Wednesday, October 12, 2011

Mencari Buku Yang Hilang

Salam hormat,


Salah satu 'benda' berharga dalam kehidupan seseorang ialah buku. Begitulah bagiku, sejak zaman persekolahan lagi. Sebagai peminat karya sastera, baik  novel, cerpen atau puisi, aku sanggup mengumpulkan wang jajan untuk semata-mata mendapatkan sebuah buku.

Namun, mungkin kerana aku baik hati, atau tidak suka mengecewakan orang lain, atau bukan pelokek, atau mahu berkongsi kegembiraan membaca bersama rakan lain, aku sentiasa mengizinkan sesiapa yang aku kenali untuk meminjam buku-buku yang aku miliki, dengan syarat-syarat tertentu. Malangnya.....

Ya, malangnya, itulah juga sebabnya aku menambah satu lagi kerja dalam hidupku, mencari "buku yang hilang". Hinggalah ke hari ini.

Antara buku yang kucari-cari itu ialah novel SAGA karya Abdul Taib Mohd. Hasan (Utusan Publications...), novel pemenang hadiah pertama Sayembara Novel GAPENA 1976. SAGA juga merupakan teks yang kupilih untuk Latihan Ilmiahku sewaktu di Universiti Malaya. Kutemukan novel itu pada September lalu di MPH Mid Valley Magemall KL.

Telah aku luahkan coretan tentangnya (kerja tambahan itu) di "RumahBumbu Kita" berjudul Mencari Buku Yang Hilang. Berikut ini antara yang aku coretkan itu.

(ii)
Suatu waktu dulu, terutama pada zaman persekolahan, aku memang suka membaca novel. Dan sepanjang berkerjaya, aku memang banyak (kerap) membeli buku, dan bermurah hati pula meminjamkan buku kepada rakan, saudara, dan anak murid yang ingin meminjamnya, tanpa mengingati siapa peminjamnya. Syaratnya mudah – pelihara buku itu baik-baik, dan dikembalikan setelah usai membacanya, tanpa contengan atau lipatan.
Yang paling suka dipinjam adalah novel dan buku motivasi. Dan selalunya akan ada buku-buku yang dipinjamkan itu tidak kembali semula ke rak bukuku tanpa kuingat siapa peminjamnya. Demikianlah.
Maka ketika ada kesempatan ke toko (kedai) buku, akan kucari buku-buku yang hilang itu, dan membelinya lagi. Begitulah. Membeli, dan meminjamkannya, dan hilang lagi (kerana tidak dikembalikan). Membelinya lagi, dan tidak serik meminjamkannya lagi, dan tidak ke rak bukuku lagi.
Antara yang masih kuingat dan sukar didapatkan kembali ialah novel SAGA, ATHEIS, LOVE STORY, MERPATI PUTIH TERBANG LAGI, SALINA, TELEGRAM, ZIARAH, MERAHNYA MERAH dan KERING.
(iii)
Dalam program istirahat yang lalu, aku dikecewakan oleh kesedihan melihat Pustaka Antara di Kompleks Wilayah yang sungguh jauh berbeza daripada Pustaka Antara ketika di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang aku kenali sekitar awal 1980′an. Dari sebuah bangunan gedung buku nan gah berdiri kepada sebuah kedai kecil yang amat daif dan suram. Harapan untuk mencari lebih banyak novel karya pengarang Indonesia pun terbantut. Pun begitu, kutemukan juga ZIARAH, SITI NURBAYA dan TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK di situ. Alhamdulillah.
Pagi tadi aku cuma menemukan SAGA di MPH Midvalley. Oleh sebab dah lama tidak memesan buku di Kedai Buku Online PTS, kuraih sekali MARYAMAH KARPOV. Koleksi karya ‘Andrea Hirata’ milikku tidak lengkap selagi belum mendapat EDENSOR.

Demikian, mencari buku yang hilang.

Coretan lengkap tentangnya boleh kalian temukan di blogku "RumahBumbu Kita" berjudul Mencari Buku Yang Hilang. [Klik DI SINI]

_______________________________

- SEORANG AKU






No comments:

Post a Comment