Monday, October 24, 2011

Hidup Sungguh Sangat Sederhana

Salam hormat,


Dalam novel Rumah Kaca karya Pramoedya Ananta Toer, ditemukan ungkapan "Hidup sungguh sangat sederhana. Yang hebat-hebat hanyalah tafsirannya".  

(ii)

Daripada satu perspektif lain...

Memanglah menjadi tabiat sebilangan manusia untuk gemar membesar-besarkan perkara yang kecil atau merumitkan keadaan. Itu boleh berlaku kerana disengajakan untuk tujuan peribadi, atau kerana tafsiran yang berbeza oleh ketidakjelasan pemahaman tentang sesuatu daripada sumber asal. Maka yang mudah diberikan nafas baru hingga menjadi sukar. Kesederhanaan boleh berubah menjadi ruwet dan complicated

Tanyalah pengalaman cikgu-cikgu di sekolah.


Sesuatu arahan atau tugasan yang pada mulanya mudah boleh bertukar menjadi sukar apabila ditangani dan diturunkan pihak tertentu kepada pihak pelaksananya. Sekali lagi, ini mungkin kerana salahtafsir, mungkin kerana khilaf pemahaman atau mungkin saja disengajakan (untuk kelihatan lebih serius, berat, penting dan hebat) atau disensasikan untuk tujuan tertentu. Yang jadi mangsa ialah pelaksananya. Dan akhirnya, kerja yang dibuat dengan susah payah itu menjadi sia-sia, tidak memberikan manfaat dan tersasar jauh daripada matlamat asalnya.

Berdasarkan pengalaman, memang banyak program sesebuah kementerian (yang dturunkan secara berlapis-lapis sampai ke peringkat pelaksana) mengalami nasib malang kerana hal-hal yang tidak wajar dalam proses perancangan dan pelaksanaannya. Dalam usaha mengupayakan penambahbaikan, biarlah berpada-pada dan kekal dengan kesederhanaan. Bukan keghairahan melulu.            

(iii)

Satu lagi perspektif...

Pernahkah anda tercari-cari sesuatu yang ada atau sepatutnya ada (dalam simpanan) tetapi tidak menemukannya apabila tiba-tiba amat diperlukan? Tanpanya kerja menjadi terganggu dan kita mungkin tenggelam punca untuk menyelesaikan kerja dalam batas waktu yang ada. 

Atau, kita memiliki terlalu banyak koleksi objek (yang kita sukai kerana nilai sentimentalnya) sebagaimana juga kita menyimpan pelbagai fail dalam pelbagai folder di komputer hingga kita kewalahan menguruskannya, atau mungkin kehilangannya tanpa disedari?

Kerencaman dan kesibukan tugas harian memang sering menyebabkan kita tenggelam di tengah-tengah himpunan pelbagai objek - pelbagai bahan bacaan dan dokumen rujukan (buku, risalah, majalah, katalog, surat, sijil, fail dsb) dan pelbagai peralatan yang menyokongnya (disket, pen drive, pita rakaman, vcd/dvd, pena dsb) yang kadang-kadang kita tebarkan entah di mana-mana di rumah atau di pejabat kita.

Kita hanya mencarinya apabila kita memerlukannya. Dan kita meyakini bahawa kita akan menemukannya apabila kita memerlukannya. Tapi, keadaan itu rupanya tambah merumitkan kita saja. 
   
Hidup ini penuh dengan pilihan. Jika kita kerap berdepan dengan situasi tersebut, mungkin sudah sampai masanya untuk kita membuat pilihan. Memilih untuk memilih yang benar-benar kita perlukan dan sayangi, dan berpisah dengan yang tidak sangat kita perlukan, meski juga menyayanginya. Memilih untuk menjadi selektif dan tidak sangat terpesona atau terperangkap dengan sentimental value yang kadang-kadang membebankan. Memilih untuk menjadi sederhana. Inilah juga cermin nilai kebijaksanaan daripada suatu fragmen kesederhanaan - tidak berlebihan dan tidak berkurangan.  

Artikel daripada blog zehhabits berikut ini mungkin dapat membantu : The Four Laws of Simplicity, and How to Apply Them to Life.

(iv)

"Simplicity is the ultimate sophistication"demikian sebuah ungkapan popular Leonardo da Vinci,  kutemukan dalam tulisan berjudul Teh O Nipis Kurang Manis (blog www.miorazli.com).

Menarik ceritanya. Bacalah. Meski dalam perspektif berbeza, kisah itu mengajar kita tentang banyak nilai positif, termasuklah social intellegent, amalan membaca dan sesuatu yang nampaknya mudah tapi hebat sebagaimana diungkapkan Leonardo da Vinci itu.


______________________

- SEORANG AKU

No comments:

Post a Comment