Saturday, October 8, 2011

Belajar Itu Macam Buat Ibadah

Salam hormat,

wo ai ni Allah

Melihat anak-anak belajar di rumah pada hujung minggu, dengan buku berserabut di atas meja, dan notebook di sebelah, dengan sesekali melayari internet, aku teringat akan zaman menjadi seperti mereka. Berbeza sekali. Tanpa buku rujukan yang lumayan banyaknya, tanpa notebook dan tanpa internet.

(ii)

Nostalgia zaman awal persekolahan memang mengasyikkan.

Meski sekolah terceruk di pedalaman di pinggir belantara, kehidupan di bilik darjah tetap segar, ceria dan menyeronokkan. Guru mengajar dengan kekuatan ilmu, ramah dan rangsangan, selalu berkias berkisah teladan dalam senyum tawa, tanpa banyak songelnya. Kepatuhan anak murid juga memang tahap cemerlang. Kenakalan bagai ditinggalkan di luar pagar sekolah.


Yang penting, beri tumpuan penuh waktu guru mengajar. Sediakan saja apa-apa alatbantu yang perlu di atas meja, dan gunakan apabila diperlukan. Catat apa yang patut dicatat. Tanya apa yang patut ditanya. Jawab apa yang patut dijawab. Belajar pun jadi tidak tertekan. Tanpa bebanan beg penuh dengan buku atau kerja rumah bertimbun saban hari.

Peperiksaan juga bukan beban fikiran. Belajarlah semampunya, seadanya, semaunya, tanpa bandingbeza atau peduli akan sekolah kita di kedudukan berapa dalam peperiksaan awamnya. Belajarlah dengan kekurangan yang ada, termasuk perpustakaan yang cuma sekangkang kera. Yang penting kekuatan pemahaman, daya imaginasi dan kreativiti. Belajarlah dengan fikiran tenang dan bukalah minda luas-luas. Seluas atlas dunia yang wajib mampu digarap lewat kemahiran melakar peta walau negeri dan benua apa sekalipun, dengan segala isi di dalamnya. Itu keperluan menjawab soalan Geografi dengan markah tinggi.

Kegiatan kokurikulum pun seadanya. Sedikit tapi mengujakan dan dilakoni bersungguh-sungguh. Banyak sekali nilai dipancing dengan umpan penyerlahan nilai kreativiti, berdikari, sentuhan galakan dan teguran pujian berhemah.

Petang bersekolah agama. Ada ustaz yang lebih garang daripada guru sekolah biasa. Rotan sentiasa di tangan. Waktu menekuni kitab Mutaalbadrin misalnya, bersiaplah kalau baca merangkak-rangkak atau tersalah baca. Kalau “bumi” menjadi “bom”, rotan pun boleh singgah di atas meja. Kalau tak bersolat jumaat, memang rotan hadiahnya kerana ketua darjah adalah pencatat kehadiran ketika di masjid.

Apapun situasi dan kondisinya, untuk menjadikan murid rajin belajar, segalanya diusahakan, diupayakan tanpa rasa jemu. Oleh guru, oleh ibu bapa dan oleh anak murid sendiri.

Soal berjaya atau gagal soal rezeki ketentuan Ilahi. Tidak pernah dipersalahkan sesiapa. Kita merencana Allah s.w.t. menentukannya. Itu kata cikgu dan ustaz. Yang penting, menelaah usah culas. Kerana belajar itu suatu ibadah.

(iii)

Kehidupan pembelajaran di rumah dan lingkungannya cukup sederhana.

Tanpa TV dan video, kecuali radio sederhana kecil sebagai teman bersendiri ketika di rumah, hidup menjadi lebih bermakna. Sambil membaca buku cerita atau majalah, seronok dapat mendengarkan rancangan lagu permintaan dan lagu pop yeh yeh yang berkumandang. Dan sesekali bertuah juga dapat mendengarkan sayup-sayup suara pelat propaganda radio PKM (Parti Komunis Malaya).

Ada waktu-waktunya, setiap hari dan hujung minggu, membantu kerja ibu bapa di rumah – menyapu sampah sekeliling rumah, mengangkat air dari kolam untuk memenuhkan tempayan di dapur, dan sesekali ke kebun. Petang minggu selalunya di padang kampung atau gelanggang badminton di rumah kawan. Syarat wajib – sebelum maghrib sudah di rumah.

Waktu belajar ya waktu belajar. Apalagi pada hujung minggu, hari tidak bersekolah. Tanpa radio. Temannya cuma buku, alat tulis, kopi o dan ubi rebus. Sesekali ibu menjenguk-jenguk. Bimbang agaknya kalau si anak tak fokus. Kadang-kadang rakan datang belajar bersama. Selalunya berbincang atau menyiapkan kerja rumah.

Belajar tanpa kerusi meja, dan malamnya bertemankan kerlipan lampu pelita, meski berjelaga, tidak pernah menimbulkan kerenyahan.

Selepas solat maghrib dan mengaji, fokus saja pada pelajaran. Tanpa tolakansur. Sesekali ibu datang duduk di sebelah. Pesannya selalunya mudah : “Belajarlah. Belajar mesti tekun dan ikhlas, bukan terpaksa, baru ilmu tu berkat dan mendatangkan manfaat. Tak faham nanti tanya cikgu, jangan tak tanya”. Dan ucapan paling terkesan dan sentiasa dalam ingatan, “man jadda wajada”, dan “usaha itu tangga kejayaan”.

Bagi ibu bapa, kerja anak-anak ialah belajar. Dan belajar itu macam buat ibadah juga. Mesti tekun supaya cepat jadi pandai. Dengan izin Allah s.w.t


___________________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment