Friday, October 21, 2011

Ketika Hujan Turun

Salam hormat,


Pagi ini hujan turun deras sekali. Sejak subuh tadi. Anak-anak sudah berangkat ke sekolah dengan van sekolah. Tidak seperti dia. Dulu dia berjalan kaki saja dengan rakan sekolah. Kalau hujan, jalan jadi becak. Namun diredah juga, dengan payung daun pisang, atau jika bernasib baik, payung kertas tebal yang kedap air.    

Dia memang anak kampung. Kehidupan desa waktu kecil membekalkannya pengalamian berharga – bermesra dengan nyamannya udara pagi, dedaunan hijau dan kicauan beburung, pernah tenggelam di sungai berliku tika bermain perahu, memburu udang gertak tika banjir kilat lepas hujan lebat, mengutip mempelam selepas subuh di dusun belakang rumah, juga meredah rimba kecil tempat bermain-main dengan rakan-rakan hujung minggu.


..........

Dia tiada masalah dengan pelajaran sekolahnya. Suatu waktu, sambil bersarapan lempeng atau ubi getuk (kadang-kadang ganyut akibat banjir), ibu berpesan "Belajarlah dengan tekun sampai tercapai cita-cita. Kalau bersungguh-sungguh pasti berjaya”. Ibunya, guru sekolah dewasa, memang selalu sangat meninggalkan pesan sewaktu sedang bersarapan sebelum ke sekolah.  

Ayah memang takbanyak bicara, tapi renungnya cukup untuk mengingatkan dia – usah bermain-main dengan masadepan. Pastinya ayah takmahu dia mewarisi jejak kerjayanya sebagai pekebun kecil di tanah sekangkang kera.

Semoga hasil telaahnya tidak menghampakan ibubapanya.

..........

Berhijrah ke petempatan baru, dia menjalani suasana serba baru berbeza jauh daripada di kampung. Menjadi anak peneroka di pedalaman daerah ibu kota negeri kelahiran mengajarnya erti kepayahan, ketabahan dan kesungguhan – meraut rotan, membantu ayah menoreh getah, sesekali menyauk ikan di anak sungai, juga membaca-tulis sambil meniarap bertemankan pelita minyak tanah – semuanya asam garam sajian kehidupan yang tidak pernah dirungutkan.

..........

Ah, siapapun tidak akan pernah melupakan jasa ayah ibu mereka. Walau bagaimanapun corak hidup waktu kecilnya. Tak akan mampu!

Benarkah begitu? Apakah anak-anaknya akan begitu? Semoga begitu.

Hmmm..., mengelamun rupanya. Hujan deras telah kembali reda rupanya.

___________________________

 - SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment