Saturday, October 8, 2011

Sindrom Mengejar Kecemerlangan dan Menafikan Hak Murid

Salam hormat,


Cerita penafian hak murid untuk menduduki peperiksaan awam nampaknya masih belum menemui titik penyudahnya. Apa yang berlaku kepada tiga orang murid calon UPSR di SK Bandar Bintangor (Sarawak) itu merupakan lanjutan rentetan peristiwa tidak wajar yang pernah juga berlaku di sekolah -sekolah lain di negara ini sebelumnya.

Hal seperti ini bukan saja mengundang isu (kritikan) di kalangan anggota masyarakat, malah mampu mengundang padah kepada pihak pengurusan sekolah yang terlibat. [rujuk di SINI dan di SINI].



Alasan paling mudah diberikan oleh pihak yang melakukannya adalah untuk memastikan prestasi sekolah tidak terjejas oleh kehadiran calon peperiksaan yang lemah dan bermasalah dalam akademik dan dalam disiplin. Andaiannya ialah bahawa menduduki atau tidak menduduki peperiksaan tidak membawa apa-apa makna kepada pencapaian golongan murid sedemikian rupa, tetapi kehadiran dan kegagalan mereka nanti amat menyesakkan nafas pemimpin sekolah berkenaan.

Demikianlah kecelaruan pemikiran dan pola perlakuan sebilangan (segelintir) pemimpin pendidikan di sekolah-sekolah di negara ini dalam mendepani isu kecemerlangan akademik. Hakikat bahawa pendidikan bukan semata-mata untuk kecemerlangan akademik mungkin tidak mendapat tempat di sanubari mereka.

(ii)

Kecelaruan sedemikian rupa bukanlah tidak berasas.

Kelangsungan peristiwa menyedihkan ini dalam lipatan sejarah pembangunan pendidikan negara kita sesungguhnya merupakan manifestasi sumbang keghairahan persaingan mengejar kecemerlangan akademik di kalangan pihak sekolah dalam upaya mempertaruhkan nama baik sekolah masing-masing di mata pegawai atasannya dalam pengurusan sistem pendidikan negara.

Meskipun telah dilafazkan perubahan wacana pemikiran pemimpin pendidikan negara untuk tidak lagi membanding-bandingkan pencapaian sekolah dalam peperiksaan awam, namun bukan cerita mustahil bahawa sekolah-sekolah yang memperoleh prestasi yang tidak menyenangkan hati para pembesar pendidikan daerah dan negeri, yang menyumbang kepada penurunan prestasi akademik dan ‘ranking’ di peringkat daerah dan negeri, akan berdepan dengan situasi post-mortem banding-beza yang berbaur seruan-sindiran ke arah menyalahkan pihak sekolah kerana kegagalan meningkatkan prestasi sekolah masing-masing dalam peperiksaan.

Ungkapan-ungkapan seperti “Apa yang pihak sekolah buat? Cikgu-cikgu tak mengajar ke-? Guru Besar tak memantau ke-? Apa program yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk murid yang lemah? Kenapa tidak melaksanakan program yang dapat meninggalkan impak ke arah peningkatan prestasi?” amat lumrah dilontarkan untuk setiap isu menurunnya atau tidak meningkatnya prestasi sekolah bagi setiap subjek yang diajarkan di sesebuah sekolah.

Dalam sistem yang mengkotak-kotakkan sekolah ke dalam kategori yang pelbagai, atas nama kecemerlangan pendidikan, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat daerah, dengan murid berkebolehan tinggi dijauhkan daripada sekolah biasa kerana kecemerlangannya dan ditempatkan di sekolah-sekolah pilihan di semua peringkat pendidikan, para pemimpin dan guru sekolah biasa (tidak berjenama) akan kerap mewarisi nilai kewalahan, serba tidak kena, tertekan, kecewa dan tersinggung kerana hanya memiliki sebilangan besar kelompok murid sederhana, kurang atau tidak cemerlang yang dimintausahakan supaya mencapai keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

Situasi begini jika tidak digarap dengan kepala dingin, tenang, berhemah dan bijaksana, malah dikelabui pula oleh emosi takutkan kegagalan atau sindrom mengejar kecemerlangan, akan mendorong kepada kemungkinan tumbuhnya pemikiran dan pola perlakuan pemimpin dan guru sekolah yang tidak wajar kepada muridnya sendiri seperti diberhentikan persekolahan sebelum tiba waktu peperiksaan, dirangsang supaya tidak hadir pada waktu peperiksaan awam, dihalang menduduki peperiksaan, dan sebagainya.

(iii)

Semoga kejadian yang menimpa murid yang tinggal di rumah panjang Ulu Sungai Janting, Sarawak ini menjadi titik hitam terakhir dalam sejarah pendidikan negara kita. Pendidikan itu bukan hanya untuk peperiksaan. Pendidikan itu bukan hanya untuk mereka yang cemerlang. Pemerolehan pendidikan itu, termasuk menduduki peperiksaan (yang hadir di dalam sistemnya), merupakan hak istimewa murid yang tidak boleh diganggu gugat, walau apa pun status pencapaian akademik mereka. Yang penting, berusahalah sebaik (semaksimum) mungkin, berdoalah dan kemudian berserahlah kepada Allah swt.

Setiap sekolah memang perlu mengusahakan atau mengejar kecemerlangan. Pun begitu, usahlah terperangkap dengan sindrom mengejar kecemerlangan hingga sampai menafikan hak murid.


________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment