Wednesday, October 19, 2011

Kisah hantu bukan ada dalam filem saja...


Salam hormat,


Sekarang ini orang sibuk bercakap tentang filem seram-tahyul-hantu yang dikatakan berlambak memenuhi pasaran pawagam dan televisyen. Mereka bimbang akan pengaruhnya kepada kanak-kanak. 

Aku tak  nak bercakap soal pengaruh cerita-cerita begini kepada kanak-kanak. Apalagi orang tua pun ada yang takut pada hantu. Terpulanglah pada persepsi masing-masing. Yang aku perhatikan, bagi kanak-kanak, takut memanglah takut, tapi tengok tetap tengok juga. Tengok sambil tutup mata dengan jari jemari direnggangkan.     

Yang aku nak cakap cuma cerita hantu dah ada sejak zaman berzaman lagi, dan kanak-kanak memang biasanya takut dengan apa yang dipanggil hantu tu. Malahan, hantulah jadi bahan momokan ibu bapa zaman dulu (sebagai instrumen pendidikan agaknya) untuk memastikan anak-anak tidak bertingkah di luar batasannya, antaranya seperti masih berada di luar rumah ketika waktu maghrib. Macam-macam nama hantu keluar daripada penceritaan mereka. Hantu memang diimaginasikan sebagai sesuatu yang mesti menakutkan dan wajar ditakuti.   

Buku cerita atau buku yang berkisah tentang hantu juga banyak. Tamar Jalis antara nama popular untuk kisah-kisah jin. Ada majalah yang memang suka menyiarkan cerita-cerita hantu untuk melariskan jualan. Majalah Mastika misalnya. Filem seram dan berhantu dari barat juga banyak ditayangkan di pawagam kita. Count Dracula, Exorcist dan macam-macam lagi. Di sekolah pun, pak jaga (pengawal keselamatan) selalunya mempunyai versi cerita masing-masing tentang pengalamannya terserempak dengan objek atau makhluk yang disebutnya sebagai hantu. Hantu Jepun misalnya. Murid-murid yang tinggal di asrama juga mempunyai koleksi cerita tersendiri tentang makhluk bernama hantu ini.    

Ini semua menunjukkan (atau menjadikan) kehidupan kita terbiasa dengan kisah hantu. Jadi tidaklah sesuatu yang ganjil apabila televisyen dan pawagan kita ikut memasarkan kisah-kisah sedemikian rupa. Peminatnya tetap banyak tanpa mengira usia. Apalagi cerita hantu sekarang ini pun sudah banyak yang dijadikan bahan ketawa dan tambah diminati kerana nilai jenakanya, tidak lagi untuk tujuan menakutkan khalayak penontonnya. 

Jadi rasanya filem bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan kanak-kanak itu penakut. Ini soal imaginasi dan halusinasi yang dipupuk secara sedar atau tidak sedar dalam kehidupan seharian. Soal bagaimana ibubapa menggarapi sifat ketakutan anak-anak (terhadap hantu) juga perlu dihalusi. Ketakutan itu akan ada pengakhirnya juga. Yang lebih perlu ditangani ialah memastikan bahawa karya-karya sedemikian rupa tidak bercanggah dengan norma atau ajaran agama, apalagi menyalahgunakan agama untuk kepentingan atau tujuan komersial.    

Elok juga dibaca tulisan Mamat Khalid dalam TEMPURUNG PECAHnya tentang kebimbangan pada filem hantu ini. Aku macam sependapat dengannya.


____________________________

- SEORANG AKU


No comments:

Post a Comment