yang didakwa untuk kepentingan rakyat banyak, meskipun akalsihat kita kerap mengatakan bahawa ada kepentingan peribadi tersembunyi di situ. Namakan saja niatnya - membina pengaruh, atau membunuh perwatakan kepimpinan sedia ada, atau mencari nama dan populariti, atau mengejar publisiti? Atau himpunan kesemua niat tersebut. 

Dan dalam keghairahan merealisasikan niat tersirat itu, rupanya halusinasi memiliki tempatnya yang tersendiri. Ada pemimpin (kecil dan besar) yang rela berbohong dan sanggup merekayasa pelbagai dakwaan (tuduhan atau tohmahan) yang belum dipastikan kebenarannya semata-mata untuk menghalalkan tindakannya menganjurkan gerakan unjuk rasa di jalanraya. Menjadi beban tugas pihak tertuduh pula untuk membuktikan bahawa dakwaan itu sesungguhnya khilaf dan tidak berasas.   

Inilah yang aku rasakan apabila mendepani berita peristiwa berunjuk rasa. Setidak-tidaknya dalam konteks demonstrasi di Malaysia.

________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment